Friday, December 10, 2010

Sisa-sisa Hidup

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tidak lama lagi, usia saya akan mencecah takah baru - 30 tahun. Ia akan meningkat dan terus meningkat, tidak akan turun-turun lagi. Bukan bertambah muda, mustahil pula bertambah jelita. Anak-anak akan membesar, menjadi remaja, menjadi belia dan suatu hari nanti saya perlu bersedia menyambut kedatangan insan-insan baru ke dalam hidup kami sekeluarga; menantu-menantu tercinta. Saya juga akan menjadi nenek yang melayani karenah cucu-cucunya.
Insya Allah.

Di takah usia sebegini; tanpa cinta berani bertandang, tanpa teman penghapus duka dan kesunyian, saya memutuskan untuk menghabiskan saki-baki usia dengan penuh semangat. Saya tidak akan rebah lantaran ditolak dan disingkirkan orang. Saya tidak akan mati hanya disebabkan tiada yang sudi mendampingi. Saya tidak selemah itu. Setiap hari semangat dan jiwa saya bangkit demi hidup kerana Allah, demi amanah-Nya 4 Muhammad dan demi membantu ummah kembali ke pangkuan-Nya. Saya tidak akan memusnahkan hidup saya, juga tidak mahu mensia-siakan pinjaman umur kerana seorang lelaki. Saya tidak akan menoleh dan berpaling lagi.

Sekali-kali tidak.

Saya tidak mahu menunggu sesiapa pun lagi.

Saya tidak mahu menangis lagi.

Telah berulang kali hati saya dilukai, dicarik-carik, ditoreh bahkan ditusuk sembilu yang tajam tetapi ia masih sahaja berdenyut kuat. Degup jantung saya masih gagah. Darah saya masih merah dan hangat. Jiwa saya masih hidup dan ia mahu hidup seribu tahun lagi bersama ummah ini.

Saya pasti mati suatu hari nanti. Saya tidak mahu membuang peluang untuk berbakti yang Allah berikan. Biarpun saya tidak dapat lagi berbakti kepada seorang suami, saya tidak akan berputus asa dalam mengejar redho-Nya. Masih ada bakti buat 4 Muhammad yang wajib saya tangani, masih ada panggilan ummah yang menunggu saya setiap hari.

Pun demikian, saya sedar ada taqdir-Nya pada masa depan yang masih sahaja rahsia. Doakanlah kebahagiaan buat saya, biarpun tanpa seorang suami. Kerana saya yakin, setiap makhluk itu dicipta berpasang-pasangan. Jika tidak di dunia, di akhirat tentunya bertemu - dengan seindah-indah pertemuan di hadapan-Nya.

*Semoga sisa-sisa hidup dan saki-baki usia yang dianugerahkan-Nya dapat saya jalani penuh keberkatan. Amiiin..

2 comments:

  1. Suka saya baca artikel blog suriummah...sangat membangkitkan semangat seorang wanita seperti saya. Masih ada wanita yang mempunyai semangat kental walaupun datang ujian yang hebat melanda...TAHNIAH!!!DAN Syukur Allah temukan saya dengan Suriummah disaat saya tercari-cari sumber motivasi...

    ReplyDelete
  2. Salam Ana..
    Terima kasih kerana mengikuti blog ini. Semoga ada manfaatnya segala pengisian di dalamnya. Semoga Ana berjaya menjadi surirumah yang cekal. Betapa indahnya menjadi surirumah. Betapa bertuahnya suami yang mendapat isteri yang sanggup menjadi surirumah. Pesanan saya buat suami Ana; hargailah isterimu sebaiknya..dialah permata yang dicari...jangan disia-siakan pengorbanan dan hidupnya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...