Saturday, February 14, 2009

Surirumah adalah Suri Ummah

Waktu pagi adalah waktu perdana bagi seorang ibu seperti saya. Ketika itu, pelbagai tugas datang serentak. Bagai tidak cukup tangan saya rasakan. Memasak, menyediakan bekal suami dan anak-anak, mengejutkan mereka, membantu mempersiapkan mereka dan melayan pula karenah anak-anak kecil yang masih belum bersekolah. Setelah suami dan anak-anak yang telah bersekolah (seorang darjah 1 dan seorang lagi Pasti – 5 tahun) menaiki kereta, barulah saya dapat bernafas lega.














Tapi selesai saja saya menghembuskan nafas kelegaan itu, mata saya terpandang pula keadaan rumah yang kelam kabut. Tuala anak-anak dan suami tadi, walaupun mereka telah sangkut di ampaian tapi dalam keadaan seperti dilepok-lepok (main letak) sahaja. Katil dan tempat tidur hanyar banyar (berselerak). Pakaian tidur mereka terlepek di atas lantai. Saya pejam mata dan tarik nafas; saya kumpulkan kembali aura dan tenaga yang ada lalu saya betulkan tuala, kemaskan katil dan kutip pakaian hapak mereka.

Habis satu hal. Tapi baru saja saya hendak merasa sedikit nikmat lega, terpandang pula pakaian kotor di dalam bakul. Kalau saya miss basuh pakaian satu hari, esok pasti akan menjadi gunung kinabalu. Lalu saya membasuh pula – Alhamdulillah bukan pakai tangan tapi pakai mesin. Walaupun cuma manual, bagi saya ia sudah cukup-cukup automatik berbanding dengan basuh tangan. Alhamdulillah – terima kasih Allah!

Rehat? Belum lagi. Anak-anak kecil saya perlu dimandikan, disabun dan dibedakkan kemudian dipakaikan baju yang bersih. Barulah comel anak-anak seorang surirumah. Barulah layak dipanggil anak seorang surirumah profesional. Biarpun bajunya lusuh dan kusam, tetapi ia bersih dan wangi. Selesai menjangokkan (mencantikkan) mereka, tentulah agendanya menyuapkan mereka makan. Menyuap makanan kepada anak-anak adalah hobi saya. Kerana ia mempunyai manfaat yang besar dalam mengeratkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak-anak selepas mereka bercerai susu.

Nak berehat? Belum boleh – pinggan mangkuk gelas cawan sudah penuh dalam sinki. Kena basuh dulu. Selesai saja tugasan itu, macam diprogram-program; tangan menyambar penyapu yang tersangkut di dinding, tugas mengemas rumah dilaksanakan pula. Sapu habuk dan debu. Susun majalah dan buku. Ikat sampah, mop lantai. Waktu ini, peluh sudah memercik di seluruh badan saya sebasah lantai yang dimop.

Pakaian telah siap dibasuh. Alhamdulillah. Terima kasih mesin basuh. Lalu saya keluar rumah, menjemur kain di ampaian. Selesai jemur kain, intai-intai halaman. Daun-daun pohon mangga depan rumah banyak yang gugur. Perlahan-lahan saya menyapu pula laman rumah.

Matahari mula memancarkan cahaya paginya yang agak terik. Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kepanasan mentari pagi tidak terasa lantaran lembutnya bayu yang menyapa. Saya mengambil peluang ini untuk menghirup sedikit kedamaian dari indahnya ciptaan Tuhan. Kedamaian inilah yang menjadi tenaga mental untuk saya menghadapi tugasan rumahtangga yang tidak pernah surut dari cabaran; dari saat mencelikkan mata sehinggalah saya pejam kembali. Pejam untuk – mungkin celik lagi atau terus pejam untuk selamanya.

Maha Suci Allah yang menciptakan kedamaian di pagi hari. Dan betapa nikmatnya menjadi surirumah. Waktu inilah saya menarik dan menghembus nafas dengan selega-leganya!

Selesai bertenang-tenang di halaman rumah, saya masuk kembali. Lantai yang dimop hampir kering diangini kipas. Lalu saya mengambil peluang merebahkan badan sebentar di peraduan sebelum ke kamar mandi.

Anak-anak kecil yang telah mandi dan kenyang, bermain-main sesama sendiri. Menconteng kertas, berebut pensil warna, kemudian bermain sembunyi-sembunyi; kadang-kadang di balik katil, kadang-kadang di balik badan umminya. Kekek tawa dan esak tangis mereka adalah lagu kehidupan saya. Betapa meriahnya hayat saya dengan kehadiran mereka.

