Friday, October 7, 2011

Bertahan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Bertahan. Itulah yang cuba saya lakukan setelah bertahun-tahun. Bertahan.. sampai hari ini saya bertahan, menahan segala yang menimpa, menahan hati dari lupa. Lupa kepada Allah yang mengizinkan segala sesuatu itu terjadi dan berlaku kepada saya. Na'uzubilLah..

Diuji keimanan, bukanlah semudah yang disangka rupanya. Diuji janji dan kesetiaan kepada Allah dan Rasul-Nya adalah yang paling sukar. Lebih-lebih lagi, apabila bersendirian, terpinggir keseorangan, tanpa ada sahabat di jalan Allah yang mahu memperingatkan.

Saya bukan muda lagi. Waktu akan datang menjemput saya kembali kepada Tuhan. Kembali yang tidak akan pulang lagi ke sini. 30 tahun telah saya kecapi hidup di dunia ini, apakah yang telah saya lakukan terhadap diri, 4 Muhammad, ummah dan agama? Apakah telah cukup dengan hanya menangis dan menangis dan merintih tanpa berbuat apa-apa..

Apakah telah cukup dengan hanya bangun pagi, ke sekolah, mengajar, menjaga anak, kembali ke rumah dan tidur? Jika begitu, hidup saya tidak lebih dari seekor burung yang hanya mencari rezeki buat tembolok sendiri dan anak-anak...tanpa perlu memikirkan sekeliling.

Ujian yang saya lalui, hanya di hujung kuku ujian para ulama. Dugaan Tuhan yang saya hadapi, hanya sebesar hama di sisi para Anbiya. Amatlah kecil dan kerdil saya di gelanggang kesusahan.

Wahida, bukalah mata dan hatimu. Lihatlah betapa ramai orang-orang yang menderita dan melarat di sekelilingmu. Melarat dalam ilmu, melarat dalam kasih sayang, melarat dan menderita teraniaya dalam harta benda. Adakah engkau yang pernah merasa, hanya perlu berpeluk tubuh, dan menggoyang kaki tanpa perlu berbuat apa-apa, lalu menyebut... "Oh, alangkah kasihannya....". Sebenarnya engkaulah yang lebih kasihan. Miskin faqir dari menghulurkan...

Bertahanlah, terus bertahan dan hulurkanlah selagi engkau mampu menghulurkan, kerana Kekasih Agungmu akan terus mempertahankanmu, akan terus menghulurkan kepadamu.

Thursday, June 16, 2011

Terima Kasih, Lain Ku Tak Berdaya..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hanya secebis - terima kasih, Allah.. masih memberiku nikmat usia, nikmat iman dan Islam.

Hanya setitis - terima kasih, Ma.. kerana lelah mengandung, sakit melahirkan, payah membesarkan.

Hanya sebaris - terima kasih, Ayah.. kerana menjaga tanpa jemu sampai Ida dewasa.

Terima kasih - hanya itu yang hamba berdaya Ya Allah. Terima kasih - hanya itu yang Ida mampu, Ma Ayah..

Friday, June 10, 2011

Lambaian Kaabah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya menerima naskhah novel berjudul Di Masjid Nabawi Kau Menanti daripada sifu saya, En Baharuddin Abdul Manan semenjak Mac lagi. Buku itu adalah hasil karyanya yang diterbitkan oleh Karyanet dalam edisi terhad. Sangat beruntung kerana dipilih Allah, dipilih oleh tuan penulis untuk memiliki novel itu secara percuma. Terima kasih, Haji.

Di Masjid Nabawi Kau Menanti adalah karya travelog, garapan kisah hampir benar yang telah dilalui oleh beliau sepanjang mengerjakan haji dan umrah. Saya membacanya penuh cinta. Cinta membuak-buak untuk sampai ke bumi Mekah dan Madinah yang selama ini hanya saya kenali melalui gambar dan filem. Kisah di dalamnya menarik-narik lagi kerinduan saya untuk ke sana. Ternampak-nampak dalam bayangan dan khayalan saya betapa indahnya BaitulLah, betapa heningnya Masjid Nabawi. Betapa indahnya segala ibadah di sana.



Dan hari-hari kebelakangan ini, saya menjadi semakin rindu kepada Kaabah dan Mekah. Rindu yang mendalam kepada kota cahaya Ilahi, kota penuh barakah. Mendesah jiwa saya ditarik oleh kota yang dipelihara Allah sampai hari kiamat itu.

Novel itu saya baca lagi sampai puas. Airmata saya - titik lantaran rindu yang semakin mencengkam. Saya mahu sampai ke sana. Kalau boleh segera sahaja. Saya mahu sujud di lantai Kaabah. Saya mahu menangis mengadu segalanya kepada-Nya. Saya mahu meratap dan merintih di seluruh waktu yang diizinkan lantaran sudah sekian lama cinta dan rindu saya kepada-Nya terpendam jauh di sudut jiwa. Saya mahu bersungguh-sungguh menatap Rumah-Nya. Saya mahu menjadi antara ribuan hamba-Nya yang terpilih bergelar tetamu mulia-Nya. Saya mahu tawaf, saya mahu sa'ie di bukit Safa dan Marwah, saya mahu bersolat jemaah dengan hamba-hamba-Nya dari seluruh dunia, dalam penyatuan hati, aqidah dan cinta kepada Allah, Tuhan Yang Maha Menyayangi.

Di sana - cita-cita saya terpendam. Saya mahu menghabiskan sisa-sisa hidup di Rumah Agung itu. Saya ingin dijemput kembali ke pangkuan Allah di tanah suci itu. Saya berharap akan meninggalkan alam yang fana ini, bertemu Kekasih Agung di tanah kelahiran Nabi s.a.w. Semoga Allah mendengar keinginan hati saya ini. Semoga Allah menunaikan permintaan saya ini. Amiin...

Saat ini - saya begitu rindukan Kaabah yang belum pernah saya jejaki. Saya mahu berkeras qudrat mencukupkan simpanan untuk ke sana. Tidak haji, umrah pun memada. Ya Allah...izinkanlah hamba.. Ya Allah, jemputlah hamba..

Rakan-rakan blogger dan sesiapa sahajapun yang membaca entri saya ini - doakanlah saya mampu sampai ke sana - segera. Doakanlah.. hanya Allah jua yang mampu membalas jasa baik kalian semua.. hanya setulus terima kasih yang mampu saya hulurkan.

