Monday, December 27, 2010

Cerkas - 4 Muhammad

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ummi sedang menangis di dalam bilik. Empat Muhammad mengintai-intai di balik langsir. Mereka tidak pernah melihat Ummi menangis sedemikian rupa. Keceriaan di hati keempat-empatnya juga turut luntur melihatkan tangis esak Ummi yang sangat ganjil itu.

Muhammad pertama cuba menenangkan Ummi. Dihampiri Ummi lalu memeluk tubuh Ummi seeratnya.

‘Bakpo, Mi?’ Ummi membisu tidak menjawab. Esaknya malah bertambah-tambah pula. Yang lain mengerumuni Ummi. Muhammad kedua mengusap kepala Ummi. Kepala yang memikul beban berfikir yang sangat banyak.

Muhammad ketiga memicit-micit dahi Ummi. Manakala Muhammad keempat selaku putera bongsu memainkan peranannya bermanja-manja, diciumnya pipi Ummi. ‘Ali sayang Ummi’.

Belaian dan perhatian anak-anak, lebih-lebih lagi ayat terakhir si kecil, meruntun hati Ummi lebih kuat. Dada Ummi bagai disiat-siat, airmata mengalir tambah lebat. Esakannya mendahsyat.

Ummi peluk empat Muhammad erat-erat. Ummi menangis sepenuh hati. Empat Muhammad turut menangis. Menangislah lima beranak itu. Empat Muhammad menangis tanpa pengertian. Ummi menangis penuh penderitaan.

Di atas semua itu, ada renungan Allah yang penuh kasih sayang, ada pandangan Allah yang penuh belas kasihan..

__________________________________________________


Inilah cerita ringkas (cerkas) mengenai 4 Muhammad saya yang sentiasa cuba mengerti, sering cuba menjadi lelaki sejati. Muhammad pertama, Muhammad Al-Fateh namanya. Putera sulung yang telah diajar kesukaran hidup semenjak dalam rahim saya lagi. Abang yang bertanggungjawab - sering mahu memudahkan Umminya semenjak kecil.

Muhammad kedua pula bernama Muhammad Al-Auzaie. Putera yang tegas lagi berani di sebalik tubuh kecilnya. Anak yang sentiasa menyenangkan hati Ummi dengan perlakuan baik dan santun.

Muhammad ketiga diberi nama Muhammad Al-Hadi. Berwatak penghibur yang sangat pandai berlucu. Seringkali menghiburkan tatkala saya kegelisahan. Ayat-ayat yang digunakan biasanya mengejutkan.

Dan akhirnya, Muhammad Asy-Syazili selaku putera bongsu, adalah si manja yang petah bertanya dan selalu menjawab sendiri. Yang paling kecil tetapi paling berkuasa pula di kalangan abang-abangnya....

Jika diizinkan Allah, saya akan menyambung lagi. Kisah 4 Muhammad yang terpuji di hati walau pun selalu pula berperang-perang dengan saya. Ummi untuk 4 orang askar mestilah seorang Mejar, kan? :)

8 comments:

  1. Beruntungnya kerana punya permata-permata hati penyejuk jiwa.Mudah-mudahan itulah saham-saham anda diakhirat nanti InsyaAllah

    ReplyDelete
  2. Terima kasih, UmmuFatihah..doakan agar saya mampu membimbing mereka menjadi pembantu agama Allah yang menghormati dan menyelamatkan jiwa wanita akhir zaman. Tugas ini sangat berat dan mereka adalah amanah sekaligus anugerah Allah yang paling besar buat saya...

    ReplyDelete
  3. kenapa SuriUmmah menangis...?

    saya juga tak mengerti....

    semoga akak SuriUmmah terus tabah...

    ReplyDelete
  4. Airmata - mutiara anugerah Ilahi... menangis adalah pembinaan kekuatan, Izzah.

    ReplyDelete
  5. salam perkenalan dari alis buat akak yang punya semangat juang tinggi.

    semoga hidup akak dipermudahkan dengan kehadiran 4 muhammad ini. sejuknya hati.

    10-15 tahun lagi, penuh dengan menantu perempuan pula, insyaAllah ;)

    ReplyDelete
  6. Hmmm hmmm hmmmmm...tersenyum-senyum akak dengan bayangan gurauan alis...jika dipanjangkan umur maka tak sabar-sabar ummi nak masak bersama-sama menantu....insya Allah.

    ReplyDelete
  7. bagaimanalah ya cabaran alam keluarga itu...

    tahniah untuk SuriUmmah atas kurniaan yang tak ternilaikan itu.

    terasa teringin nak bersemuka dengan 4 tentera dewasa bertubuh kecil ini. tentunya mereka yang masih kecil boleh diajak bermain bersama ammu

    :D

    ReplyDelete
  8. Panglima Khalid,

    Cabaran menjadi single mother ni setiap harinya berlainan. Tetapi Allah sentiasa memudahkan, paling disyukuri, nikmat anak-anak yang soleh mendengar kata. Tak punya banyak karenah, sentiasa menghina diri - maklumlah mereka sedar mereka anak orang susah, dan pernah melalui pengalaman pedih bersama ibu mereka. Anak-anak pengubat jiwa yang sentiasa menyenangkan hati ibunya; walaupun kadang-kadang tumpah airmata ini membesarkan mereka dalam keperitan. AlhamdulilLah.. Allah Maha Belas Kasihan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...