Saturday, June 13, 2009

Bumi Waqafan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Hari ini tiada senda, dalam bicara

Kolej Islam Sultan Alam Shah adalah bumi terbaik yang pernah saya tempati seumur hidup saya ini. Saya tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya yang sering saya idam dan dambakan selama hayat saya. Allah belum memilih saya untuk merasai nikmat tarbiyah di bumi para Nabi. Tetapi tarbiyah dari bumi mutiara Tanah Malaya itu benar-benar membekas ke dalam jiwa saya sehingga kini.



Kira-kira dua belas tahun yang lalu, pada tarikh 15 Januari 1997, hari Rabu, di bulan Ramadhan yang indah, saya telah menjejakkan kaki di bumi waqafan yang serba dhaif dan sederhana itu. Dihantar oleh ma ayah dan adik beradik kecintaan saya; dengan linangan airmata saya tabahkan hati untuk tinggal menimba ilmu di bumi itu. Ia sebuah dunia baru bagi saya yang berasal dari sebuah sekolah harian biasa, yang cuma memperolehi A dalam Bahasa Arab Komunikasi PMR.

Ternyata dunia baru di KISAS adalah dunia yang paling cocok dengan jiwa saya. Pergaulan yang amat terjaga di mana-mana. Puteri-puterinya bagaikan bidadari yang menjaga aurat dan malunya. Putera-puteranya bagaikan wildan yang menjaga keamanan dan maruah. Alangkah bahagia jiwa saya di bumi itu. Setiap detik adalah tarbiyah dan hidayah dari Allah. Saya merasa sungguh kaya dan mewah dengan tarbiyah dan hidayah Allah. Dari saat bangun pagi, sehingga kembali memejamkan mata di malam hari, tarbiyah Allah ternampak di mata saya – berkilau-kilauan di seluruh bumi waqafan. Saya merasa hidup di dalam cahaya kasih sayang Allah yang tidak padam-padam.

Saya adalah pelajar aliran sains. Namun ilmu agama yang lebih banyak saya tuntut di bumi itu. Ilmu agamalah yang lebih mempunyai aura bagi saya berbanding ilmu jurusan sains. Hati saya lebih tertarik dan cinta untuk duduk dalam majlis usrah dan tazkirah dari membuat ulangkaji pelajaran. Cinta sesungguh-sungguh cinta saya kepada Al-Quran dan Hadith. Kasih sesungguh-sesungguhnya saya pada bidang ilmu itu. Lalu hiduplah sebuah unggun api yang bernyala maraknya, cita-cita saya untuk menjadi seorang hafizah, yang hafaz 30 juzu’ kalam Allah dan menyebarkannya di seluruh pelusuk bumi ini.

Dua tahun saya di bumi itu.

Dua tahun cuma kerana cita-cita saya untuk meneruskan permukiman dengan mengambil jurusan agama terhalang oleh sebab-sebab yang tidak bisa untuk saya sebagai seorang anak menolak. Bahkan sebenarnya, Allahlah yang telah menggerakkan saya keluar dari bumi tercinta itu, untuk mula bermujahadah di dunia luar. Sama ada saya mampu meneruskan perjuangan atau kehilangan segala tarbiyah yang Allah anugerahkan selama ini.



Dan kini, telah sebelas tahun saya menjejakkan kaki keluar dari KISAS. Ketika saat akan keluar, hati saya merasakan beban yang sungguh berat. Rasanya seolah-olah saya mahu hidup di sana sampai hujung nyawa saya. Ingin sahaja mendirikan rumah atau tinggal secara curi-curi di sana.

Oh Tuhan, mengapa aku tidak terpilih untuk terus tinggal di tempat sebaik itu? Kenapa aku tidak terpilih mengecap nikmat manisnya hidup dalam gerakan sufi tanzim haraki? Dan apakah kekuranganku sehingga tidak layak aku merentas benua ini, lalu menikmati tarbiyah dan melihat keagungan bumi Anbiya yang sering kucita-citakan? Yang cita-cita itu sampai kini tidak pernah padam, membara ia di dalam jiwaku malah setiap kali mendengar ada sesiapa menjejakkan kaki ke sana, bara itu akan menyala-nyala kembali. Hanya malap ia oleh basah airmataku.

Wahai Tuhanku, insaf dan redholah aku. Bumi ini seluruhnya adalah milik-Mu yang Maha Agung. Engkau tiada bertempat, bukan hanya di bumi Anbiya, bukan hanya di bumi waqafan. Bahkan Engkau bukan di mana-mana. Tarbiyah-Mu tidak mengira siapa dan di mana. Pilihlah aku Wahai Tuhan Yang Maha Agung, pilihlah aku untuk Kau tarbiyahkan setiap detik di dalam hidupku. Biar di bumi mana pun yang aku tempati. Amiin.

9 comments:

  1. Kolej Islam Sultan Alam Shah.. harum namanya semerbak mewangi.. besar jasanya pada diri kita .. anak didik bumi waqafan..

    ReplyDelete
  2. Salam ya tuan punya blog. Bila baca cerita ni macam nak pergi je ke sana. Nak tahu macamana KISAS ni bagaimana.

    ReplyDelete
  3. assalamualaikum ya ummi chan...apakah kriteria yang diperlukan untuk ke sana? saya perlu menimba ilmu Allah swt setelah sekian lama mengejar duniawi yang hanya pinjaman ini.

    ReplyDelete
  4. bumi wakafan memang satu tempat yang hebta..hanya yang pernah menjejaki sahaja yang akan tahu perasaan itu...sungguh bertuah rasanya bila menjadai antara orang yang terpilih mendiami bumi ini walaupun cuma dua tahun

    ReplyDelete
  5. Dari imbauan di atas, saya dapati KISAS yg dulunya KIK masa zaman saya tetap sama biahnya. Inilah berkat doa org terdahulu yg mengasaskan dan memakmurkan bumi ini dgn tarbiah, semoga jasa mereka mendapat reda Allah swt..Amin

    ReplyDelete
  6. Allahu Allah... Rasa rindu terhadap bumi waqafan sentiasa membara. Namun diri ini sedar, punya tanggungjawab lain yang perlu dilakukan di luar bumi waqafan ini. Syukur Ya Rabb, memberi peluang kepada diri ini untuk berada di bumi waqafan juga bersama keluarga waqafan yang mesra. Alhamdulillah...

    ReplyDelete
  7. Bumi Waqafan yang tak pernah hilang di ingatan... masih merindui segala suasananya di sana....

    ReplyDelete
  8. Kenangan di Bumi Wakafan akan terus tersemat di jiwa...banyak mengajar tentang hidup, hubungan dengan tuhan dan hubungan dengan manusia.

    ReplyDelete
  9. Benar, Bumi Waqafan terlalu istimewa di hati para warganya...

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...