Setelah membersihkan badan, barulah saya memulakan sesi persekolahan. Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru. Pelajar-pelajarnya adalah anak-anak kecil saya itulah. Di waktu tengahari, bertambah dua orang lagi - anak-anak yang telah bersekolah. Setiap hari ada sahaja silibus baru yang saya ajarkan kepada mereka. Tidaklah terlalu akademik; tetapi sekadar kemampuan mereka. Saya lebih mengutamakan pendidikan adab dan akhlak. Setiap hari, sedikit demi sedikit; tentu menjadi bukit.

Anda ingat saya sudah boleh berehat? Tidak boleh lagi. Apabila jam telah melangkah ke angka sebelas, saya bersiap-siap pula untuk menjemput anak kedua saya di Pasti. Dua orang anak kecil saya ikut sekali. Tapi bukan menaiki motor; bukan juga kereta, cuma berjalan kaki.

Anak-anak kecil saya akan berpimpin tangan. Bergandingan bersama, sesekali berlumba sesama mereka, terlanggar batu, jatuh terguling, tertiarap dan menangis. Tapi sekejap sahaja. Hero mesti gagah! Jatuh sikit-sikit tak boleh menangis. Mendengarkan motivasi itu, tangis mereka reda. Automatically. Sebelum sampai di Pasti, saya singgah ke kedai, membeli keperluan dapur. Tapi anak-anak kecil saya tidak pernah meminta-minta dibelikan itu ini. Mereka tunjuk-tunjuk saja, bila saya geleng mereka pun angguk. Tanda faham.

Di depan Pasti, selalu ada orang menjual sate ikan. Jika kanak-kanak lain, mereka akan menarik baju ibu bapa mereka dan merengek-rengek minta dibelikan sate ikan. Biasanya ibu bapa akan kalah dengan raungan anak. Dapatlah penjual sate ikan sedikit rezeki. Tetapi anak-anak saya, hanya berlalu begitu saja di depan gerai bergerak itu. Mereka pandang sate ikan itu dengan pandangan ‘tak heran pun’. Alhamdulillah. Jika boleh saya tidak mahu anak-anak makan sesuatu dari sumber yang tidak pasti. Sate ikan dibuat dari ikan tapi sosnya dibubuh apa? Pewarnanya dari mana?

Pulang dari Pasti, saya melangkah ke dapur pula. Menyiang, membasuh ikan, mengopek dan menumbuk bawang lada sudah jadi tradisi. Air tangan saya sudah sebati mengalir dalam setiap kunyahan dan tegukan kami sekeluarga. Keseronokan berada di dapur sering membuat hati saya bernasyid riang. Biasanya, waktu inilah saya akan bernasyid sepenuh perasaan. Tak peduli key atau pitching cuma menghiburkan hati sendiri. Tapi komen suami saya, ‘boleh menang Akademi Nasyid!’

Setelah memasak itulah baru saya dapat berehat sebentar. Apabila anak sulung saya pulang, mereka akan makan bertalam beramai-ramai. Waktu itu, sungguh sejuk hati saya – melihatkan jemaah kecil yang ada di dalam rumah saya. Selesai makan, si abang sulung akan membantu saya membasuh pinggan dan menjadi mandur memberi arahan tugas untuk adik-adik yang lain. Pandai makan, pandai pula mereka kemas sendiri! Alhamdulillah.

Waktu petang, saya akan melihat-lihat pelajaran anak-anak saya hari itu. Membantu mereka menyiapkan kerja rumah dan mendengar celoteh mereka – ‘Pengalaman Saya Hari Ini’.

Kemudian, mengajar mengaji Al-Quran. Abang sulung sudah surah Al-Baqarah. Adik-adik masih Iqra’. ‘Sedikit demi sedikit, akan menjadi bukit!’. Setelah itu saya akan memberi penekanan dalam bidang-bidang yang mereka masih lemah. Macam si abang sulung, dia sedang mengikuti kursus ‘Read Easy’ dan belajar membaca Jawi dengan saya. Suasana rumah saya selalu riuh dengan jerit pekik anak-anak. Mereka suka melukis, mewarna dan mencipta sesuatu dari kertas. Jangan tak tahu, setiap hari beberapa kali saya akan menyapu dan mengemas rumah. Barang-barang di rumah saya, boleh dikategorikan, mempunyai kaki. Baru saja disimpan, tiba-tiba ada balik di tempat itu.

Ba’da Asar, jika punya kelapangan, saya akan membawa mereka bermain-main di kawasan kejiranan ini. Waktu itulah saya berpeluang berbual-bual dengan ibu-ibu lain. Bercerita tentang anak-anak dan rumahtangga.

