Tuesday, October 14, 2008

Hari Lahir Ibu

Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran saya yang keenam sebagai ibu. Hari ini, enam tahun yang lalu adalah hari bersejarah di dalam hidup saya kerana saya telah melahirkan bayi sulung saya; serentak dengan itu, saya juga telah lahir sebagai seorang ibu! Alhamdulillah!! Allahu akbar!! Allahu akbar!!


Panggilan

Telefon berdering-dering ketika saya sedang terkocoh-kocoh di dapur; menyediakan hidangan tengah hari untuk keluarga. Waktu itu minyak sedang panas di dalam kuali di atas dapur; tangan saya pula hanyir dengan bau ikan. Deringan telefon memaksa saya menghentikan semua tugasan itu. Saya matikan api dapur, saya basuh tangan hanyir bersih-bersih. Sudah-sudah saja saya mengelap tangan, panggilan terhenti. Ah.. lambat. Siapa agaknya? Saya memeriksa telefon, oh.. panggilan dari Ma. Segera saya dail kembali. Atau kadang-kadang menunggu panggilan kedua darinya.

Demikianlah selalu yang berlaku.

Panggilan telefon yang berdering-dering, biasanya tidak sempat saya jawab lantaran sibuk dengan urusan rumahtangga. Kadang-kadang telefon berdering ketika saya sedang membasuh ‘yok’ anak kecil saya. Kasihan kepada pemanggil-pemanggil saya. Maafkanlah saya..



Seringkali apabila bersendirian, saya terkenangkan panggilan-panggilan yang tak terjawabkan itu. Panggilan dari manusia, boleh ditangguh-tangguhkan. Boleh ditunggu panggilan keduanya. Boleh juga jika tidak mahu dijawab. Tapi panggilan Allah, hanya sekali. Tidak tertangguh-tangguh, tiada yang kedua, tiada alasan untuk mengelak. Panggilan itu adalah panggilan agung, yang akan membawa saya menemui Tuhan. Panggilan yang akan memisahkan saya dengan segala-galanya di dunia ini.

Panggilan itu akan membawa saya pergi ke alam yang terasing dari kehidupan dunia ini. Saya akan bersendirian di sana. Tiada lagi suami dan anak-anak di sisi saya. Tiada lagi ibu dan ayah untuk menemani saya. Tiada juga rakan-rakan. Telefon bimbit saya tak akan dibawa bersama biar bagaimana canggih pun ia kerana tiada siapa yang akan memanggil saya lagi. Ia hanyalah pinjaman Tuhan sementara saya hidup di dunia; untuk menghubungkan silaturrahim sesama insan. Ia hanyalah alat.

Apa saja kebanggaan yang saya miliki di dunia ini akan saya tinggalkan begitu saja. Ruimahtangga yang aman damai, anak-anak yang soleh dan comel, suami yang dihormati, ibu bapa yang baik, mertua yang disegani, kerjaya surirumah professional, dan .. segala-galanya. Dari dunia yang sebegini meriah dan ramai, saya akan tinggal bersendirian, tertanam di dalam lubang; di dalam tanah. Saya akan terkambus dari pandangan dunia. Saya akan hilang selama-lamanya dari alam ini.

Sebelum tidur, di malam hari; ketika suasana sunyi sepi dan kegelapan menyelubungi diri, saya membayangkan keadaan saya di dalam lubang kubur yang bakal saya diami. Tilam empuk yang saya baringi akan berganti tanah hamis. Bilik yang selesa berkipas akan bertukar lubang sempit yang tiada pengudaraan. Lemaskah saya waktu itu? Hendak lari, jasad saya sudah tidak berfungsi lagi. Saya sudah hilang segala kekuatan, saya hanyalah mayat.

Waktu itu, saya tidak pasti adakah saya akan bergembira atau menangis duka. Saya tidak tahu bagaimanakah keadaan yang akan saya tempuhi. Gelapkah kubur saya? Sempitkah ia? Panaskah saya di dalamnya? Menangiskah saya untuk selama-lamanya.. lantaran penyesalan yang tidak berguna lagi? Oh Tuhan.. hamba-Mu ini gerun mengenangkan nasib 'masa depan'nya..

