Friday, June 10, 2011

Lambaian Kaabah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya menerima naskhah novel berjudul Di Masjid Nabawi Kau Menanti daripada sifu saya, En Baharuddin Abdul Manan semenjak Mac lagi. Buku itu adalah hasil karyanya yang diterbitkan oleh Karyanet dalam edisi terhad. Sangat beruntung kerana dipilih Allah, dipilih oleh tuan penulis untuk memiliki novel itu secara percuma. Terima kasih, Haji.

Di Masjid Nabawi Kau Menanti adalah karya travelog, garapan kisah hampir benar yang telah dilalui oleh beliau sepanjang mengerjakan haji dan umrah. Saya membacanya penuh cinta. Cinta membuak-buak untuk sampai ke bumi Mekah dan Madinah yang selama ini hanya saya kenali melalui gambar dan filem. Kisah di dalamnya menarik-narik lagi kerinduan saya untuk ke sana. Ternampak-nampak dalam bayangan dan khayalan saya betapa indahnya BaitulLah, betapa heningnya Masjid Nabawi. Betapa indahnya segala ibadah di sana.



Dan hari-hari kebelakangan ini, saya menjadi semakin rindu kepada Kaabah dan Mekah. Rindu yang mendalam kepada kota cahaya Ilahi, kota penuh barakah. Mendesah jiwa saya ditarik oleh kota yang dipelihara Allah sampai hari kiamat itu.

Novel itu saya baca lagi sampai puas. Airmata saya - titik lantaran rindu yang semakin mencengkam. Saya mahu sampai ke sana. Kalau boleh segera sahaja. Saya mahu sujud di lantai Kaabah. Saya mahu menangis mengadu segalanya kepada-Nya. Saya mahu meratap dan merintih di seluruh waktu yang diizinkan lantaran sudah sekian lama cinta dan rindu saya kepada-Nya terpendam jauh di sudut jiwa. Saya mahu bersungguh-sungguh menatap Rumah-Nya. Saya mahu menjadi antara ribuan hamba-Nya yang terpilih bergelar tetamu mulia-Nya. Saya mahu tawaf, saya mahu sa'ie di bukit Safa dan Marwah, saya mahu bersolat jemaah dengan hamba-hamba-Nya dari seluruh dunia, dalam penyatuan hati, aqidah dan cinta kepada Allah, Tuhan Yang Maha Menyayangi.

Di sana - cita-cita saya terpendam. Saya mahu menghabiskan sisa-sisa hidup di Rumah Agung itu. Saya ingin dijemput kembali ke pangkuan Allah di tanah suci itu. Saya berharap akan meninggalkan alam yang fana ini, bertemu Kekasih Agung di tanah kelahiran Nabi s.a.w. Semoga Allah mendengar keinginan hati saya ini. Semoga Allah menunaikan permintaan saya ini. Amiin...

Saat ini - saya begitu rindukan Kaabah yang belum pernah saya jejaki. Saya mahu berkeras qudrat mencukupkan simpanan untuk ke sana. Tidak haji, umrah pun memada. Ya Allah...izinkanlah hamba.. Ya Allah, jemputlah hamba..

Rakan-rakan blogger dan sesiapa sahajapun yang membaca entri saya ini - doakanlah saya mampu sampai ke sana - segera. Doakanlah.. hanya Allah jua yang mampu membalas jasa baik kalian semua.. hanya setulus terima kasih yang mampu saya hulurkan.

2 comments:

  1. Ya Allah makbulkanlah hajat penulis ini dan juga hajat saya......

    ReplyDelete
  2. Syukran Ya Misabammas...

    Telah pun makbul doa sahabat... telahpun terjejak kaki ini di Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawwarah pada hari raya baru-baru ini. AlhamdulilLah...alhamdulilLah...alhamdulilLah...
    Allahu akbar!

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...