Tuesday, November 16, 2010

Antara Dua Darjat

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hamba mulakan kalam ini dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hamba ingin melarikkan kata-kata dari dalam hati hamba yang telah lama mendesak-desak ingin keluar. Jika ia terus tersembunyi di situ, maka sakitlah hamba menanggung perasaan yang sungguh berat ini. Tak tertanggungkan oleh hamba yang lemah ini.

Tuan hamba nak tahu? Hamba kini berada di suatu daerah terindah di dalam hidup. Ia adalah suatu fasa yang diidam-idamkan oleh seluruh makhluk. Setiap inci alam seperti berkongsi keindahan itu dengan hamba. Udara bertiup terasa segar dan nyamannya. Ia seperti menari-nari kegembiraan, meniup-niup sang dedaun, rerumput dan lalang jua pepohon nan menghijau. Ombak mendebur pantai, hujan turun membasahi bumi, mentari terik memancarkan cahayanya, rembulan yang romantis menyinari kegelapan malam. Semuanya ternampak indah dan hebat di mata hamba. Batu-batu kecil yang sering dipijak-pijak jua kelihatan sangat cantiknya. Semut, kerengga, bahkan ikan kembung yang hamba siang untuk makan malam juga mampu membuatkan bibir ini tersenyum meleret, lantaran riang dan bahagianya hati hamba. Ah, daerah ini nyata menjadikan hamba aneh.

Tahukah tuan hamba, apakah yang hamba lalui kini? Malu hamba nak menyebutnya. Hamba..err.. hamba..err.. hmm..malulah (sambil menekup muka dengan telapak tangan). Hamba..hamba.. Ya Allah, kuatkanlah hati hamba untuk menyebutnya.

Jatuh cinta..

Itulah kalimah paling tepat untuk menerangkan keadaan hati hamba kini. Setiap nafas yang hamba hirup dan hembuskan, hamba dapat merasakan cinta sedang berdenyut-denyut, ia hidup, ia bernafas bersama hamba. Degupan jantung hamba, aliran darah hamba, keringat dan airmata hamba, semuanya melahirkan suatu perasaan yang sangat mendalam bernama cinta. Tidur hamba, jaga hamba, makan dan minum hamba dinaungi nikmat cinta, yang terlalu infiniti untuk hamba jelaskan.

Hamba telah jatuh cinta. Cinta yang tak pernah hamba rasai sepanjang hayat. Tentu kalian tersenyum-senyum membaca kisah hamba ini, kan? Maklumlah cinta.. bahan paling menarik untuk membuatkan novel dan filem laris dan laku di pasaran. Ia adalah keinginan setiap makhluk yang bernama manusia. Cinta, sejak zaman-berzaman telah menjadi penyeri dan tragedi alam ini. Bahkan Allah juga mencipta segalanya bersama cinta.

Tapi apabila merenungi diri, hamba jadi resah. Hamba serba kekurangan. Hamba tidak cantik seperti Siti Nurhaliza, tidak genius seperti Dato’ Dr. Mazlan Othman, tidak kaya seperti Oprah Winfrey, tidak berkebolehan lagi pemalu. Diulangi, pemalu tahu? Hamba sentiasa sedar diri hamba siapa. Dalam dunia yang memandang rupa dan material, hamba serba-serbi ketinggalan berbanding orang lain. Hamba tidak punya harta walau sedikit pun, walaupun tanah sejengkal, walaupun emas sehalus janggut udang; tidak hamba miliki itu semua. Hamba miskin hina lagi melarat. Makan minum pun ibaratnya..kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam. Kasihan, kan?

Cuba kalian bayangkan, apakah perasaannya jika kalian jatuh cinta dengan orang yang darjatnya berlainan dengan kalian. Tentu perasaan itu sukar sekali untuk digambarkan. Apatah lagi hendak meluahkan. Jika kita tidak cukup solehah tapi jatuh hati dengan si soleh, jika kita tidak cantik tapi jatuh hati dengan si tampan, jika kita miskin tapi jatuh hati dengan si hartawan, jika kita tidak berpangkat tapi jatuh hati dengan si penguasa.. pastilah berat perasaan yang ditanggung. Hendak diucapkan, kita masih sedar diri kita siapa. Hendak dikongsi dengan sesiapa pun malu. Lebih-lebih lagi jika orang di sana tidak membalas bahkan memandang kita seperti tiada. Bertambah-tambahlah malu kita, kan? Kan?

Hamba hanyalah seorang hamba. Yang menyintai dari darjat yang berbeza. Antara dua darjat.. Macam filem P. Ramlee lah pula..