Thursday, June 9, 2011

Pujukan Buat Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya suka memujuk diri sendiri lantaran tiada yang sudi memujuk saya. Jika sedih, saya punya sumber pujukan dari Al-Quran, khazanah motivasi yang tidak akan habis digali. Apabila bersedih kemudian membaca Al-Quran untuk menenangkan diri, selalunya, setiap kalinya, saya akan bertemu ayat-ayat pujukan agung dari Allah, ilmu-ilmu alam dan sains yang punya analogi dengan hidup ini dan kisah-kisah tauladan tokoh terdahulu yang begitu kuat menanggung derita. Automatik, saya merasa - alangkah ringannya dugaan yang saya hadapi. Saya merasa terhibur lantaran Allah telah siap memujuk saya di dalam Kata-kata-Nya.

Kemudian dari itu, hati saya akan tenang. Walaupun airmata masih mengalir, hati saya tidak merasa berat lagi. Tempat tumpahan segala bebanan hati dan perasaan yang mujarab setelah Al-Quran adalah, menyentuh air yang dingin di dinihari, lalu berdiri merasa kerdil di hadapan Tuan Yang Memiliki saya secara total, berkata-kata dengan-Nya dalam bacaan Al-Fatihah, doa-doa sepanjang rukuk, sujud, antara dua sujud dan tahiyyat. Sujud, akan menjadi medan paling indah - saya meninggalkan dunia dan seluruh permasalahannya, saya tenggelam ke suatu dunia paling hening yang mengubat seluruh sakit dan derita yang ditanggung. Saat itu, airmata tumpah kerana merasa sangat dekatnya Allah yang tidak dikisahkan selama senang. Manusia, harta, kerjaya, pangkat bahkan 4Muhammad hilang entah ke mana. Hanya ada Allah yang memenuhi seluruh relung hati saya. Merasakan pujukan, belaian dan pelukan kasih sayang Allah yang tak putus-putus. Merasa dipandang dan direnung penuh romantis.



Setelah itu, puasa akan melengkapkan kekuatan dengan memberi rasa manisnya sabar. Puasa dalam kepanasan cuaca, kepenatan bekerja, lapar dan dahaga. Perut memulas-mulas tanda lapar, yang saya rasakan adalah nikmat semata-mata. Tekak kering tanda dahaga, yang saya rasakan jua adalah nikmat semata-mata. Lapar dan dahaga itulah makanan dan minuman buat ruhani saya. Dengannya saya menjadi kuat.

Allah tidak akan pernah meninggalkan saya selagi saya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Allah tidak akan pernah membiarkan saya menanggung sendirian kerana Dia yang memberi ujian, Dia juga pasti meluluskan dengan syarat, saya ikhlas, redho dan sabar dengannya. Saya gembira diuji. Saya bahagia diuji. Kerana dengan ujian, saya mendapat skor idaman - taqarrub bilLah.

Saturday, May 21, 2011

Zuriat di Bumi Tuhan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

4 Muhammad, 4 yang terpuji. 4 manusia yang mewarisi saya di bumi Tuhan ini. Yang secara langsung mendapat sentuhan tarbiah dan mahabbah saya. Yang setiap satunya saya kandungi kira-kira 40 minggu di dalam rahim saya. Yang setiap satunya mencicipi susu ibundanya selama 2 tahun tak berhenti.

4 Muhammad – saya lahirkan tahun demi tahun di awal alaf ini. 4 Muhammad – telah berkongsi rahsia suka duka, semangat dan airmata saya semenjak di dalam ruang rahim yang gelap gelita.

Siapakah lagi tempat tumpahan kasih dan cinta saya selain 4 Muhammad? Siapakah lagi yang akan menikmati hidangan air tangan saya selain 4 Muhammad? Siapakah lagi yang akan memberi bahagia dan tawa buat saya selain 4 Muhammad?

Merekalah zuriat saya di bumi Tuhan ini. Merekalah pewaris legasi saya di kemudian hari.

_________________________________________________

Saya melahirkan Muhammad Al-Fateh ketika berusia 21 tahun. Waktu itu, saya masih berada di tahun akhir pengajian di Universiti Sains Malaysia. Betapa penatnya mengandung sulung di saat suami (bekas suami) berjauhan. Setiap hari, kuliah tetap saya hadiri tanpa culas. Mendaki bukit Minden dengan penuh sabar walau panas mentari terik di kepala. Menempuh pengalaman muntah di pagi hari yang sangat teruk. Melalui pengalaman tumpah air ketika 7 bulan mengandung. Jatuh dan rebah di dalam bas, terseliuh kaki di atas tangga. Menangis bersendirian kerana bekas suami terlalu jauh di selatan.

Saat itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menarik diri dari pengajian. Bahkan semangat saya semakin membara.

Kemudian, lahirlah Muhammad pertama, Al-Fateh gelarannya. Muhammad Al-Fateh, nama diambil sempena nama Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakluki kota Constantinople. Betapa besar harapan ayahanda yang memberi nama, besar lagi harapan bonda yang mengandung, menyusu, mengasuh, mendidik dan menjaga.

Lantaran menyusu badan, saya membawa Al-Fateh bersama ke USM. Inilah pengalaman paling indah di dalam hidup saya. Kerana tidak semua ibu yang masih belajar bernasib baik seperti saya. Kebanyakannya terpaksa meninggalkan anak dengan ibu atau mertua. Saya pula, lantaran tekad.. tidak peduli apa pun halangan dan masalah yang bakal menimpa. Apa yang saya tahu, saya berlaku adil kepada anak kecil saya yang masih membutuhkan susu dan perhatian ibunya. Selagi dia bersama saya, maka saya akan tempuhi segalanya dengan sabar dan berani.

Setelah tamat pengajian, saya disahkan mengandung buat kali kedua. Ujian ketika mengandung kali ini lebih dahsyat lagi. Ketika ini, ekonomi rumahtangga benar-benar terhimpit. Saya masih ingat, hampir 3 minggu kami mengisi perut dengan jemput-jemput bawang + ikan bilis. Setiap hari saya muntah sampai hijau. Al-Fateh belum pun berusia setahun. Masih belajar berjalan dan gigi pun belum tumbuh.

Bekas suami menghantar saya dan Muhammad Al-Fateh pulang ke Besut sementara menunggu saat kelahiran.

Alhamdulillah.. lahirlah Muhammad kedua. Nama yang kami pilih kali ini datangnya dari seorang ulama’ muttaqin, Imam Abdul Rahman Al-Auzaie. Kelahiranmu anak, dalam kemiskinan. Tiada baju, tilam dan bantal peluk yang baru. Yang ada cuma kasih sayang..