‘Tret tret..’ Maafkan saya, telefon saya berdering lagi.

Fear Factor

Saya sungguh pelik apabila ada seorang makcik bertanya, “Tak malu ke ada anak ramai?” Soalan itu bagi saya datang daripada seorang wanita yang keliru tentang peranan asasi seorang wanita. Apa yang perlu dimalukan dengan beranak ramai (bahkan bagi saya, empat itu belum cukup ramai.. kalau sebelas atau dua belas barulah betul). Anak-anak, sebagaimana harta, adalah anugerah sekaligus ujian dari Allah untuk hamba-hamba-Nya. Saya merasa bangga beranak ramai tetapi dalam masa yang sama memikul rasa gerun jika amanah tak tertunai. Saya menjawab makcik itu – “Kalau boleh saya nak anak berbelas-belas.” Dengan sedikit mencebik, dia bertanya lagi - “Tak serik ke sakit bersalin?” Saya tersenyum saja.



Sakit bersalin bagi saya memang dahsyat. Saya mengakui, saya bukan wanita yang terpilih untuk diringankan sakit bersalinnya. Sakit bersalin yang saya alami cukup menguji kesabaran. Biasanya saya akan mengalami sakit ‘acah-acah’ selama 3 hari dengan jalan yang hanya terbuka 2cm. Apabila jalan sudah terbuka 3 atau 4cm, saya akan mengalami sakit tak terucap, tak terkata, tak tertulis dan sebagainya selama sejam dua sebelum melahirkan bayi. Sejam atau dua jam itulah saat paling mengerikan dalam hidup saya. Waktu itu sungguh panjang bagi saya. Kesakitan yang saya alami seolah-olah akan meragut nyawa saya. Pada waktu itu, dunia bagaikan sudah sampai ke penghujungnya.

Bagi saya, saat-saat bersalin sungguh mencabar keberanian dan kegigihan seseorang wanita. Rasanya cabaran bersalin lebih hebat dari cabaran jungle trekking, wall climbing, bungee jump dan lain-lain lagi. Ia adalah satu misi yang SUNGGUH mendebarkan! Pun demikian, saya tidak pernah merasa serik untuk bersalin; bahkan sering menanti-nanti.. bilakah saya berpeluang lagi untuk mengharungi cabaran terhebat itu.. kerana kesakitan dan kesengsaraan sewaktu bersalin itu; akan hilang setelah mendengar tangisan bayi dan memandang wajah mulusnya. Segala kesukaran sembilan bulan mengandung dan keperitan sewaktu melahirkan akan hilang beransur-ansur seiring pekembangan bayi di hadapan mata.

Kesakitan bersalin adalah ruang pengampunan dosa bagi kita wanita. Inilah peluang terbaik bagi kita yang banyak dosa dan sering membuat dosa; memohon agar Allah ampunkan dosa-dosa kita. Bersalin adalah peperiksaan peringkat tinggi bagi seorang wanita. Selepas lulus peperiksaan itu, dia akan menerima ijazah berpangkat ibu - pangkat termulia bagi seorang wanita. Jadi, semakin kerap anda bersalin, semakin banyaklah ijazah anda! :)

Tuesday, October 7, 2008

Perjuangan Ibu

Ibu-ibu semenjak zaman berzaman telah berjuang demi kehidupan. Perjuangan ibu-ibu tak tertulis dalam buku-buku sejarah, tak terpahat di medal-medal dan tak ternilai dengan pingat-pingat. Tetapi perjuangan ibu-ibu sentiasa terlukis di layar ingatan sang suami, anak-anak malah bakal ditayangkan di layar Allah di akhirat kelak.

Peluh yang memercik ketika seorang ibu mengurusi rumahtangganya, airmata yang tumpah tatkala menghadapi karenah anak-anaknya dan darah yang mengalir sewaktu melahirkan ummah Muhammad; semuanya itu akan menjadi saksi pengorbanan ibu di hadapan Yang Maha Agung nanti.



