Saturday, April 23, 2011

Lapangan Berjuang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lapangan alam ini masih terlalu luas, belum kau jelajahi. Samudera saujana mata memandang, belum kau seberangi. Bukit dan gunung memasak bumi, belum kau daki. Sawah bendang terbentang, hutan dan paya dan segalanya. Masih luas bumi ini yang belum kau terokai.

Langit membiru dihiasi awan gemawan. Bayu bertiup menggelombangkan ombak. Pepohon menghijau.. melambai gemalai. Ayam berkokok bersahut-sahutan. Burung berterbangan indah berkicauan. Di sana sini, alam masih hidup seperti biasa. Manusia-manusianya masih bangun di waktu pagi. Mengapa kau perlu mati? Maksudku mengapa kau perlu mati hati dan perasaanmu kerana tingkah seorang lelaki?

Mengapa di saat insan lain ketawa gembira, kau perlu menangis berduka? Mengapa di saat manusia lain berbahagia, kau perlu menanggung kecewa?

Bukankah lapangan alam ini masih terlalu luas? Bukankah ciptaan Allah di seluruh alam ini sangat indah dan mengujakan? Bukankah segalanya di seisi alam ini telah Allah sediakan untuk menghiburkan hamba-Nya?

Kau dikurniakan hati yang lembut, penyayang lagi menghargai, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membangunkan ramai manusia yang kegersangan jiwanya dari kasih sayang. Bangkitkan jiwa mereka dengan Islam. Teguhkan hati mereka dengan Tuhan. Kau dikurniakan ketajaman akal dan keindahan bahasa, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membantu mereka yang memerlukan. Kau dikurniakan kelunakan bersuara yang menusuk jiwa-jiwa, gunakanlah ia untuk memimpin muda-mudi di sekitarmu.

Biarlah.. di saat kau kehilangan pimpinan dan tiada yang sudi memimpinmu, kau sebenarnya sedang dipimpin Allah dan mampu pula memimpin manusia lainnya.

Wahai, alam untukmu berjuang masih terlalu luas. Tumpahkanlah seluruh tenaga mudamu demi ummah ini dan berbahagialah dengannya. Kau berhak untuk bergembira dan berbahagia dalam hidupmu yang singkat ini. Jangan kau tumpahkan air matamu lagi kerana ia setitis pun tidak bererti bagi seorang lelaki. Kau tidak dilahirkan untuk menderita dan merana... kerana Allah Yang Maha Adil pasti memberimu nikmat bahagia melalui pelbagai cara.

Kau sesungguhnya istimewa di sisi Allah, kau sesungguhnya istimewa di hati ummah.

*Khusus buat kaum Hawa kesayanganku...

For the Rest of My Life

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hari-hari kebelakangan ini adalah hari-hari yang amat padat. Tanggungjawab sebagai ibu tunggal yang fokus sepenuhnya kepada 4 Muhammad dan guru yang giat membangunkan pelajar menyebabkan saya kesempitan masa untuk menghadap blog. Saya masih berkarya seperti biasa tetapi untuk duduk menghadap laptop dan memasukkan entry, masa saya terlalu sempit.

Pada kesempatan masa yang ada ini, saya ingin berkongsi suatu peristiwa yang telah mencuit jiwa saya sebagai seorang wanita. Peristiwa yang kecil tetapi begitu besar dan bermakna buat saya. Ia berlaku di suatu petang ketika saya keluar membeli-belah bersama 4 Muhammad.

Saya terpandang sepasang warga emas yang menaiki sebuah basikal ketika berhenti di traffic light. Si datuk mengayuh perlahan, nenek pula tenang memaut pinggangnya. Mereka kemudiannya berhenti untuk melintas jalan. Suami dan isteri yang berusia lebih separuh abad itu turun dari basikal..

Apa yang terjadi setelah itu benar-benar mencuit hati kecil saya. Seperti ada suatu sentuhan halus yang mengenai jiwa saya ketika itu.

For the rest of my life.. I'll be with you.. I'll stay by your side.. honest and true.. till the end of my time.. I'll be loving you...