Al-Auzaie baru sahaja pandai merangkak, saya mengandung lagi untuk kali ketiga. Di sinilah titik mula paling perit, hati saya benar-benar terguris, airmata saya sering menitis. Dua anak sedang membesar di depan mata, seorang lagi masih di dalam kandungan. Saya hanya tekad memikirkan anak-anak lalu bertahan. Walaupun kesabaran saya telah diinjak-injakkan. Tuhan memberi tarbiah langsung di dalam tekanan dan kesukaran. Saya belajar di universiti kehidupan. Muhammad Al-Hadi lahir pada musim panas, Jun 2005. Namanya diambil bersempena nama cicit Nabi s.a.w, Ali Al-Hadi.

Hidup saya belum lengkap. Usia Al-Hadi mencecah 4 bulan, saya mengandung lagi untuk keempat kalinya. Alangkah sukarnya saya bergerak ketika ini. Dengan berat badan yang semakin bertambah, perut berkembang dengan janin, 3 orang putera yang semakin lincah, urusan rumahtangga yang tidak kunjung surut... betapa payah saya mengharungi.

Di dalam hati sering berdoa agar dikurniakan seorang puteri, yang bakal menemani saya di dapur; yang akan membantu saya menguruskan rumah. Seorang puteri yang akan saya didik menjadi bunga alam yang harum semerbak mewangi.

Allah Maha Mengetahui segalanya. Saya akhirnya dikurniakan seorang lagi putera, Muhammad Asy-Syazili namanya. Abu Hassan Asy-Syazili, seorang tokoh sufi agung, itulah asal datangnya nama ini.

Ketika ini, usia saya baru mencecah 25 tahun. Di saat rakan-rakan mula menyandang jawatan tinggi, saya telah menjadi ibu muda berputera empat. Walaupun saya hanyalah seorang surirumah yang tidak bergaji, tidak berpangkat tinggi, saya merasa sungguh dihargai Allah kerana dilantik menjadi ibu secara rasmi; jawatan idaman seluruh wanita di dunia ini. Empat putera membuktikan saya mampu menjadi ibu, empat putera membuktikan kewanitaan saya. Hidup saya kini dihias sempurna dengan empat putera yang saya gelarkan 4 Muhammad.

Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili.. kalianlah zuriat Ummi di bumi Tuhan ini. Jika Ummi dipanggil Ilahi sekalipun, di dalam diri kalian telah pun ada Ummi yang masih tinggal untuk meneruskan kesinambungan perjuangan membantu agama Allah yang masih panjang ini.

~ Insya Allah...~

Friday, May 20, 2011

Duhai Bonda

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sabarmu bagai kaktus berduri di tengah sahara. Walau panas mentari membahang, walau pijar bumi memeritkan.. kau tetap bertahan tanpa alasan.

Ma, airmatamu sepanjang hayat - menggigihkan jiwaku. Sengsara yang kau pikul - mengajarku erti berani. Tangisanmu bukan setitis bahkan selautan. Namun kau masih mampu tersenyum menawan.



Ma, kekuatanmu membikin anakmu ini hairan - wujud rupanya manusia sekuatmu di bumi ini. Ma, kekuatanmu membuat anakmu ini bangga - telah menginap di dalam rahimmu sembilan bulan.

Ma, di dunia ini kau cuma satu untukku. Tidak mungkin akan berganti, mustahil pula akan bertukar.

Ma, cepatlah sembuh.. Ma, cepatlah merah kembali pipi putihmu itu..

Terimalah tunduk kasih dari anakmu yang sentiasa rindu'kan kasih sayang dan kehangatanmu...

Saturday, April 23, 2011

Lapangan Berjuang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lapangan alam ini masih terlalu luas, belum kau jelajahi. Samudera saujana mata memandang, belum kau seberangi. Bukit dan gunung memasak bumi, belum kau daki. Sawah bendang terbentang, hutan dan paya dan segalanya. Masih luas bumi ini yang belum kau terokai.

Langit membiru dihiasi awan gemawan. Bayu bertiup menggelombangkan ombak. Pepohon menghijau.. melambai gemalai. Ayam berkokok bersahut-sahutan. Burung berterbangan indah berkicauan. Di sana sini, alam masih hidup seperti biasa. Manusia-manusianya masih bangun di waktu pagi. Mengapa kau perlu mati? Maksudku mengapa kau perlu mati hati dan perasaanmu kerana tingkah seorang lelaki?

Mengapa di saat insan lain ketawa gembira, kau perlu menangis berduka? Mengapa di saat manusia lain berbahagia, kau perlu menanggung kecewa?

Bukankah lapangan alam ini masih terlalu luas? Bukankah ciptaan Allah di seluruh alam ini sangat indah dan mengujakan? Bukankah segalanya di seisi alam ini telah Allah sediakan untuk menghiburkan hamba-Nya?

Kau dikurniakan hati yang lembut, penyayang lagi menghargai, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membangunkan ramai manusia yang kegersangan jiwanya dari kasih sayang. Bangkitkan jiwa mereka dengan Islam. Teguhkan hati mereka dengan Tuhan. Kau dikurniakan ketajaman akal dan keindahan bahasa, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membantu mereka yang memerlukan. Kau dikurniakan kelunakan bersuara yang menusuk jiwa-jiwa, gunakanlah ia untuk memimpin muda-mudi di sekitarmu.

Biarlah.. di saat kau kehilangan pimpinan dan tiada yang sudi memimpinmu, kau sebenarnya sedang dipimpin Allah dan mampu pula memimpin manusia lainnya.

Wahai, alam untukmu berjuang masih terlalu luas. Tumpahkanlah seluruh tenaga mudamu demi ummah ini dan berbahagialah dengannya. Kau berhak untuk bergembira dan berbahagia dalam hidupmu yang singkat ini. Jangan kau tumpahkan air matamu lagi kerana ia setitis pun tidak bererti bagi seorang lelaki. Kau tidak dilahirkan untuk menderita dan merana... kerana Allah Yang Maha Adil pasti memberimu nikmat bahagia melalui pelbagai cara.

Kau sesungguhnya istimewa di sisi Allah, kau sesungguhnya istimewa di hati ummah.

*Khusus buat kaum Hawa kesayanganku...