Ibu-ibu zaman dahulu, perjuangan mereka adalah untuk menghadapi kesukaran fizik; pengurusan rumahtangga yang amat sukar; airnya terpaksa diangkut, membasuh dengan memerah keringat dan memasak dengan sehabis nafas(menghembus bara api). Malam hari mereka amat gelap, hanya cahaya pelita yang menemani. Waktu itulah anak-anak minta teman ke tandas, malah, menjahitkan baju yang koyak. Dinihari sudah bangun, menyediakan sarapan atau kuih untuk jualan.

Ibu-ibu zaman moden, perjuangan mereka(kami) pun tetap payah. Walau dari segi fiziknya, Allah telah mudahkan dengan teknologi-Nya yang canggih-canggih belaka. Tugasan rutin semakin mudah tetapi, perjuangan ibu-ibu tetap tidak habis. Kami menghadapi perjuangan hidup hari ini dengan kekuatan hati. Kesukaran mendidik anak-anak di zaman yang penuh dugaan ini benar-benar mencabar. Itulah perjuangan utama kami kini. Mengasuh dan mendidik tunas-tunas muda yang perlu membesar di dalam zaman jahiliah moden.

Siapa kata kami surirumah tidak bekerja? Malah kamilah pekerja tetap yang tidak akan berhenti kecuali mati telah menyapa.

Monday, June 16, 2008

Teknologi rahmat

Terima kasih Allah, segala puji bagi-Mu yang telah meminjamkan kami sebahagian teknologi dari sekian banyak teknologi yang Engkau miliki. Engkau telah memberi kami kemudahan di dalam urusan hidup kami. Engkau beri elektrik yang mengalir di wayar-wayar kuprum, supaya dengan elektrik itu, dapatlah sebahagian besar tugas kami diselesaikan oleh alat-alat yang manusia cipta. Bahkan ciptaan manusia itupun, tidaklah mampu mereka ciptakan jika tanpa ilham dan petunjuk dari-Mu.

Wahai Tuhanku, aku tidak tahu bagaimana manusia lain merasa betapa ringannya kemudahan yang Engkau berikan kini. Tetapi aku, sebagai seorang surirumah, benar-benar merasai nikmatnya. Urusan seharianku telah Kau mudahkan, mudah, semudah-mudahnya.

Aku tidak perlu mengutip kayu, menyala dan menjaga api untuk memasak. Ganti dari itu, telah ada dapur atau periuk elektrik yang hanya perlu ditekan suisnya. Selepas memasak pula, tidak perlu berteruk-teruk membersihkan dapur yang hitam akibat jelaga. Aku cuma perlu mengelap kesan-kesan percikan minyak atau air yang tumpah.


Aku juga tidak perlu memerah tenaga yang banyak untuk membasuh kain yang bertimbun setiap hari. Anak-anakku yang empat orang, baju yang mereka pakai setiap hari sudah mencecah 12 pasang. Dengan adanya mesin basuh, aku juga hanya menekan suis. Kemudian setelah dikeringkan, aku cuma menjemurnya di ampaian.

Engkau telah bekalkan air yang mengalir melalui pili-pili. Hendak memasak, membasuh pinggan mangkuk, membasuh pakaian bahkan mandi dan buang air sekalipun, sekarang mudah saja. Pulas saja kepala paip, tercurahlah air sekian banyak mengikut keperluan. Tidak perlulah aku berpenat lelah seperti orang dulu-dulu yang terpaksa mengangkut air berulang-alik dari sungai atau telaga.

Wahai Tuhanku ...

Banyak lagi kemudahan yang telah Kau sediakan untuk aku, hamba-Mu ini. Setiap peralatan elektrik adalah anugerah-Mu kepadaku, pertolongan-Mu dalam urusan hidupku.

Urusan rumahtangga dapat diatur sebaik mungkin. Walaupun rutinnya sama setiap hari, namun dek kerana kemudahan yang Kau berikan, ia bukan lagi masalah buat kami kaum isteri dan ibu. Masa dengan anak-anak menjadi banyak. Dapatlah aku menggunakan kesempatan itu untuk membelai mereka, mengajar asas-asas ilmu, akhlak dan adab. Masa yang ada adalah anugerah Engkau buatku mendampingi mereka. Segala puji bagi-Mu wahai Tuhan Yang Memiliki Arasy Yang Agung.

