Sunday, September 6, 2009

Mesej Dari Yang Dirindui

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan

Alangkah gembiranya menerima mesej dari orang yang dikasihi dan dicintai. Tidak kira melalui sms, emel atau surat biasa - ia adalah catatan yang menyampaikan mesej dari hatinya. Mesej yang diterima adalah tanda ingatannya kepada kita. Walaupun hanya sepatah perkataan yang tertera, hati yang menerima terasa sangat bahagia. Setiap masa dikenang-kenang dan dibaca pula berulang-ulang. Lantaran terlalu bahagia, fikiran hanya tertuju pada isi mesej dan orang yang menghantarnya. Wajah dihiasi senyuman ceria, dada diisi semangat menyala.

Di sebalik gembira dan bahagia menerima dan membaca mesej kekasih tadi, ada mesej yang sepatutnya lebih menggembirakan dan membahagiakan apabila membacanya. Ia adalah mesej dari Kekasih Agung, yang paling mahal nilainya, yang paling indah kalimahnya dan yang paling mengasyikkan…

Dia adalah Kekasih sebenar manusia. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sumber segala kasih sayang dan cinta di dunia ini sampai ke syurga kelak. Dialah yang wajib dicintai dan dikasihi sepenuh hati. Dialah yang sepatutnya berada di singgahsana cinta kita yang pertama dan utama. Kerana tanpa kasih sayang dan cintanya, maka tiadalah kita di sini, tiadalah rupa kita begini dan tiadalah iman di hati. Dari kasih sayang dan cinta-Nya, kita ada di dunia, sebagai manusia, yang bergelar mukmin. Bersyukurlah dan cintailah Dia. Jika belum, maka jatuh cintalah kepada-Nya.

Dia telah menghantar mesej agungnya semenjak lebih 1430 tahun yang lalu. Mesej agung yang tak pernah pudar ditelan zaman, tak pernah ketinggalan oleh kemajuan dan peradaban. Mesej agungnya yang punya pelbagai catatan rasa dan faham (hamba pinjam kalimah ni deh, Tuan Abuyon). Di dalamnya terkandung pesanan, nasihat, motivasi dan khabar gembira yang disampaikan dengan lenggok serta gaya bahasa yang romantis lagi melegakan. Dia juga sering mengingatkan kita dengan larangan, ancaman dan khabar duka dengan bahasa yang tegas lagi meruntun perasaan. Bahkan Dia juga bercerita tentang alam, sejarah dan fakta sains. Dia tidak pernah bakhil untuk mengkhabarkan. Malah mustahil bagi-Nya bersifat bakhil.



Keindahan dan keromantisan kalam-Nya, membuatkan hati sentiasa rindu untuk mengulang baca mesej agung-Nya. Terikat hati dan jiwa, rindu sentiasa. Orang-orang yang bercinta dengan-Nya tak akan rindu lagi pada lain kalam kerana semuanya sirna oleh kehebatan kalam agung-Nya.

Di saat duka, kalam-Nya bisa memujuk dan memotivasikan. Dia mengajar manusia supaya bersabar dan tidak mengalah. Dia mengajar manusia agar jangan takut dan jangan bersedih hati. Dia mengajar semua kekasih-Nya menjadi kuat dan berani. Motivasi dari-Nya adalah yang Teragung dan tidak terbanding oleh mana-mana motivator pun di dalam dunia ini. Dialah sumber semangat buat manusia-manusia yang melarat di bumi ini.

Di saat gembira, Dia berpesan buat orang-orang yang dikasihi-Nya agar sentiasa mengingati-Nya. Sesiapa yang yang mengingati-Nya akan diingati pula oleh-Nya. Dia memberi peringatan tentang dunia dan tipudayanya. Dia tidak mahu orang-orang yang dicintai-Nya terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu. Dia sesungguhnya Kekasih Yang Maha Belas Kasihan kepada semua kekasih-Nya dan tidak akan membiarkan mereka hanyut dalam pancaroba dunia. Oh alangkah romantiknya Dia, alangkah ambil beratnya Dia.