For the Rest of My Life

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari-hari kebelakangan ini adalah hari-hari yang amat padat. Tanggungjawab sebagai ibu tunggal yang fokus sepenuhnya kepada 4 Muhammad dan guru yang giat membangunkan pelajar menyebabkan saya kesempitan masa untuk menghadap blog. Saya masih berkarya seperti biasa tetapi untuk duduk menghadap laptop dan memasukkan entry, masa saya terlalu sempit.

Pada kesempatan masa yang ada ini, saya ingin berkongsi suatu peristiwa yang telah mencuit jiwa saya sebagai seorang wanita. Peristiwa yang kecil tetapi begitu besar dan bermakna buat saya. Ia berlaku di suatu petang ketika saya keluar membeli-belah bersama 4 Muhammad.

Saya terpandang sepasang warga emas yang menaiki sebuah basikal ketika berhenti di traffic light. Si datuk mengayuh perlahan, nenek pula tenang memaut pinggangnya. Mereka kemudiannya berhenti untuk melintas jalan. Suami dan isteri yang berusia lebih separuh abad itu turun dari basikal..

Apa yang terjadi setelah itu benar-benar mencuit hati kecil saya. Seperti ada suatu sentuhan halus yang mengenai jiwa saya ketika itu.

For the rest of my life.. I'll be with you.. I'll stay by your side.. honest and true.. till the end of my time.. I'll be loving you...

Irama lagu Maher Zain yang popular itu seolah-olah mengiringi apabila sahaja datuk itu dengan romantisnya memimpin tangan nenek untuk melintas jalan sambil sebelah lagi tangannya mengheret basikal. Datuk kelihatan sangat macho, cool dan tough, membela lagi melindungi. Penuh kasih sayang dan perhatian. Air muka nenek pula berseri-seri bahagia, penuh kemanjaan dalam kematangan. Aduh, saya ingin menjadi seberuntung, sebertuah nenek itu. Sejujurnya, saya ingin! Saya mahu! Kerana saya juga seorang wanita yang normal, punya hati mahu disayangi.

Saya tidak tahu apakah sejarah rumahtangga mereka. Adakah mereka pasangan yang berkahwin sesama teruna dara, atau duda dara atau teruna janda atau duda janda. Apa yang pasti mereka kini telah hampir sampai ke kemuncak cinta dan bahagia iaitu untuk bertemu Tuhan pula. Tentunya dalam tempoh untuk tiba ke tahap ini, telah banyak rintangan, susah dan senang, suka dan duka, pahit dan manis yang mereka harungi bersama-sama.

Bayangan datuk memimpin nenek telah lebih seminggu bermain-main di fikiran saya. Saya membayangkan pula jika saya berada di tempat nenek itu, dipimpin oleh seorang datuk yang macho, cool lagi tough untuk ke surau atau masjid di setiap dingin dinihari mahu pun di setiap rembang senja. Alangkah bahagianya jika bayangan itu menjadi kenyataan.

Ah, jika dipanjangkan usia – bagaimanakah pula saya di waktu tua nanti – ketika anak-anak telah pun dewasa dan mula melagukan For the Rest of My Life kepada pasangan hidup masing-masing. Apakah akan ada datuk yang memimpin tangan nenek ini? Apakah akan ada datuk yang menjaga hati nenek ini? Apakah akan ada datuk yang menghiburkan jiwa nenek ini? Apakah akan ada datuk yang membela, mengasihi, melindungi dan memberi perhatian kepada nenek yang manja ini?

Apakah lagu For The Rest of My Life akan didendangkan oleh seorang datuk untuk nenek ini?

Mengenangkan diri yang telah disingkirkan orang, maka sedarlah saya dari impian dan angan-angan. Maka bayangan datuk-nenek yang berpimpin tangan pun berkecai di fikiran. Siapa yang tidak ingin bahagia? Siapa yang tidak ingin punya teman untuk bergurau senda, menangis bersama dan bermanja-manja? Tetapi buat masa ini, dengan semua peristiwa airmata yang telah menimpa, saya memandang positif bahawa Allah itu Maha Adil, tetap di singgahsana keadilan-Nya, tidak akan berganjak sampai bila-bila. Allah pasti memberi kebahagiaan di tempat lain jika tiada kebahagiaan di suatu sisi.

Saya tidak pernah kecewa. Jika Allah tidak memberi datuk untuk memimpin saya di hari tua, biarlah Allah yang memimpin saya. Jika Allah tidak mengurniakan datuk untuk menjaga saya di hari tua, biarlah Allah yang menjaga saya. Jika Allah tidak menganugerahkan datuk untuk menghiburkan saya di hari tua, biarlah Allah yang menghiburkan saya. Itulah sebaik-baik pemberian, kurnia dan anugerah Allah buat saya.

Saya sememangnya seorang wanita yang manja tetapi dalam masa yang sama, Allah menjadikan hati saya kuat, tekad, tabah dan bersemangat. Saya mungkin bukan dilahirkan untuk bermanja kepada manusia, tetapi khusus untuk bermanja kepada Allah dan memanjakan yang lain pula. Saya mungkin tidak akan dipimpin oleh seorang suami tetapi khusus dipimpin oleh Allah dan kemudiannya memimpin yang lain pula. Saya pasti akan menjadi nenek yang bahagia dipimpin Allah dan memimpin ummah pula.. insya Allah.

Cukuplah Allah Yang Maha Perkasa, lebih baik daripada manusia yang lemah serba segala terutamanya seorang datuk yang semestinya telah tua lagi lemah tak bermaya.....

For The Rest of My Life.. He’ll be with me.. He'll stay by my side.. Honest and True.. till the end of my time.. I'll be loving Him.. loving Him...

Tuesday, March 15, 2011

Bunga Harum

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sekuntum bunga – yang harum baunya menjadi perhiasan alam. Adanya mewangikan, tiadanya seri menghilang. Sekuntum bunga – yang harum baunya lebih dicintai orang berbanding sekuntum bunga yang tiada baunya.

Sekuntum bunga harum yang tidak indah di pandangan mata sememangnya kalah berbanding bunga yang indah bentuknya. Namun semakin dihampiri, semakin terserlah pula keistimewaannya. Keharumannya yang semerbak membuat jari ingin memetik, membikin hati ingin memiliki.



Keharuman menjadikan sesekuntum bunga itu rebutan orang. Cantik atau tidak bukan hal lagi. Sesiapapun jua ingin menjadikan bunga harum sebagai perhiasan di jambangan indah yang telah tersedia di dalam kamar.

Keharuman sekuntum bunga itu ternyata lebih menarik dari keindahan bentuknya.