Tetapi Tuhanku, aku takut jika kemajuan dan kemudahan ini menjauhkan aku dari-Mu. Aku sungguh risau jika hatiku terhijab oleh kecanggihan alat. Aku takut mata hatiku menjadi buta, tidak nampak lagi kebesaran-Mu, tetapi hanya nampak setakat alat-alatan yang canggih itu. Tidak tembus pandangan hati kerana dilitupi kelambu dunia. Aku juga bimbang jika dengan kemudahan ini aku menjadi manja dan tidak tabah menanggung susah di barzakh atau di mahsyar nanti.

Ya Allah moga-moga janganlah kemudahan yang ada ini menjadikan aku mengambil mudah dengan urusan rumahtanggaku; yang akan Engkau tanyakan satu persatu di Hari Pengadilan kelak. Kerana aku adalah pengembala rumahtanggaku yang wajib bertanggungjawab terhadap semua gembalaanku.

Saturday, June 14, 2008

Antara Graduan dan Ibu; ALLAH Sebaik-baik Penjamin

“Awak tak rasa sayang dan rugi ke, bergelar graduan tapi tidak bekerja?” Tanya seorang sahabat saya lewat sms pada suatu hari. Soalannya itu menyebabkan saya tersenyum tawar. Bukan dia seorang yang pernah bertanyakan soalan yang sama. Malah ramai lagi. Saya termenung panjang setelah membaca sms kiriman sahabat saya itu. Apa yang perlu saya jawab? Ayat apakah yang paling sesuai untuk saya terangkan kepadanya tekad saya untuk menjadi surirumah? Kadang-kadang saya terasa malas hendak membalas sms yang berbunyi seperti itu. Terasa juga seolah-olah orang yang menyoal itu merendah-rendahkan kerjaya surirumah. Tercabar juga saya tahu!

Setelah agak lama berfikir; saya pun membalas. “Saya memang seorang graduan, tapi saya juga seorang ibu. Gelar graduan itu saya dapat dari manusia tapi Allah telah melantik saya menjadi ibu. Saya tidak sayang sangat dengan gelaran graduan itu tapi saya terlalu menyintai tugasan keibuan yang Allah amanahkan. Alangkah sayangnya, jika seseorang wanita yang telah menjadi ibu, tidak dapat menunaikan tugasan ibu sepenuhnya.” Maafkan saya jika kandungan sms saya mengguris hati anda wahai rakan-rakan pembaca; jika anda adalah ibu berkerjaya. Saya amat faham dengan tuntutan kehidupan hari ini. Dan saya juga maklum dengan kesusahan yang dialami kaum wanita yang bekerja – kerana Ma saya juga bekerja. Saya tidak pernah menghina dan merendah-rendahkan wanita berkerjaya. Tetapi saya memang menyanjung kerjaya surirumah.


Rakan-rakan saya baik belaka. Mereka sering menasihati saya supaya melakukan sesuatu di dalam hidup. Jangan hanya bergantung pada suami dan mengharapkan duit orang. Bahkan ramai pula yang memberi semangat dan cadangan supaya saya cuba memohon KPLI, Diploma Pendidikan, atau mengajar di politeknik bersama-sama suami saya. Mereka memberitahu begitu begini prosedur yang perlu saya jalani untuk memohon pekerjaan. Mereka juga ada memberi pesanan ‘ikhlas’. Pesanan ini hanya dibisik-bisikkan sesama kaum hawa saja. Tapi saya kabo (ghoyat, beritahu) juga di sini untuk tatapan umum. “Kita orang perempuan kena bekerja. Wang simpanan kena ada sebagai jaminan masa depan. Kita tak tahu apa akan berlaku dan jangan percaya seratus peratus dengan orang lelaki. Masa sayang ni, ye la.. tapi bila habis manis sepah dibuang.”


