Thursday, September 9, 2010

Allah Yang Satu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ramadhan telah berlalu. 30 harinya saya tempuhi dengan suka dan duka. Lapar dan dahaga bukan ujian lagi buat saya. Puasa telah lama menjadi perisai nafsu buat janda seperti saya. Tetapi ujian tawakkal yang Allah berikan pada Ramadhan kali ini benar-benar tarbiah yang taf. Di awal ramadhan - ketika itu saya di pertengahan kontrak sebagai guru MRSM buat kali kedua, datanglah khabar duka yang menegangkan urat kepala saya (tuntutan hutang belajar keliling pinggang, berserta peringatan saman mahkamah jika tidak melunaskan). Inilah hutang-hutang yang suatu masa dahulu menjadi sumber makan minum saya dan keluarga ketika kami belum punya sumber kewangan. Inilah hutang yang telah menyara kami yang kemiskinan untuk membayar bil api dan air di rumah sewaan. Inilah hutang yang pernah membelikan lampin pakai buang anak-anak. Setelah habis wang hutang ini, maka semua bank saya tiada urusniaga lagi (bermakna telah kering wangnya lalu mati akaunnya).

Hari itu, jiwa saya benar-benar terganggu. 4Muhammad bermain tiada hentinya. Mereka sesungguhnya belum mengerti. Lalu saya menopangkan kepala di bahu anak sulung sambil airmata tidak berhenti menitis. Apakah jalan untuk saya membayar hutang-hutang ini? Sedangkan saya telah diceraikan tanpa sedikit harta pun. Yang lekat di badan (emas permata - usah bermimpi), tanah berjenjang - jauh sekali, kereta dan rumah - pun tidak dimiliki. Tapi jauh di sudut hati saya, yang paling dalam, yang paling suci, yang paling halus, saya merasa Allah ada bersama saya, saya merasakan suatu kekayaan yang tak terhingga walau kini ditimpa kemiskinan yang menghimpit. Allah sedang menguji saya, tapi Dia sentiasa ada bersama saya, Dia dekat, Dia tidak meninggalkan saya. Sekelip matapun Dia tidak leka menjaga dan memelihara saya. Saya seperti mendengar-dengar bisikan 'Allah bersama orang-orang yang sabar' .. dan 'Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang sabar.'

Saya dapat merasakan pujukan, motivasi dan belaian Allah terhadap jiwa dan hati saya. Ia tiba-tiba merasa sangat kuat dan tekad. Saya tidak bersedih lagi. Airmata berhenti menitis dan fikiran saya kembali stabil. Jantung saya berdegup kencang mendetakkan 'Allah.. Allah.. Allah.. Allah.. Allah..' dan saya tidak merasa miskin lagi, saya merasa sangat kaya kerana sesungguhnya Allah yang bersama saya Maha Kaya Raya.

Lalu saya teringat, saya mempunyai sejumlah wang yang saya perolehi setelah mengajar kontrak di MRSM selama dua bulan sebelum ini. Yang tujuan asalnya, wang itu saya mahu gunakan untuk membeli sebuah kereta 'buruk' untuk kegunaan ke tempat mengajar dan membawa 4Muhammad bersiar-siar. Setelah memohon petunjuk Allah, saya mendahulukan wang itu untuk membayar hutang. Saya sanggup mengorbankan 'kereta impian' demi mendapat keredhaan-Nya dan saya yakin, Dia akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Saya membayar dengan hati yang lapang walaupun saya kini tiada simpanan lagi. Ternyata, wang itu tidaklah cukup untuk membayarkan hutang saya, masih berbaki ia dan banyak lagi. Tapi saya tidak merasa gelisah lagi. Inilah hutang yang pernah memberi makan minum kami sekeluarga, membayarkan bil-bil, tiket-tiket bas, sewa lodging dan hotel serta mengadakan sebuah peti sejuk kegunaan sekeluarga. Biarlah saya membayarnya hari ini kerana saya yakin, Allah akan membayar saya di akhirat kelak. Biarlah saya tak memperolehi apa-apa harta sepencarian dari penceraian ini kerana saya yakin, Allah menyimpannya di bank akhirat saya kelak.