Pun demikian, bunga harum ‘kan tetap harum - sama ada dipetik orang mahu pun tidak, sama ada disunting kumbang mahu pun tidak. Sekuntum bunga harum akan terus menebarkan keharumannya sampailah ia gugur menyembah bumi.

*Wahai wanita-wanita seisi alam ini yang kusayangi, mari kita menjadi bunga harum yang mengharumkan agama-Nya dengan keharuman akhlaq yang solehah, dengan keharuman taqwa kepada Allah.

Sunday, February 27, 2011

Tempat Pertama

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika jatuh kedudukanmu di kalangan manusia, janganlah berputus asa. Masih ada tempat pertama yang Allah sediakan untukmu di alam yang luas ini. Bahkan tempat pertama inilah yang wajib engkau dambai semenjak dahulu lagi.

Majukanlah ruhanimu..

Bangunkanlah pencakar imanmu biar sampai langit ketujuh. Tinggalkanlah kesia-siaan. Usah dikejar manusia yang binasa. Kejarlah cinta Allah yang kekal buat selamanya. Usah diangankan rumahtangga yang penuh bahagia, angankanlah syurga Allah yang dipenuhi nikmat tidak terduga. Usah dirindui kasih sayang seorang suami, rinduilah Rahman dan Rahiim Allah yang tidak luak sampai bila-bila.

Melangkahlah di era kemajuan hidayah dan ruhani. Hilangkanlah sepi dan sunyimu – dengarkanlah ratib para malaikat di langit-Nya, rasailah denyut zikir urat nadi yang berselirat di seluruh tubuh badanmu, hidulah aroma sedap dari bayu yang tidak putus bertasbih kepada-Nya, syukurilah kehebatan segala gajet Allah pada fizik dan jasadmu.

Engkau tidak 'kan pernah rendah, malah engkau ‘kan tinggi di sisi Allah. Tempat pertama akan menjadi milikmu kerana Allah tidak pernah salah mengadili.

Tiada Yang Kekal - Melainkan Allah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiada kerajaan yang kekal melainkan kerajaan Allah, tiada kekuasaan yang kekal melainkan kekuasaan Allah, tiada kehebatan yang kekal melainkan kehebatan Allah, tiada keindahan yang kekal melainkan keindahan Allah, tiada cinta yang kekal melainkan cinta Allah.

Tiada yang kekal melainkan Allah…

Oh Allah - i love U.. i need U. Only U. Nothing else.

Jangan Berkecil Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan berkecil hati jika engkau bukan pilihan utama manusia, asalkan engkau adalah pilihan utama Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dicintai manusia, asalkan engkau dicintai Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dipandang manusia, asalkan engkau dipandang Allah. Jangan berkecil hati jika engkau bukan kerinduan manusia, asalkan engkau dirindui Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dipinggirkan manusia, asalkan engkau tidak dipinggirkan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dihina manusia, asalkan engkau tidak hina di sisi Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dihargai manusia, asalkan engkau berharga pada pandangan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak mulia di mata manusia, asalkan engkau mulia di bawah duli keagungan Allah.

Jangan berkecil hati jika seribu kebaikanmu tertutup oleh gelaran janda beranak 4, asalkan Allah membaikkan hidupmu dengan gelaran janda suci yang berjihad membesarkan 4 Muhammad-Nya – yang bersih dan suci. Jangan berkecil hati.. jangan sekali-kali berkecil hati kerana engkau tidak dilahirkan untuk berkecil hati tetapi engkau telah dilahirkan dengan jiwa yang besar, tabah menghadapi segala keperitan hati dan perasaan.

Wednesday, February 16, 2011

Kesakitan Itu Manis, Kemanisan Itu Sakit

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Apabila Allah memberi sakit, di hati dan di jasad - maka ia menjadi kemanisan paling bererti bagi seorang hamba. Kemanisan menghadapi ujian yang bertimpa-timpa; kemanisan merasai adanya Allah bersama; kemanisan melihat kuat dan teguh jiwanya.

Apabila Allah memberi manis, pada segalanya yang penuh bahagia - maka ia menjadi kesakitan paling mudharat bagi seorang hamba. Kesakitan menghadapi kerakusan dunia yang menggoda; kesakitan akibat jauh dari-Nya; kesakitan lantaran jiwanya kian lemah tak berdaya.

Sungguh, kesakitan itu terlalu manis bagiku. Dalam teriak tangis suara di dadaku, bersama airmata yang tidak sudi berhenti; aku merasakan kepuasan tidak terhingga lantaran sungguh yakin aku dipandang Tuhan dengan penuh kasih sayang, penuh belas kasihan. Aku tidak perlukan apa-apa dan siapa-siapa pun dalam kondisiku yang begini. Walaupun aku terlalu sepi dan sunyi.


Cukuplah Allah bagiku kerana Dia tidak pernah menyakiti, Dia tidak pernah menolakku biarpun aku hanyalah seorang janda. Cinta-Nya ternyata Maha Suci, Maha Tulus, Maha Agung. Aku tidak mahu mengharapkan sesiapapun lagi kerana aku adalah janda suci di sisi Ilahi.

Biarlah aku terus sendiri jika inilah taqdir yang telah ditetapkan Ilahi. Kerana Dia Maha Adil, Dia Maha Mengetahui apa dan siapakah yang terbaik buatku, buat anak-anakku. Semoga aku layak menjadi bidadari di taman syurga-Nya yang indah dan disunting oleh seorang wildan pilihan-Nya di sana. Amiiiin Ya Rabbal 'Aalamiin..

*eksperimen menggunakan ganti nama aku :) . Inspirasi dari bisik semangat Kanda Fauziah Salleh tercinta, yang tak putus-putus memberi semangat.

Monday, February 14, 2011

Salam Atasmu Ya RasulalLah..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam atasmu duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa. Lelaki budiman, yang terpuji sekalian alam. Cahaya untuk ummat yang berhati waja.


Duhai yang dikasihi Allah, kisah hidupmu yang penuh duka menjadi hiburan buat yang menderita. Ketabahanmu mengalir ke telaga jiwa si melarat. Kesantunanmu menjadi contoh tauladan. Ketaqwaanmu menjadi ikutan.

Perkahwinanmu dengan Sayyidatina Khadijah - membuat si janda merasa mulia. Sedang dirimu masih teruna, engkau sudi menerimanya yang telah janda dari dua suami. Sedang engkau masih muda, engkau sudi menerimanya yang lima belas tahun lebih tua. Betapa engkau telah mengangkat kedudukan si janda yang memelihara kehormatan dirinya.