Malamnya, selesai memandikan anak-anak dan menidurkan mereka; barulah saya mengambil kesempatan mengurut-urut kaki suami saya. Saya picit-picit sambil mulut saya tak berhenti bercerita. Untungnya suami saya adalah pendengar yang setia.

Tugas terakhir saya adalah menggosok pakaian suami dan anak-anak. Ketika itu, lima wira saya telah tidur. Selesai menggosok baju, saya akan memerhatikan mereka seorang demi seorang, mendoakan dan mencium mereka. Hati saya merasa sungguh puas dapat menabur jasa dan bakti saya buat lima wira Islam ini (Insya-Allah!). Nyenyak dan dengkur mereka adalah upah kepenatan saya sehari suntuk.

“Rumah adalah tapak ummah. Surirumah adalah suri ummah!”

11 comments:

  1. salam,
    alhamdulillah syukur apabila membaca kisah satu hari dalam hidup puan sekeluarga.bagi saya puan sekeluarga antara manusia bahagia, ceria dan bertuah.
    apalagi saya nak ulas tentang cerita puan? ramai juga wanita yg ingin melalui apa yg puan harungi..tapi malang ramai yg tidak berjaya. rumah tangga yg diredhai Allah bukan setakat bergantung pada si isteri sahaja tapi kata sepakat dari sang ketua/ suami. malangnya ialah jika si ketua tidak menjuruskan anak2 buahnya ke jalan tuntutan Tuhan...
    itulah, saya panjatkan sekali lagi rasa syukur atas kebahagiaan puan dan keluarga..

    ReplyDelete
  2. TAHNIAH kerana telah memilih kerjaya mulia ini. Wanita yang paling berjaya ialah wanita yang bergelar suri rumah.

    Salam perkenalan dari :
    http://blogsurirumah.blogspot.com/

    Kita yang seharusnya "memaruahkan" kerjaya kita dan bukan di mata orang yang melihat. Renungkanlah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaykum wbh,

    Salam ziarah dan salam ukhuwwah.

    Bangga jadi seperti ukhti. Saya juga salah seorang dari 'suri ummah'.

    Saya kenal blog ini melalui blog abuyon yg invite my hubby melalui sms.

    Saya add blog ukhti dalam my blog sebagai sokongan perjuangan ukhti mendidik dan membangun ummah dari tapak rumah- sunnah awal pembentukan generasi cemerlang, gemilang dan terbilang.


    Sehingga ketemu lagi.

    Ukhtuki fillah.
    ummuabbas

    ReplyDelete
  4. Assalammuaalaikum ummu chan,puan dan saya serupa dianugerahi empat putera..Saya sangat memahami apa yang puan lalui setiap hari..SELAMAT BERJUANG MEMBENTUK KHALIFAH ALLAH!

    ReplyDelete
  5. Assalamualaikum,
    Seronok membaca cerita puan. Termotivasi saya membacanya. Memang benarlah tangan yang menghayun buai itu boleh menggoncang dunia. Jika hayunannya mengikut alunan sunnahtullah maka agunglah ummah.Jika dihayun mengikut rentak barat laknatullah maka hancurlah ummah. Dan tangan2 inilah kelak yang akan ditanya Allah atas apa yang telah kita corakkan. Semoga Islam kembali agung!

    ReplyDelete
  6. Assalammualaikum wrt wbt ....

    Tugas dan rutin seharian kita tidak banyak bezanya. Cuma saya tidak sesibuk akak, *anak baru 2 orang* :D

    Anak-anakku, semoga kalian menjadi insan-insan yang menjadi asbab hidayat tersebar seluruh alam ... amin

    ReplyDelete
  7. assalamu'alaykum warohmatullahi wabarokaatuh

    subhanallah,
    aku dulu seperti itu ya. Membuat hancur isi rumah, merengek ingin makan ini-itu..tapi Ibu tak pernah marah padaku..

    betapa mulianya seorang Ibu di sisi Allah swt. pantaslah ada surga di bawah telapak kaki Ibu..

    salam kenal dari seorang anak Jakarta :D

    ReplyDelete
  8. Wa'alaikumussalaam..
    salam taarruf juga buat ukhti Ina.wah wah jauh nih.jakarta sih! :)

    ReplyDelete
  9. Assalammualaikum
    baca entri ini, terasa bahagia menjadi seorang ibu walaupun saya belum berumahtangga tapi saya ingin menjadi ibu yang penyabar seperti ukhti :)

    ReplyDelete
  10. Menjadi ibu adalah pangkat kejaran semua wanita, Raihana. Tapi sukarnya nak menjadi ibu yang sabar. Saya sendiri merasakan kesukaran itu - lebih-lebih lagi dengan 4 Muhammad yang superaktif, superkreatif. :)

    ReplyDelete
  11. aktif lagi ke blog ni?

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...