Dia terlalu sempurna di mata hamba. Dia memiliki segala-galanya yang melayakkan hamba meletakkan kecintaan hamba. Dia memenuhi seluruh hati dan jiwa hamba. Dia singgah di seluruh ingatan hamba dari saat bangun di dinihari sampailah hamba terkenang-kenang di malam hari. Hamba dirundung rindu yang mendalam. Hendak bertemu sentiasa. Ingin memandang, senyum dan berbicara bersama. Mahu bermanja-manja dan mengadu seluruh hal keadaan diri. Mahu bersunyi-sunyian tanpa yang lain. Airmata panas hamba menitik dan berlinangan apabila mengingati. Terasa alangkah jauhnya beza antara kami. Jauhnya kami. Dia terlalu sempurna untuk hamba sedangkan siapalah hamba ini. Malu, kan?

Cinta hamba kepada-Nya adalah cinta antara dua darjat. Cinta seorang hamba kepada Tuannya. Tuan yang memberikan makan minum, pakaian, nafas, detak jantung, denyut akal, tangan kaki, jasad, wajah bahkan segala-galanya. Dari kekosongan, Dia telah memenuhkan hamba dengan selengkapnya. Dia Maha Baik, Maha Indah, Maha Kaya Raya, Maha Berkuasa, Dia Maha Segala-galanya. Salahkah hamba jatuh cinta kepada-Nya?

Kalau manusia yang lebih baik dari kita, tentu saja cinta dari yang serba kekurangan seperti hamba ini akan ditolak mentah-mentah. Tapi Dia tidak begitu. Dia menerima cinta hamba dengan sepenuh penghargaan. Dia tidak memandang rupa, harta, pangkat dan keturunan hamba. Dia memandang hati dan amalan hamba. Dia tidak meletakkan apa-apa syarat kebendaan untuk menyintai-Nya. Dia tidak hairan bahkan tidak peduli, secantik manakah hamba yang menyintai-Nya, sebanyak manakah harta yang hamba miliki, setinggi manakah pangkat yang hamba duduki, Dia telah ada semua itu. Dia Yang Paling bahkan Maha Indah. Dia Memiliki seluruh alam ini, Dia juga Menguasai segalanya dari dunia ini sampai akhirat. Dia hanya memuliakan hamba-Nya yang bertaqwa. Tidak kira siapa dan bagaimanakah hamba-Nya itu. Oh sungguh Dia Maha Baik..

Dia sentiasa memandang hamba penuh cinta dan rahsia, tak pernah berhenti-henti dari saat hamba mencelikkan mata, di tempat kerja, di bilik air, di meja makan dan di atas pembaringan. Dia menilai dan memeriksa semua perkataan, pergerakan dan bisikan hati hamba. Dia menyemak dan menimbang seluruhnya keikhlasan dan ketulusan hamba.

Hamba tahu, Dia juga menyintai hamba. Kerana Dia sering sahaja menguji hamba. Diberikannya kepada hamba ujian-ujian yang sukar, yang sangat payah untuk hamba lalui. Tapi dalam ujian itu, diberikan pula oleh-Nya kekuatan untuk hamba meloloskan diri. Kalau di sekolah, pelajar pandailah yang disayangi guru dan diberikan soalan-soalan yang susah lagi mencabar.

Itulah yang hamba rasakan.. Dia pun cintakan hamba juga (syyy..jangan bagitahu orang lain, nanti hamba dikatakan perasan!). Bukan hamba perasan tahu..tapi sungguh. Bukti-buktinya memang ada. Tapi biarlah rahsia…kalau hamba sebut, macam menyohorlah pula.

Hai kawanku tuan hamba… hamba sungguh sedang bahagia dilamun cinta. Cinta yang tak melemahkan tapi menguatkan dan memotivasikan hamba. Kerana hamba tahu, Dia yang hamba cintai dan Menyintai hamba sentiasa ada bersama-sama, menemani sepanjang liku-liku hidup yang hamba lalui.

Hamba jatuh cinta. Hamba cinta kepada-Nya, Allah. Yang sentiasa menyambut cinta-cinta hamba-Nya bahkan tak pernah lelah membalas walau seluruh alam ini menghulurkan cinta kepada-Nya. Maha Hebatkan Kekasih hamba? Baru tuan hamba tahu, patutlah hamba jatuh cinta dan tak keruan dengan-Nya..

Tuan hamba, bagaimana? Jom sama-sama cintai Dia..
* Tulisan ini dihasilkan dengan izin Allah pada 30 Oktober 2010, sehari sebelum majlis graduasi MRSM Kota Putra. Keesokannya saya diuji dengan mimpi istikharah, yang hari ini saya sedari ia tidak lain tidak bukan adalah ujian ketaqwaan dari Allah semata-mata. Terima kasih wahai Allah kerana membalas cinta hamba..

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...