Ya, orang perempuan memang kena bekerja. Dan saya juga bekerja; sebagai surirumahtangga sepenuh masa. Atau lebih kelas lagi kalau saya sebutkan, surirumah professional. Jaminan masa depan saya bukan wang simpanan tetapi Allah. Kita memang tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan, sebab itulah saya mengambil Allah sebagai Penjamin saya. Dia adalah sebaik-baik Penjamin. Yang bukan hanya menjamin kewangan bahkan yang lebih utama adalah aqidah dan keimanan. Kepercayaan saya seratus peratus memang bukan pada manusia; tetapi kepada Allah. Saya percaya kepada Allah. Saya yakin dengan-Nya.


Di sini, saya ingin mengingatkan wanita-wanita yang bekerja; jika anda bekerja untuk jaminan masa depan atau bimbangkan sesuatu berlaku dalam rumahtangga anda – maka buangkanlah niat-niat sebegitu dari dalam hati anda. Jadikanlah tugasan kerjaya anda sebagai ibadah dan betulkanlah kembali niat anda untuk membantu meningkatkan ekonomi rumahtangga. Ingatlah.. wang bukan segala-galanya. Dari zaman Nabi Adam; hinggalah ke hari kiamat; hanya Allah sahajalah Penjamin hidup manusia!

Manfaat Menjadi Surirumah

Saya yakin, tugas saya sebagai seorang surirumah adalah tugas besar. Tugas penting dan melibatkan ummah. Saya bukan bergoyang kaki di rumah. Atau menunggu suami membawa pulang rezeki semata. Tugas saya sungguh mencabar. Saya bertanggungjawab memelihara sebuah komuniti kecil yang memerlukan segenap tumpuan. Seorang surirumah pada saya memegang portfolio yang penting dalam mengurusi sebahagian dari sekalian ummah. Dia adalah permaisuri yang berkuasa menentukan jatuh bangun kerajaan rumahtangganya. Walaupun bergelar permaisuri, tugasnya adalah pelbagai dan mencakupi hampir semua bidang. Seorang surirumah adalah chef, jururawat, guru, penghibur, pengurus, setiausaha, akauntan, tukang sapu, tukang cuci, kaunselor bahkan motivator.

Kadang-kadang, apabila bersendirian mengenangkan zaman belajar, saya juga tidak menyangka akhirnya saya terpilih untuk menjadi seorang surirumah. Kerjaya mulia zaman-berzaman. Dengan jalan hidup yang telah Allah aturkan selama ini, bersekolah di SMTM (Sekolah Menengah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu-zaman remaja terindah), memasuki KISAS (dua tahun yang paling memberi impak dalam menentukan halatuju hidup saya) dan kemudian ke universiti.. saya sangkakan saya akan menjadi seperti kebanyakan wanita hari ini, yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Saya juga pernah berangan-angan untuk menjadi seorang professor, saintis atau ahli kaji bintang. Memang saya cenderung dalam bidang sains. Dan sampai hari ini saya masih berminat dengan bidang ini.

Kita merancang, Allah merancang dan ternyata, Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Apabila menguruskan rumahtangga, saya tidak merasa pengajian saya selama 17 tahun itu sia-sia. Saya dapat mengajar sendiri anak saya. Asas membaca, mengira dan mengaji dapat saya tangani. Dan seawal-awal hidup mereka, dengan asas agama saya yang tidaklah sehebat mana, dapat pula saya ajari mereka akan adanya Allah. Dari sudut jasmaniah, saya dapat menyediakan sendiri pemakanan seimbang yang halalan toyyibaa (halal lagi baik) untuk mereka, memakaikan pakaian yang suci dan bersih, mengajar mereka adab-adab makan minum dan membuang air di tandas. Bahkan saya merasa hati saya sungguh puas dapat melihat kemajuan demi kemajuan yang dialami anak-anak saya.