Malam itu, malam Ramadhan yang entah ke berapa, saya menangis di mihrab cinta. Saya memohon pembelaan dan pengadilan Allah di atas segala penganiayaan yang ditimpakan oleh manusia-manusia ke atas saya. Saya memohon pengampunan Allah di atas segala dosa-dosa saya yang sangat banyak. Saya memohon belas kasihan Allah kepada saya dan 4Muhammad serta hamba-hamba-Nya yang melarat di muka bumi-Nya ini.

Demikianlah hati saya menjadi lega dan hari-hari seterusnya saya lalui seperti biasa - senyum ceria dan gurau senda yang tak lekang. Walau seribu masalah menyempitkan dada, di muka pantang terpamerkan!

Dan segala puji bagi-Nya 'Inna ma'al 'usri yusro'..seminggu sebelum menamatkan kontrak, saya diinterview secara dalaman untuk menjadi guru Matematik sementara/tetap DC41. Jika lulus ujian ini, maka saya akan bertugas sehingga memperolehi Diploma Pendidikan dan menjawat jawatan tetap. Semoga ada rezeki buat saya dan 4Muhammad. Rezeki itu, insya Allah akan saya gunakan untuk menyara 4Muhammad, membayarkan hutang-hutang yang berbaki, mnghulurkan ingatan buat ma dan ayah serta meneruskan hidup dengan lega. Amiin..

Jika Allah memberi saya rezeki ini, saya mengharapkan Allah akan lebih mendekatkan lagi saya dengan-Nya. Jika saya memperolehi jawatan ini, saya mengharapkan Allah memberi kekuatan untuk saya terus menggalas tanggungjawab ibu dengan sebaiknya. Sesungguhnya Ramadhan kali ini mengajarkan saya erti tawakkal yang sebenar dan menunjukkan bagaimanakah yang dikatakan rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Wahai para sahabat, doakanlah saya sentiasa..

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI HUJUNG TUDUNG SAMPAI HUJUNG STOKIN :) - IKHLAS DARI SURIUMMAH YANG GAGAH DAN 4MUHAMMAD YANG KUAT.


5 comments:

  1. Maha Suci Tuhanku Allah swt, yang Maha Mengetahui segala sesuatu..yang telah menetapkan segala ketentuanNya..
    i'm terribly sad reading ur writings wahid! n these tears keep flowing thru..*sobbing*
    whatever happened to you dear fren,has happened.
    dont blame our Lord, may these hurdles u faced make u stronger, better in search of His love..
    i can offer u my shoulder to cry on..dont hesitate to call me ..i wish i can help u if its within my ability,insyaAllah. + my du'a..
    my dear Lord, please make Wahed strong, keep those hurdles away from her n her 4Muhammad..
    may everything that You,My Lord hv paved upon her,she managed to get it thru.
    Dear Lord, guide her n us..to a straight path.
    amin Ya Rabb.

    much love,
    Hani

    ReplyDelete
  2. Wahida, sabar ye. Akak telah mengikuti blog adik sejak dulu dan terkejut dgn berita ini. akak juga mempunyai 4Muhammad mcm adik. Dan akak dpt membayangkan perasaan adik pabila merenung mereka semua...segala harapan, hak mereka, kasih yang ditagih dari sanubari mereka dan bermacam2 lagi. Namun atas segala kesusahan yang kita alami ini..sesungguhnya ada lagi insan yang berlebih-lebih malang dari kita. Tentu kini setiap kali adik solat dan berdoa...terasa diri kita semakin dekat dan dekat dgn Allah.Antara hikmahnya di sini..walaupun namanya suami... namun dia tetap insan yang lemah yang bukan dahan yang utuh tempat bergantung. Hanya padaNya kita bersandar. Kak Royati ex-ki SPM93

    ReplyDelete
  3. Syukran jazilan, kak yati...terima kasih atas sokongan dan nasihat. Akak ada mesej ke handset saya, kan? maafla lama dah tak mereload.. insya Allah nanti saya reply. Saya kini telah melalui jalan yang semakin cerah. Yang lepas, akan saya lupakan tetapi akan menjadi panduan berguna dalam perjalanan seterusnya. Cukuplah Allah bagi saya...

    ReplyDelete
  4. Ya,kak yatilah yg mesej tu, balaslah balik, akak x simpan pulak no wahida. Semoga dpt menjalinkan tali silaturrahim.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...