Al-Quran yang berada di kamar-kamar kita itulah mesej agung dari Allah; yang sepatutnya menjadi harta paling berharga di dalam jiwa setiap orang yang mengaku beriman. Segala mesejnya; khabar gembira dan duka, pujukan dan ancaman, tauladan dan sempadan umat terdahulu, fakta sains dan ghaib, segala ilmu alam dan insan; jadikanlah mesej paling dirindui, dikenang-kenang dan diulang-ulang baca di setiap kesempatan yang ada…

*Selamat bertadarrus dan mentadabbur mesej agung dari Al-Quran; di sepanjang Ramadhan ini sehingga ke akhir hayat nanti.

6 comments:

  1. Assalamu'alaikum wm wbt kak ummi

    Saya dah pun berada di sarawak saat ini.. gembira melihat anak anak berkumpul..
    rindu menjadi satu
    dan hati dibuka Ilahi menjengah laman kak ummi(sblm ini menunggu Allah bukakan hati dan berdoa mengharap..)Sungguh sy terkesan dengan n3 terbaru kak ummi...sebenarnya masa nak buka blog kak ummi tadi rindu pada kak ummi datang menjengah....syg singgah kasih pun singgah.. terima kasih kak ummi ..Moga berpanjangan ukhuwah kita.. aameen

    ReplyDelete
  2. Wa'alaikumussalaam wbt..
    Hajia, syukran atas komen yang tulus. Semoga tulisan akak ni bukan retorik semata-mata. Begitu juga akak berdoa, agar semua penulis di dunia ini tidak menulis yang retorik cuma. Hajia, alangkah bahagianya dirimu, dah berada di kampung halaman sendiri. Akak kini sedang kerinduan pada kampung halaman, yang sunyi dari hiruk pikuk kota; terdengar deburan ombak, suara unggas, terbentang kehijauan alam, pepohon dan bukit.

    ReplyDelete
  3. assalamu'alaykum warohmatullahi wabarokaatuh

    ummie_chan..

    Na ucapkan selamat berhari raya Aidil Fitri 1430 Hijriyah.. taqabbalallahu minna wa minkum, semoga Allah terima amal ibadah kita.. amiin ya Allah

    Mohon maafkan segala kekhilafan yang pernah Na lakukan ya :)

    p/s: baca entri ni buat Na malu lah..karna tak banyak orang sadar bahwa Allah Maha Mencintai..

    ReplyDelete
  4. Wa'alaikumussalam wbt Na..
    Selamat hari raya, (belated) dari akak. Walau di Jakarta, Sarawak atau Semenanjung.. Allah mencintai kita. Di mana saja kita berada. Oh Allah.. terima kasih. Syawal yang indah ini, aku masih bernafas, masih Kau jemput bersujud ke hadrat-Mu. Alhamdulillah...wa syukru lillah.

    ReplyDelete
  5. salam...wah...nasihat yang berguna lagi manafaat...kerosakan wanita berpunca dari lelaki yang rosak...sebab itu, usaha hendak dibuat ke atas orang lelaki...takaza kita sekarang dan sampai kiamat jumpa setiap lelaki akil baligh di dalam rumah2 org islam,,ajak mereka kepada masjid..biar semua lelaki islam ada hubungan dgn masjid dan ada taaluk dengan Allah swt.

    ReplyDelete
  6. Salam sukses,

    Kami Inamie dari blog www.inamie.ws ingin mengajak tuan/puan untuk menyokong kempen ‘Kerja Menaip Dari Rumah’ sebagai kerjaya alaf baru dengan pakej kebebasan masa dan kebebasan kewangan dalam berkerjaya.

    Kami ingin mengajak lebih ramai penulis-penulis blog yang berjaya seperti tuan/puan untuk menjadikan penulisan blog sebagai kerjaya menaip dari rumah dengan gaji yang cukup-cukup-cukup lumayan.

    1. Tiada temuduga
    2. Tiada peperiksaan
    3. Tiada bos (sebab andalah bos!)
    4. Gaji dari RM1,500 - RM4,500

    Jika anda memang mempunyai keinginan yang besar untuk bekerja menaip dari pejabat peribadi anda di rumah, inilah peluang keemasan anda. Jika anda tidak berminat, tentu anda boleh maklumkan kepada kawan-kawan dan saudara mara anda yang belum berkerjaya. Sila ke link di bawah untuk mendaftar :

    www.freedom.ws/salemy82

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...