Semoga hamba dapat terus menyintai pahlawan agama yang telah menyelamatkan janda-janda. Dan semoga hamba ditemukan dengan seorang penyelamat pilihan Allah. Amiiiin..

Selawat dan salam atasmu sebanyak-banyaknya duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa..

Thursday, February 10, 2011

Get Well Soon!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hati ini – masih sakit. Di sini, masih ada darah yang mengalir, lukanya masih rabak. Goresan luka-luka lama masih kelihatan, parutnya nipis dan mudah koyak. Terasa-rasa denyutan di dalamnya terlalu lemah. Kemalangan bertimpa-timpa yang ditempuhi membuatkan hati ini cedera parah, hampir sahaja hancur dan musnah. Darah dan airmata, mengalir sama serupa.

Hati ini terlalu sakit. Tetapi ia masih sahaja terus berdenyut. Ia belum mahu mati-mati lagi. Ia sungguh nnele (gigih bertahan). Ayat-ayat cinta Allah memberi gagah untuk hati ini berdenyut perlahan-lahan; perlahan dan perlahan.. demi mengumpul kembali kekuatan.

Kesakitan masih terasa, di mana-mana. Dunia kelihatan gelap, hidup seperti keseorangan, segala pintu bagaikan tertutup kemas, ruang untuk melangkah ibaratnya tiada. Saya bersendirian menghadapi semua ini. Saya merasainya sedangkan dia tidak merasai sedikit pun. Saya menangis derita sewaktu dia gagah gembira.

Biarkanlah dia terus bahagia dengan haluan hidupnya. Dan biar pula saya bahagia dan berjaya di haluan hidup saya. Kenapakah saya perlu hairan dan peduli dengan seorang lelaki ego sepertinya? Yang tidak tahu menghargai cinta dan pengorbanan yang tulus. Kenapakah saya perlu kisah dengan seorang lelaki pengecut sepertinya? Yang tidak pernah membuktikan cinta yang wujud di hatinya. Saya masih hidup walaupun tanpa cintanya. Saya tetap hidup walaupun tanpa perhatiannya. Saya dapat terus melangkah gagah, walaupun hati saya telah luka parah dari segala tingkahnya.

Ada yang membuatkan hati saya ini terus hidup walaupun di dalam sakitnya yang amat itu.

Pertamanya - tentu sahaja kerana Kekasih Agung Yang Maha Menghidupkan masih memberi nyawa buat hati ini. Dia tidak pernah meninggalkan saya. Dia sentiasa merawat walau dalam kemalangan apa pun yang hati saya hadapi. Dia sentiasa memberi sepenuh cinta dan kasih sayang. Cinta-Nya mencukupkan apa yang tiada di dalam hidup saya - cinta seorang lelaki.

Keduanya, lapan biji mata yang sering berkelip-kelip memandang saya penuh harapan kasih. Lapan biji mata putih yang bersih dan suci - setiap hari menilik tingkah ibunda mereka. Setiap saat mendambakan tumpuan dan perhatian saya. Pandangan mata mereka perlu saya balas sepenuh cinta walaupun hati saya tersangat sakit oleh kekasaran seorang manusia.

Ketiganya, puluhan bahkan ratusan jiwa yang masih mahukan khidmat bakti saya dalam meneroka keindahan ilmu Matematik dengan penghayatan Islam. Saya mesti bangkit setiap pagi, dengan nafas yang ditarik sekuatnya demi menyampaikan ilmu, membantu puluhan dan ratusan jiwa itu menempuh jalan sebagai pembantu agama-Nya. Jiwa saya masih hidup walaupun hati saya masih lagi sakit.

Tiga sebab utama ini – membuatkan dunia saya menjadi cerah kembali, hidup saya meriah dan ramai, segala pintu terbuka luasnya, dan ruang untuk melangkah masih saujana mata memandang.

Dia bukan salah satu dari tiga sebab utama ini. Kehilangannya seorang diganti Tuhan dengan jutaan lagi yang lebih baik darinya. Saya dapat membuangnya dari hidup saya, sepertimana dia telah membuang saya dari hidupnya.

Telah pun lama hati ini terluka, masih lagi ia sakit menderita. Tetapi saya sentiasa percaya, saya sentiasa menunggu dengan sabar akan tiba saatnya hati saya sembuh kembali. Ia akan menjadi sebuah hati yang sihat, gembira dan bahagia. Ia akan berdenyut kuat, darah-darahnya mengalir panas, bukan pada luka-lukanya tetapi di luas rongga dada.

Pengganti yang sebaik-baiknya akan tiba. Dia sedang di dalam perjalanan yang diaturkan Allah untuk menemui saya. Dia masih di dalam simpanan Allah, untuk akhirnya menjadi pelengkap hidup saya di dunia dan di akhirat. Insya Allah..



Saya sedang menunggu dengan sabar, saya yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia..

Get well soon, Wahida! Get well soon...

Monday, February 7, 2011

Jauh

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang-kadang saya terasa ingin pergi jauh; jauh sejauh-jauhnya...

Sahara Penipu Vs Oasis Idaman

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dunia ini sahara. Kering, tandus lagi panas membahang. Sahara yang sepi, kosong dan tiada kehidupan. Manusianya adalah pengembara. Kelesuan, dahaga lagi putus asa. Mencari air untuk menyegarkan tubuh, menghilangkan dahaga dan membina semangat hidup. Seperti mengerti keinginan si pengembara, sahara ini seringkali menipu..dengan bayang-bayang *logamayanya.

Dari jauh, sungguh indah kelihatan sumur air yang luas, saujana mata memandang. Dahaga si pengembara melonjak. Nafsunya menggelagak. Deras-deras langkah diatur. Impian – meneguk air yang menyegarkan, mandi-manda dalam kedinginan dan beristirehat dari lelah yang panjang.

Apabila berdekatan, sedarlah si pengembara..sahara menipunya cuma. Tiada tasik tiada air. Yang ada hanyalah kepanasan yang sama, di mana-mana jua. Pengembara telah tertipu, sahara seperti mengetawakan. Kesegaran, kedinginan dan kerehatan yang dicari namun hanyalah kerimasan, kehangatan dan kepenatan yang didapati. Segalanya menjadi lebih teruk dari apa yang dibayangkan.

Dunia ibarat sahara yang menipu.


Telah Allah petakan jalan menuju oasis tetapi pengembara sering mungkir dari petunjuk-Nya. Bilakah pengembara akan menemui oasis sebenar? Oasis yang akan menghilangkan segala dahaga, tempat mandi-manda dan kerehatan damai dari segala kelelahan.