Irama lagu Maher Zain yang popular itu seolah-olah mengiringi apabila sahaja datuk itu dengan romantisnya memimpin tangan nenek untuk melintas jalan sambil sebelah lagi tangannya mengheret basikal. Datuk kelihatan sangat macho, cool dan tough, membela lagi melindungi. Penuh kasih sayang dan perhatian. Air muka nenek pula berseri-seri bahagia, penuh kemanjaan dalam kematangan. Aduh, saya ingin menjadi seberuntung, sebertuah nenek itu. Sejujurnya, saya ingin! Saya mahu! Kerana saya juga seorang wanita yang normal, punya hati mahu disayangi.

Saya tidak tahu apakah sejarah rumahtangga mereka. Adakah mereka pasangan yang berkahwin sesama teruna dara, atau duda dara atau teruna janda atau duda janda. Apa yang pasti mereka kini telah hampir sampai ke kemuncak cinta dan bahagia iaitu untuk bertemu Tuhan pula. Tentunya dalam tempoh untuk tiba ke tahap ini, telah banyak rintangan, susah dan senang, suka dan duka, pahit dan manis yang mereka harungi bersama-sama.

Bayangan datuk memimpin nenek telah lebih seminggu bermain-main di fikiran saya. Saya membayangkan pula jika saya berada di tempat nenek itu, dipimpin oleh seorang datuk yang macho, cool lagi tough untuk ke surau atau masjid di setiap dingin dinihari mahu pun di setiap rembang senja. Alangkah bahagianya jika bayangan itu menjadi kenyataan.

Ah, jika dipanjangkan usia – bagaimanakah pula saya di waktu tua nanti – ketika anak-anak telah pun dewasa dan mula melagukan For the Rest of My Life kepada pasangan hidup masing-masing. Apakah akan ada datuk yang memimpin tangan nenek ini? Apakah akan ada datuk yang menjaga hati nenek ini? Apakah akan ada datuk yang menghiburkan jiwa nenek ini? Apakah akan ada datuk yang membela, mengasihi, melindungi dan memberi perhatian kepada nenek yang manja ini?

Apakah lagu For The Rest of My Life akan didendangkan oleh seorang datuk untuk nenek ini?

Mengenangkan diri yang telah disingkirkan orang, maka sedarlah saya dari impian dan angan-angan. Maka bayangan datuk-nenek yang berpimpin tangan pun berkecai di fikiran. Siapa yang tidak ingin bahagia? Siapa yang tidak ingin punya teman untuk bergurau senda, menangis bersama dan bermanja-manja? Tetapi buat masa ini, dengan semua peristiwa airmata yang telah menimpa, saya memandang positif bahawa Allah itu Maha Adil, tetap di singgahsana keadilan-Nya, tidak akan berganjak sampai bila-bila. Allah pasti memberi kebahagiaan di tempat lain jika tiada kebahagiaan di suatu sisi.

Saya tidak pernah kecewa. Jika Allah tidak memberi datuk untuk memimpin saya di hari tua, biarlah Allah yang memimpin saya. Jika Allah tidak mengurniakan datuk untuk menjaga saya di hari tua, biarlah Allah yang menjaga saya. Jika Allah tidak menganugerahkan datuk untuk menghiburkan saya di hari tua, biarlah Allah yang menghiburkan saya. Itulah sebaik-baik pemberian, kurnia dan anugerah Allah buat saya.

Saya sememangnya seorang wanita yang manja tetapi dalam masa yang sama, Allah menjadikan hati saya kuat, tekad, tabah dan bersemangat. Saya mungkin bukan dilahirkan untuk bermanja kepada manusia, tetapi khusus untuk bermanja kepada Allah dan memanjakan yang lain pula. Saya mungkin tidak akan dipimpin oleh seorang suami tetapi khusus dipimpin oleh Allah dan kemudiannya memimpin yang lain pula. Saya pasti akan menjadi nenek yang bahagia dipimpin Allah dan memimpin ummah pula.. insya Allah.

Cukuplah Allah Yang Maha Perkasa, lebih baik daripada manusia yang lemah serba segala terutamanya seorang datuk yang semestinya telah tua lagi lemah tak bermaya.....

For The Rest of My Life.. He’ll be with me.. He'll stay by my side.. Honest and True.. till the end of my time.. I'll be loving Him.. loving Him...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...