Monday, February 23, 2009

Doa Buat Sahabat.

Bagai orang yang sedang mendaki gunung, ketika hampir sampai di kemuncaknya.. tiba-tiba sahaja terasa amat sukarnya. Langkah pertama dan panjatan demi panjatan, tak semena-mena sahaja berputar di kotak minda. Alangkah susah hendak sampai ke takah ini. Payah sungguh ujian sepanjang pendakian tadi. Tanah yang curam, selut dan duri, batu tajam, tunggul mati.. hampir-hampir jatuh dua tiga kali. Sesaknya terasa nafas, kencangnya denyutan jantung. Wahai, beginikah kesukaran untuk menawan sebuah gunung? Alangkah payahnya. Tak tertahan keletihan yang dirasai.



Tiba-tiba, semangat merudum. Badan belum jatuh tapi semangat sudah mencecah tanah kembali. Rasanya setakat ini sajalah. Tak mampu sudah hendak didaki lagi. Tak tercapailah impian untuk kali ini. Biarlah.. turun sajalah.

‘Hoi!’ Sergah satu suara.
‘Siapa pula kurang ajar meng’hoi-hoi’.’
‘Hoi!! Aku tak kurang ajar, aku ini hatimu sendiri. Kenapa kau mahu turun sedangkan sedikit saja lagi kau perlu berusaha’.
‘Payah benar terasa olehku. Susah. Sukar. Aku tak mampu lagi. Aku sudah hilang segala daya. Tenagaku pun sudah habis. Aku tak boleh..’

‘Sudah bertahun-tahun kau berlatih, kau habiskan masamu untuk mendaki gunung ini. Sudah banyak yang kau korbankan selama ini. Setahuku, jiwamu kuat, mentalmu tekad. Tapi mengapa di saat kau sepatutnya boleh menikmati hasil latihan, usaha dan pengorbananmu.. kau tiba-tiba saja mahu berundur? Bukankah lebih baik jika kau berbuat benda lain sejak dari dulu lagi? Yang tidak memerlukan latihan, usaha dan pengorbanan?

‘Entahlah.. apa yang akan aku dapat nanti kalaupun aku berjaya mencecah puncak ini?’

‘Kau akan mendapat sesuatu yang hanya boleh diketahui bila kau telah sampai nanti. Ia tak ternilai dengan apa saja kemewahan dunia. Hanya kau sahaja yang mampu menikmatinya. Kau teruskanlah.. sedikit saja lagi. Kalau kau turun, kau sama seperti orang-orang yang tidak pernah mendaki gunung. Bahkan yang lebih malang, jiwamu hancur, semangatmu akan mengalah sampai bila-bila pun. Kau turun kerana digagalkan oleh semangatmu sendiri – bukan kerana kecederaan atau kebodohanmu!’

Minda berputar ligat. Semangat membara kembali. Urat dan nadi mengalirkan darah sampai ke ubun-ubun. Dada dikembangkan. Nafas dihirup. Mata dipejamkan. Bismillahir Rahmanir Rahim!! Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang! Syaitan yang menghasut lari bertempiaran. Jiwa pun menjadi damai. Tekad bulat kembali lalu tangan menghayun, berpaut pada tebing puncak.

‘Allah, sedikit lagi, sedikit lagi. Sedikit lagi.’

Badan digagahkan. Dari mana datangnya tenaga? Masih banyak rupanya aura? Tanpa sedar.. badan telah pun berada di puncak idaman! Allahu akbar!! Allahu akbar!!

Saya masih ingat, di suatu pagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke SMTM, saya telah dipertemukan Allah dengan seorang sahabat yang bernama Nuriah. Orangnya kecil sahaja, berkulit hitam manis. Dia kelihatan sederhana tetapi apabila saya mula bercakap dengannya, barulah saya tahu, pemikiran dan jiwanya sungguh hebat. Butir percakapannya, penuh ilmu hasil didikan dari keluarga yang berpendidikan. Pandangannya jauh hasil pembacaan yang luas.

Dialah satu-satunya sahabat dari kelas saya yang kini masih meneruskan usaha menuntut ilmu sampai ke peringkat PhD. Di saat rakan-rakan yang lain telah punya kerjaya yang mantap, di saat orang lain telah menuai hasil dari lelahnya menanam; dia masih lagi mengharungi kesukaran untuk memperoleh segulung ijazah yang paling mahal nilainya.

Sesungguhnya, dia telah memilih suatu jalan yang penuh duri, tetapi saya yakin, hasil yang akan diperolehi, bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya dan keluarganya.. bahkan lebih dari itu, saya yakin hasilnya akan memberi manfaat buat anak bangsa yang dahagakan ilmu sains yang diberi pendekatan ketuhanan.

Wahai sahabatku Nuriah, teruskanlah pendakianmu untuk menawan gunung ilmu. Kesukaran yang kau tanggung, adalah penguat hati dan tekadmu untuk membawa nafas baru ke dalam bidang kimia. Langkahmu, kuiringi doa agar ia tetap tegak melangkah; kalau jatuh terus bangkit kembali

4 comments:

  1. salam,'hidup ini mmg memenatkan. hidup ialah pencarian, usaha keras.
    ada yg mudah utk dapat sesuatu, ada yg susah dan payah. tapi yg pasti bila sudah dpt sesuatu yg dpt dgn susah payah itu amat manis rasanya.

    jika di kemuncak pendakian pun kita tidak ketemu apa yg kita cari, pasti suatu hari nanti kita akan memperoleh juga, sbb janji Allah itu sentiasa benar, tidak diberinya hari ini, diberinya esok, tidak pun anak cucu kita, tak pun di akhirat nanti..

    eh sori menyeleweng sikit cerita akak ni.. sebenarnya akak suspens bila baca kegigihan pendakian tadi.. garapan susah payah pendakian itu bagai terasa terasa jauh ke dasar hati..

    buat para pendaki, Nuriah, teruskan usaha.. hidup adalah sebuah pendakian yg panjang..

    ReplyDelete
  2. Salam ukhwah fillah.
    Moga terus tabah mengharung kehidupan sebagai suri_ummah.
    Selamat Maju Jaya

    ReplyDelete
  3. nak beritahu sesuatu...
    nuriah selalu masuk sini untuk baca post ni.

    ReplyDelete
  4. Buat Kak Sal dan Ukhti Aliza, maaf lambat respon komen antunna. Salam taarruf dan salam ukhuwwah.. Buat ukhti Nuriah pula, syukran sebab selalu masuk. Jemput baca, jemput komen dan jemput makan jemput-jemput. hehe. Bila nak balik Besut? Sampaikan salam saya pada Che Wa dgn lafaz Assalamualaikum..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...