Saturday, April 23, 2011

Lapangan Berjuang

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Lapangan alam ini masih terlalu luas, belum kau jelajahi. Samudera saujana mata memandang, belum kau seberangi. Bukit dan gunung memasak bumi, belum kau daki. Sawah bendang terbentang, hutan dan paya dan segalanya. Masih luas bumi ini yang belum kau terokai.

Langit membiru dihiasi awan gemawan. Bayu bertiup menggelombangkan ombak. Pepohon menghijau.. melambai gemalai. Ayam berkokok bersahut-sahutan. Burung berterbangan indah berkicauan. Di sana sini, alam masih hidup seperti biasa. Manusia-manusianya masih bangun di waktu pagi. Mengapa kau perlu mati? Maksudku mengapa kau perlu mati hati dan perasaanmu kerana tingkah seorang lelaki?

Mengapa di saat insan lain ketawa gembira, kau perlu menangis berduka? Mengapa di saat manusia lain berbahagia, kau perlu menanggung kecewa?

Bukankah lapangan alam ini masih terlalu luas? Bukankah ciptaan Allah di seluruh alam ini sangat indah dan mengujakan? Bukankah segalanya di seisi alam ini telah Allah sediakan untuk menghiburkan hamba-Nya?

Kau dikurniakan hati yang lembut, penyayang lagi menghargai, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membangunkan ramai manusia yang kegersangan jiwanya dari kasih sayang. Bangkitkan jiwa mereka dengan Islam. Teguhkan hati mereka dengan Tuhan. Kau dikurniakan ketajaman akal dan keindahan bahasa, gunakanlah nikmat Allah itu untuk membantu mereka yang memerlukan. Kau dikurniakan kelunakan bersuara yang menusuk jiwa-jiwa, gunakanlah ia untuk memimpin muda-mudi di sekitarmu.

Biarlah.. di saat kau kehilangan pimpinan dan tiada yang sudi memimpinmu, kau sebenarnya sedang dipimpin Allah dan mampu pula memimpin manusia lainnya.

Wahai, alam untukmu berjuang masih terlalu luas. Tumpahkanlah seluruh tenaga mudamu demi ummah ini dan berbahagialah dengannya. Kau berhak untuk bergembira dan berbahagia dalam hidupmu yang singkat ini. Jangan kau tumpahkan air matamu lagi kerana ia setitis pun tidak bererti bagi seorang lelaki. Kau tidak dilahirkan untuk menderita dan merana... kerana Allah Yang Maha Adil pasti memberimu nikmat bahagia melalui pelbagai cara.

Kau sesungguhnya istimewa di sisi Allah, kau sesungguhnya istimewa di hati ummah.

*Khusus buat kaum Hawa kesayanganku...

3 comments:

  1. Assalamu'alaikum.

    Hidup penuh pancaroba. Sabar dan kuatkan hati menghadapi ujian hidup kak. Semoga Allah kurniakan ketabahan dan kesabaran seperti nabi-nabi ulul 'azmi.

    Hari tidak akan selamanya hujan. Kerana selepas hujan ribut dan petir, akan muncul sinaran mentari dan pelangi yang indah insyaAllah.

    Inna ma'al 'usri yusra.

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalam ustaz..
    Syukran alaz ziyaarah dan atas smgt yang ditinggalkan.

    Sekeras semangat Hajar, seteguh jiwa Sumayyah, sekental hati Asiah.. segigih Sayyidina Khadijah, setabah Maryam, seromantis Rabiatul Adawiah... itulah peneman di kala duka. Wanita-wanita gigih dalam perjuangan agama, semoga ruhnya menyerap dalam semangat akak. insya Allah.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...