Friday, August 28, 2009

Sarjana Ibadah@Madrasah Agung

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Mari merebut gelar sarjana ibadah

Ramadhan, saya analogikan sebagai sebuah madrasah. Bukan madrasah biasa tetapi madrasah agung. Ia adalah madrasah pendidikan ruhani teragung di setiap zaman semenjak ia Allah gazetkan sebagai bulan puasa pada tahun ke-2 hijrah.

Dan tahun ini, madrasah agung telah seminggu membuka tirai indahnya. Berbondong-bondong ummah yang dahagakan didikan dan belaian Allah memasuki madrasah ini tanpa mengira ada sijil pra madrasah atau tidak. Semua diraikan dan disambut dengan pesta ibadah berskala besar-besaran, agung-agungan. Semua berpeluang merebut gelar sarjana ibadah. Yang penting mahu atau tidak. Selama seminggu – ummah Islam mengikuti minggu orientasi di madrasah agung. Membiasakan lapar dahaga, membetulkan jam tidur dan bangun.



Di madrasah agung ini, puasa adalah fakulti utamanya. Semua yang menginjakkan kaki ke madrasah agung, akan menyertai fakulti puasa. Ia adalah syarat utama pengijazahan di akhir Ramadhan nanti. Orang-orang yang menuntut di fakulti puasa itu pula, pelbagai peringkat pengajian yang mereka tempuhi. Peringkat paling asas di madrasah agung ini adalah sijil awam. Mereka berpuasa zahirnya semata-mata; berlapar dan dahaga cuma. Peringkat yang lebih tinggi adalah sarjana muda khusus, mereka adalah orang-orang yang menjaga anggota-anggota badan dari melakukan dosa. Manakala peringkat paling tinggi adalah sarjana ibadah; ia dimiliki oleh mukmin yang mencapai kualiti puasa yang sangat khusus.

Mereka adalah orang-orang yang berpuasa zahir dan batin. Fizik mereka berlapar dahaga dari keenakan makan dan minum manakala batin mereka berlapar dahaga dari kelazatan maksiat dan dosa. Lidah dan hati mereka basah – bukan dengan air minuman tapi dengan zikir mengingati Tuhan. Sarjana ibadah menghargai setiap detik di madrasah agung yang hanya terbuka setahun sekali, dengan tiga semester yang amat singkat - Rahmah, Maghfirah dan Kelepasan dari Azab Api Neraka. Mereka berusaha mencapai pangkat mumtaz di ketiga-ketiga semester ini. Setiap saat adalah peluang untuk beribadah kepada Allah. Siang dan malam, hidup mereka disinari cahaya puasa, solat, sedekah, zakat dan membaca Al-Quran. Mereka akan mendapat perisai terbaik – untuk menahan diri dalam peperangan hidup dan perjuangan nafsu sehabis sahaja bergraduasi nanti.

Merekalah mukmin yang paling cemerlang di madrasah agung. Merekalah orang-orang yang beruntung.

*Selamat meneruskan permukiman di madrasah agung. Ambillah segala tarbiyah Allah yang sarat di dalamnya. Dan marilah kita berjuang untuk memperolehi sarjana ibadah!

2 comments:

  1. assalamualaikum

    ALHAMDULILLAH..Blog yang amat bagus..memuatkan segala bentuk ILMUs yang bermanfaat..

    Semoga segala usaha GIGIH ustazah dibalasi ALLAH dengan jutaan RAHMATs..Insya-Allah

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah.. Syukran.. tapi saya bukan ustazah, ummitice.. tak layak dan tak bertauliah. Hanya muslimah yang faqir di sisi-Nya. Semoga Allah sentiasa memandang kita dengan penuh kasih sayang dan belas kasihan. Semoga Allah tidak memandang kita dengan murka dan kemarahan. NauzubiLLAH..

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...