Monday, June 16, 2008

Teknologi rahmat

Terima kasih Allah, segala puji bagi-Mu yang telah meminjamkan kami sebahagian teknologi dari sekian banyak teknologi yang Engkau miliki. Engkau telah memberi kami kemudahan di dalam urusan hidup kami. Engkau beri elektrik yang mengalir di wayar-wayar kuprum, supaya dengan elektrik itu, dapatlah sebahagian besar tugas kami diselesaikan oleh alat-alat yang manusia cipta. Bahkan ciptaan manusia itupun, tidaklah mampu mereka ciptakan jika tanpa ilham dan petunjuk dari-Mu.

Wahai Tuhanku, aku tidak tahu bagaimana manusia lain merasa betapa ringannya kemudahan yang Engkau berikan kini. Tetapi aku, sebagai seorang surirumah, benar-benar merasai nikmatnya. Urusan seharianku telah Kau mudahkan, mudah, semudah-mudahnya.

Aku tidak perlu mengutip kayu, menyala dan menjaga api untuk memasak. Ganti dari itu, telah ada dapur atau periuk elektrik yang hanya perlu ditekan suisnya. Selepas memasak pula, tidak perlu berteruk-teruk membersihkan dapur yang hitam akibat jelaga. Aku cuma perlu mengelap kesan-kesan percikan minyak atau air yang tumpah.


Aku juga tidak perlu memerah tenaga yang banyak untuk membasuh kain yang bertimbun setiap hari. Anak-anakku yang empat orang, baju yang mereka pakai setiap hari sudah mencecah 12 pasang. Dengan adanya mesin basuh, aku juga hanya menekan suis. Kemudian setelah dikeringkan, aku cuma menjemurnya di ampaian.

Engkau telah bekalkan air yang mengalir melalui pili-pili. Hendak memasak, membasuh pinggan mangkuk, membasuh pakaian bahkan mandi dan buang air sekalipun, sekarang mudah saja. Pulas saja kepala paip, tercurahlah air sekian banyak mengikut keperluan. Tidak perlulah aku berpenat lelah seperti orang dulu-dulu yang terpaksa mengangkut air berulang-alik dari sungai atau telaga.

Wahai Tuhanku ...

Banyak lagi kemudahan yang telah Kau sediakan untuk aku, hamba-Mu ini. Setiap peralatan elektrik adalah anugerah-Mu kepadaku, pertolongan-Mu dalam urusan hidupku.

Urusan rumahtangga dapat diatur sebaik mungkin. Walaupun rutinnya sama setiap hari, namun dek kerana kemudahan yang Kau berikan, ia bukan lagi masalah buat kami kaum isteri dan ibu. Masa dengan anak-anak menjadi banyak. Dapatlah aku menggunakan kesempatan itu untuk membelai mereka, mengajar asas-asas ilmu, akhlak dan adab. Masa yang ada adalah anugerah Engkau buatku mendampingi mereka. Segala puji bagi-Mu wahai Tuhan Yang Memiliki Arasy Yang Agung.

Tetapi Tuhanku, aku takut jika kemajuan dan kemudahan ini menjauhkan aku dari-Mu. Aku sungguh risau jika hatiku terhijab oleh kecanggihan alat. Aku takut mata hatiku menjadi buta, tidak nampak lagi kebesaran-Mu, tetapi hanya nampak setakat alat-alatan yang canggih itu. Tidak tembus pandangan hati kerana dilitupi kelambu dunia. Aku juga bimbang jika dengan kemudahan ini aku menjadi manja dan tidak tabah menanggung susah di barzakh atau di mahsyar nanti.

Ya Allah moga-moga janganlah kemudahan yang ada ini menjadikan aku mengambil mudah dengan urusan rumahtanggaku; yang akan Engkau tanyakan satu persatu di Hari Pengadilan kelak. Kerana aku adalah pengembala rumahtanggaku yang wajib bertanggungjawab terhadap semua gembalaanku.

1 comment:

  1. bestnya baca awak punya blog. mesti suami awak bahagia. yelah balik ada orang tunggu kat rumah. nak makan ada orang masak. letih, ada orang picit-picit. kalau sedih, ada orang tenangkan. gembira, boleh kongsi. wah bestnya dapat beri kebahgiaan pada suami dan anak-anak juga. terima kasihlah kepada orang yang bernama surirumah. tiap rumah mesti ada suri dan surinya ialah isteri, bukan orang gaji.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...