Thursday, June 9, 2011

Pujukan Buat Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya suka memujuk diri sendiri lantaran tiada yang sudi memujuk saya. Jika sedih, saya punya sumber pujukan dari Al-Quran, khazanah motivasi yang tidak akan habis digali. Apabila bersedih kemudian membaca Al-Quran untuk menenangkan diri, selalunya, setiap kalinya, saya akan bertemu ayat-ayat pujukan agung dari Allah, ilmu-ilmu alam dan sains yang punya analogi dengan hidup ini dan kisah-kisah tauladan tokoh terdahulu yang begitu kuat menanggung derita. Automatik, saya merasa - alangkah ringannya dugaan yang saya hadapi. Saya merasa terhibur lantaran Allah telah siap memujuk saya di dalam Kata-kata-Nya.

Kemudian dari itu, hati saya akan tenang. Walaupun airmata masih mengalir, hati saya tidak merasa berat lagi. Tempat tumpahan segala bebanan hati dan perasaan yang mujarab setelah Al-Quran adalah, menyentuh air yang dingin di dinihari, lalu berdiri merasa kerdil di hadapan Tuan Yang Memiliki saya secara total, berkata-kata dengan-Nya dalam bacaan Al-Fatihah, doa-doa sepanjang rukuk, sujud, antara dua sujud dan tahiyyat. Sujud, akan menjadi medan paling indah - saya meninggalkan dunia dan seluruh permasalahannya, saya tenggelam ke suatu dunia paling hening yang mengubat seluruh sakit dan derita yang ditanggung. Saat itu, airmata tumpah kerana merasa sangat dekatnya Allah yang tidak dikisahkan selama senang. Manusia, harta, kerjaya, pangkat bahkan 4Muhammad hilang entah ke mana. Hanya ada Allah yang memenuhi seluruh relung hati saya. Merasakan pujukan, belaian dan pelukan kasih sayang Allah yang tak putus-putus. Merasa dipandang dan direnung penuh romantis.



Setelah itu, puasa akan melengkapkan kekuatan dengan memberi rasa manisnya sabar. Puasa dalam kepanasan cuaca, kepenatan bekerja, lapar dan dahaga. Perut memulas-mulas tanda lapar, yang saya rasakan adalah nikmat semata-mata. Tekak kering tanda dahaga, yang saya rasakan jua adalah nikmat semata-mata. Lapar dan dahaga itulah makanan dan minuman buat ruhani saya. Dengannya saya menjadi kuat.

Allah tidak akan pernah meninggalkan saya selagi saya berusaha mendekatkan diri kepada-Nya. Allah tidak akan pernah membiarkan saya menanggung sendirian kerana Dia yang memberi ujian, Dia juga pasti meluluskan dengan syarat, saya ikhlas, redho dan sabar dengannya. Saya gembira diuji. Saya bahagia diuji. Kerana dengan ujian, saya mendapat skor idaman - taqarrub bilLah.

3 comments:

  1. Sebenarnya masih ada yang sudi memujuk saya - Fauziah Salleh....insan tercinta di lubuk hati saya.

    ReplyDelete
  2. wahed.saya ada jumpa pakar motivasi yang bagi saya sangat hebat pergantungannya pada Allah.. prof dr muhaya. kalau dengar ikim.fm, slot dia pagi rabu. kat web ikim, saya ada jumpa download audio slot motivasi dia. cuba dengar. moga ia serba sedikit meredakan keresahan kita.

    ReplyDelete
  3. terima kasih, ida...Allahlah motivator agung untuk saya. insya Allah saya akan cuba dengar motivasi dr muhaya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...