Pengembara yang teguh jiwanya tidak akan berputus asa mencari oasis idaman, langkah diteruskan dengan pergantungan harapan kepada Allah. Logamaya yang menipu ditinggalkan, langkah diatur berani dan tabah. Di hatinya sentiasa yakin, berkat kesabaran dan keteguhan hati kepada Yang Maha Belas Kasihan, dia akan menemui oasis idamannya suatu hari nanti. Dan dia yakin, Allah tidak pernah mensia-siakan perjalanan yang dilakukan dalam mencari oasis idaman itu. Lalu di akhirat nanti, dia akan mendapat oasis sebenar dari Allah, oasis syurga yang indah..

Alangkah rugi, jika dunia yang sahara ini dijadikan buruan, lalu oasis syurga yang indah dikesampingkan.

*logamaya = fatamorgana. Kecil-kecil dulu, saya suka membaca buku teks sekolah menengah Ma. Lalu terjumpa istilah logamaya. Bila dah belajar Sains di sekolah menengah, saya pun sedar fenomena fatamorgana yang sedang dipelajari adalah fenomena logamaya yang pernah saya baca sewaktu kecil... istilah sahaja yang berubah.

Saturday, February 5, 2011

Layakkah Disayangi?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiba-tiba hati saya cuba dipertalikan dengan seorang lelaki. Dari kisahnya, dia adalah seorang lelaki yang sangat jurus, sopan santun dan berhemah. Orangnya punya jiwa yang tegar, tetap berpaksikan pendirian walau badai apa pun melanda, tidak pernah ambil hati dengan cakap-cakap orang. Saya belum pernah mengenalinya. Dan saya tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan mengenainya.

Dari kejurusan semenjak kecilnya yang dikhabarkan, saya dapat mengagak, dia adalah seorang lelaki yang baik, mampu memimpin saya dan 4 Muhammad. Kerana kejurusan adalah keindahan akhlak – mencerminkan jiwa yang patuh kepada Allah.

Itu bukan soalnya.

Soalnya adalah, adakah saya layak untuk disayangi oleh seseorang yang sangat baik sepertinya? Adakah saya masih layak untuk sebuah cinta dan perhatian dari seorang suami? Kerana saya bukanlah seorang Noorwahida tetapi saya lima orang Noorwahida, Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili. Cukupkah ruang di hatinya untuk memuatkan kami berlima yang tersangat ramai ini?

Dan layakkah saya yang telah bergelar janda yang serba kekurangan ini untuk disayangi lagi?...

Friday, February 4, 2011

Anak Alam

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya menetap di tanjung berhampiran Bukit Keluang semenjak berusia 6 tahun. Ketika itu, perkampungan yang saya huni ini adalah hutan belukar yang dipenuhi pepohon kemunting dan gelam. Kebanyakan penduduknya adalah nelayan pesisir pantai.

Saya semenjak kecil, adalah anak alam yang sering menjelajah mengenali dunia melalui penerokaan-penerokaan yang tiada hentinya. Walaupun anak perempuan, pokok mana yang tidak pernah saya panjat. Pokok ketereh, pokok jembal bahkan kelapa pun pernah. Aktiviti saya bersama kawan-kawan, bukanlah di dalam pondok masak memasak atau bermain kahwin-kahwin. Kami menjelajah sampai ke Bukit Keluang, masuk ke dalam gua-guanya, tersesat di hutan, mencari buah kemunting, menangkap burung dan ayam, jatuh pokok, digigit kerengga dan tebuan..dan tidak lupa..tentulah mengotorkan baju sendiri lalu bikin susah untuk Ma membasuhnya setiap petang.

Dan.. ketika mencari buah kemunting lebih 20 tahun yang lalu, saya pernah tersesat di dalam hutan berhampiran tapak MRSM Kota Putra sekarang. Tidak pernah saya bayangkan, tempat saya mencari kemunting suatu masa dahulu, menjadi tempat saya mencari rezeki pada hari ini.

Keindahan alam, kelembutan hembusan bayu, kesenian bunyi-bunyian – deburan ombak, siulan unggas dan lakaran awan di langit biru adalah penghibur duka semenjak saya kecil lagi. Alam ini seperti memberi semangat luar biasa buat saya mengharungi segala macam cabaran di dalam hidup.

Apabila airmata mengalir di pipi, ombak yang mendebur pantai seperti menyatakan kepada saya ‘Jangan pernah mengalah’. Apabila telinga ini kepedihan mendengar maki hamun orang, bayu pula lembut membisikkan ‘Kesabaran adalah kekuatan teragung seorang manusia’. Jika hati saya gundah gulana, merenung langit adalah ubat mujarab yang sentiasa memujuk lalu membangunkan kembali semangat saya ‘Dunia ini sangat indah, nikmatilah hidupmu dengan hati yang bahagia – menyintai alam dan seluruhnya adalah kebahagiaan untuk sebuah hati yang masih hidup’.

Pantai yang setia menunggu ombak walau sering sahaja dihempasi menjadikan saya seorang yang sangat tegar ketika melewati saat-saat genting.
Alam adalah teman, guru, kadang-kadang pendita bisu yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Hidup bukan sekadar nyawa tetapi denyut nadi, aliran darah, gerak akal dan cinta hati.


4 Muhammad kini sedang mewarisi alam..

Thursday, February 3, 2011

Lasykar Ombak

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hampir setiap hari, kami berlima akan bercinta dengan alam. Petang, sampai hampir Maghrib kami akan meneroka dan mengamati Keagungan Pencipta yang menjadikan alam ini sains yang penuh kesenian. Anak-anak, tidak pernah jemu bila sahaja saya mengungkapkan, ‘ Jom, Bukit Keluang..’ . Walaupun setiap hari, walaupun tiga kali sehari. Bukit Keluang, sepertimana yang diungkapkan oleh Big Boss MARA dalam ucapannya, adalah antara pantai tercantik di dunia. Alangkah bangganya saya menjadi salah seorang penghuni pinggiran pantai ini.



Selalunya, jam enam kami akan duduk-duduk di tepi pantai. Anak-anak seperti biasa, akan bermain pasir, membina istana pasir atau melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kadang-kadang bergaduh merebutkan pasir (yang sangat banyak itu :). Mereka juga gemar melontar batu, cengkerang atau kayu ke arah ombak yang mendebur pantai.