Saya benar-benar beruntung. Saya melahirkan mereka tahun demi tahun. Dan kini mereka adalah kawan rapat; yang bermain bersama dan kadang-kadang bergaduh juga. Malahan selalu juga berperang dengan saya. Maklumlah saya ibu muda yang semangatnya masih membara. Young and dangerous kata suami saya. Tetapi hakikatnya saya dan anak-anak benar-benar rapat. Saya adalah tempat mereka bermanja, mengadu dan merajuk. Saya juga tempat mereka mengatur (meminta-minta). Jauh di sudut hati, saya merasa sungguh diperlukan oleh mereka. Saya sungguh penting untuk mereka.

Saya hari ini benar-benar berbangga dengan kerjaya saya sebagai surirumah. Dan saya ingin menyeru rakan-rakan surirumah di luar sana, janganlah anda merasa malu berjawatan surirumah. Lebih-lebih lagi di zaman ini. Kerana jawatan ini hanya Allah beri kepada wanita-wanita yang terpilih sahaja. Yang sanggup merasa kesusahan hidup di zaman material ini. Yang sanggup pula tidak merasa memegang wang gaji sendiri. Bahkan mengorbankan keinginan dan kehendak diri. Namun jika kita ikhlas, ganjaran dari Allah, sungguh tak terperi.

Cita-citaku

Sekarang cita-cita saya telah tercapai. Saya kini bergelar surirumah. Kenapalah saya hendak sangat menjadi surirumah? Kerana saya adalah seorang anak. Saya masih ingat perasaan-perasaan indah di zaman kanak-kanak dahulu. Ibu saya yang saya panggil Ma adalah seorang wanita yang baik. Pengasihnya kepada anak-anak (malah kepada cucunya sekarang) tak terbanding. Ma adalah ibu paling baik buat kami anak-anaknya. Kelembutannya terserlah, ketegasannya nyata. Tapi, saya sering merasa haus. Dahaga. Haus dan dahagakan belaian, perhatian dan bimbingan Ma. Kenapa? Kerana Ma bekerja dari pagi sampai petang. Jam lima baru pulang ke rumah. Selesai solat Asar, terus menyediakan makan malam. Kemudian membasuh kain; kemudian melipat yang sudah kering. Kemudian dalam keletihan, Ma tertidur. Saya benar-benar kasihan dengan Ma. Pengorbanannya tidak terbalas. Jasanya hanya Allah yang mampu memberi ganjaran.



Sepanjang Ma keluar bekerja, ada pengasuh yang menjaga kami di rumah. Layanan pengasuh manakan sama dengan layanan Ma sendiri. Walaupun pengasuh itu baik, tidaklah dia punya misi dalam pendidikan kami anak-anak Ma. Malah, ada di kalangan pengasuh (pengasuh sering bertukar ganti; ada yang nak kahwin, ada yang tangan panjang, ada yang dapat kerja lain, malah ada yang suka pukul adik saya) yang tidak tahu membaca pun.

Walaupun bekerja, Ma melaksanakan tugas-tugas rumahtangga dengan baik. Memasak, membasuh dan sebagainya. Tetapi jauh di sudut hati kami anak-anak, harapan untuk bersama Ma setiap hari tak pernah padam. Kami kepingin menjadi seperti anak-anak jiran yang ibunya sering di rumah. Nampak bahagia sungguh. Pulang saja dari sekolah, ada ibu yang menyambut. Mahu makan, ada ibu yang sediakan. Buat kerja rumah, ada ibu yang temankan. Dapat berbual, bermanja, bergurau mesra. Kadang-kadang bergaduh juga dengan ibu mereka. Demikianlah kebahagiaan kawan-kawan yang membuat hati kami cemburu.

Petang-petang, kami tidak sabar menunggu Ma pulang dari kerja. Ma bawa pulang kuih-muih untuk kami. Setiap petang pasti ada. Ingatan Ma pada kami anak-anaknya tak pernah luput. Tapi masa Ma untuk kami terhad di waktu petang, malamnya sedikit dan hujung minggu (waktu itu hujung minggu hanyalah pada hari Jumaat – saya orang Terengganu). Dan Sabtunya, Ma akan kembali bekerja.