4 Muhammad selalunya mempunyai idea-idea canggih permainan yang menyeronokkan. Tanpa kereta remote, tanpa Lego dan segala permainan terkini, mereka dapat mencipta keriangan tanpa had dengan menggunakan pasir-pasir pantai, ranting-ranting kayu, kulit-kulit siput dan buah-buah rhu (yang mereka panggil baby durian :)



Saya, seperti semenjak kecil, biasanya terleka dengan hobi sendiri. Merenung langit biru yang menjadi kanvas kesenian Allah. Indah. Tenang. Apabila melihat awan bergerak ditiup bayu, hati saya disentuh suatu rasa ajaib yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sering mengajak 4 Muhammad merenungi langit biru dan menyuruh mereka melukiskan bentuk awan yang dilihat di atas pepasir pantai.


Cinta bersembunyi di sebalik hati..

Dan aktiviti kegemaran kami berlima adalah menjadi lasykar dalam peperangan dengan ombak. Kami akan menunggu ombak di gigi air sedekat mungkin. Apabila ombak datang menyerang, kami akan segera melarikan diri. Siapa yang terkena air, maka dia diisytiharkan kalah. Inilah saatnya saya benar-benar tertawa tanpa mengingati apa pun kedukaan.

Kamilah lasykar (tentera) ombak. Kami sedingin air tetapi kami mahu menjadi tsunami yang bakal mengubah dunia. Insya Allah!!

Thursday, January 6, 2011

Tahun-tahun Perjuangan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

3 Januari 2011

Hari ini, Fateh sudah darjah tiga, Auzaie mula masuk darjah satu, manakala Hadi dan Syazili, pra sekolah. Hari ini, paginya saya sambut penuh semangat. Terasa semboyan ilmu menggerakkan semangat kami berlima.

‘Anak-anakku, tidak akan ketinggalan lagi di bidang ilmu. Akan Ummi bela nasibmu yang telah terbengkalai lantaran demikian kerasnya Ummi berusaha mencarikan nafkah selama setahun yang penuh tragedi. Hari ini, Allah telah menggantikan sumber rezeki itu dengan yang lebih baik, maka wahai anak-anakku.. kalian berhak mendapat pencerahan dari nikmat ilmu yang mencurah-curah. Ini, di sini.. pada Ummi kalian.. Allah telah mengizinkan persinggahan ilmu (walaupun hanyalah secebis).. maka sepatutnya kalianlah yang terlebih dahulu mendapat bahagiannya.’

Fateh adalah yang paling awal bangun - seperti selalunya. Ketika saya telah bersiap-siap untuk ‘berperang di dapur’ pada lebih kurang jam 5, dia telahpun mencelikkan mata. Walaupun tahun 2010 mencalarkan sedikit rekod akademiknya, semangatnya untuk bersekolah tidak pernah luntur. Walaupun sering sahaja menjadi mangsa buli di sekolah, dia tidak pernah serik untuk hadir dan terus hadir. Saya nampak – di dalam jiwanya ada rasa cinta kepada ilmu dan cabaran tetapi pengalaman tahun 2010 telah sedikit sebanyak merencatkan kebangkitannya. Terhalang bersekolah selama 2 bulan lantaran disekat surat pertukaran sekolah (oleh entah siapa…) dan memasuki wad akibat pembedahan apendiks membuatkannya sedikit terganggu. Pun begitu, dia masih tetap melangkah di lorong ilmu, dengan teguh.

Teguhnya, meneguhkan saya.

Jam 7, kami pun bertolak dari rumah. Setelah menghantar Fateh ke kelasnya, saya menghantar pula Auzaie. Seperti Fateh 2 tahun yang lalu, Auzaie juga tidak menangis. Dengan selamba, selepas mencium tangan saya, dia duduk di kerusi lalu mengeluarkan alat tulisnya. Melihatkan ketenangannya itu, saya penuh percaya meninggalkannya di sekolah. Saya yakin, Auzaie tidak akan menangis kerana dia sangat tegas dan berani. Di kalangan 4 Muhammad, dialah yang paling berani walaupun bertubuh kecil sahaja. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli, bahkan dia tidak akan ragu-ragu membalas orang yang berbuat jahat kepadanya. Dan dia sekali-kali tidak akan membiarkan sesiapapun di kalangan adik-beradiknya dibuli orang.

Setelah demikian meyakini Auzaie, saya menghantar pula Hadi dan Syazili ke sekolah mereka. Alhamdulillah – mereka juga riang gembira berada di sekolah. Sampai sahaja terus berkawan-kawan. Hadi dengan lagak kelakarnya sering membuatkan guru-guru sayang. Dan Ali yang petah itu, mudah mendapat kawan.

Saya merasa sangat senang hati. Saya menerima 4 Muhammad sebagai pemberian Allah untuk menghiburkan hati. Mereka adalah hadiah. Mereka adalah anugerah. Mereka sungguh berharga dan bernilai di mata dan di hati saya. Semenjak lahir, seorang demi seorang, tahun demi tahun, merekalah yang menghiburkan dan membahagiakan saya. Karenah mereka tidak menyakitkan hati, mendengar kata dan sentiasa mengasihani saya. Segala puji bagi Allah.

Masih banyak masa yang ada – jika saya dipanjangkan umur – untuk mendidik mereka. Asas-asas ilmu wajib diperturunkan agar mereka lancar menyerap tingkatan ilmu yang lebih tinggi. Mengaji, membaca, mengira dan menulis adalah asas-asas utama yang mesti saya laksanakan untuk mempersiapkan mereka dengan cabaran ilmu yang kian sukar.

Mereka akan hidup di alaf yang tidak terjangkau aliran teknologinya. Mereka akan melalui perubahan zaman dan gajet yang mencabar. Tugas sayalah sebagai ibu untuk memantapkan mereka sebagai genius yang bertaqwa kepada Allah.

Saya mahu menjadi ibu yang berjuang, memerah seluruh keringat dan airmata, mengerah segala tenaga dan daya demi memberi kehidupan buat anak-anak. Saya mahu menjadi wanita yang kuat, tekad, gagah lagi berani walaupun hati saya telah dicincang selumat-lumatnya.

Inilah tahun-tahun untuk saya memperjuangkan 4 Muhammad di peta ilmu. Inilah tahun-tahun untuk saya menebalkan hati demi hari esok untuk Islam, kerana 4 Muhammad ini adalah amanah Allah untuk saya - agar mendidik mereka menjadi Pembantu Agama-Nya yang tegar. Insya Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...