Wahai Ma, sampai saat ini.. walaupun saya telah berumahtangga dan punya anak sendiri, saya merasa masih mahu bermanja dengan Ma. Alangkah indahnya kenang-kenangan bersama Ma. Dan alangkah lebih indahnya jika Ma sentiasa bersama saya sewaktu saya kecil dahulu. Pun demikian jasa Ma pasti tidak terbalas walau dengan wang ringgit mahupun budi baik.

Ma, restuilah saya menjadi ibu sepenuh masa kepada anak-anak saya. Agar saya dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Tugas-tugas mengurusi rumahtangga dan mendidik mereka memerlukan tumpuan yang khusus. Saya tak sanggup membahagikannya dengan kerjaya yang menuntut pengorbanan waktu untuk rumahtangga dan anak-anak. Saya mahu mengurusi sendiri rumahtangga saya tanpa campur tangan orang lain, saya mahu mendidik sendiri anak-anak saya dengan layanan kelas pertama sebagai ibu. Bukan sekadar memberi manja, bahkan mencubit atau merotan bila masanya perlu. Dan yang utama, saya mahu menjadi amatulLah yang muti'ah.

Friday, April 18, 2008

Karier

Orang selalu tanya saya, "kerja apa sekarang?". Dan bila saya dengan bangganya menjawab "Surirumah", mereka akan tunjuk reaksi terkejut, tak percaya, buat muka sedih dan yang sewaktu dengannya. Ramai yang komen, "rugi" sebab saya ada ijazah dalam bidang Sains Matematik, USM. Bagi mereka saya rugi wang gaji berjumlah lebih kurang RM1500-RM2000 sebulan. Dari wang itu, saya boleh beli baju baru, boleh pakai kereta sendiri, boleh beli rumah, boleh bagi pada ibu ayah(sebagai membalas jasa), dan boleh itu ini. Bagi saya pula, saya sudah punya perancangan sendiri, semenjak saya kahwin (saya kahwin waktu di universiti) untuk menjadi surirumah, menjaga rumahtangga dan mendidik anak-anak dengan ilmu yang saya ada. Saya dapat anak sulung semasa di tahun akhir, anak itu saya bawa duduk bersama saya di asrama kerana saya tak sampai hati membiarkannya minum susu lembu atau susu kacang soya-lagipun, saya tak sanggup nak berpisah dengan dia).



Jadi, sembunyi-sembunyilah anak saya itu membesar di Desasiswa dengan bantuan rakan-rakan yang prihatin. Selepas grad, saya terus mengasuh anak saya di rumah dan kerjaya itu nampaknya cukup serasi dan sebati dengan jiwa saya. Kemudian, saya bersalin lagi sebanyak tiga kali, setahun seorang(kini jumlah anak saya sudah masuk empat). Bila saya jawab, "Surirumah pun kerja juga, mendidik anak-anak. Saya tak sanggup tinggalkan mereka". "Sekarang ni", kata diorang "orang nak kerja dah tak susah.. anak-anak boleh tinggal rumah pengasuh, nurseri pun banyak macam cendawan tumbuh lepas hujan, tak pun boleh ambil bibi jaga anak-anak di rumah. Kehidupan zaman sekarang perlukan wang yang banyak, rugilah tak kerja.."

Pesimis!

Bagi saya, saya tak rugi apa-apa dengan menjadi surirumah bahkan saya mendapat manfaat yang besar daripadanya. Bukan untuk saya saja, malah untuk suami dan anak-anak saya juga. Saya tahu dan yakin, bukan saya seorang yang memilih surirumah sebagai kerjaya. Di luar sana tentu ramai lagi, mungkin yang mempunyai kelulusan lebih baik dari saya; mungkin juga bekas pekerja bidang profesional yang sanggup melepaskan jawatannya. Nikmatnya menjadi surirumah bukanlah pada wang gaji yang diperolehi sebulan sekali tetapi pada setiap perkembangan yang berlaku di hadapan mata, setiap saat yang berlalu. Biarlah orang lain nak kerja, saya tak kutuk dan tak hina. Tetapi alangkah baik jika mereka menghormati pilihan saya untuk menjadi surirumah..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...