Tuesday, March 15, 2011

Bunga Harum

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Sekuntum bunga – yang harum baunya menjadi perhiasan alam. Adanya mewangikan, tiadanya seri menghilang. Sekuntum bunga – yang harum baunya lebih dicintai orang berbanding sekuntum bunga yang tiada baunya.

Sekuntum bunga harum yang tidak indah di pandangan mata sememangnya kalah berbanding bunga yang indah bentuknya. Namun semakin dihampiri, semakin terserlah pula keistimewaannya. Keharumannya yang semerbak membuat jari ingin memetik, membikin hati ingin memiliki.



Keharuman menjadikan sesekuntum bunga itu rebutan orang. Cantik atau tidak bukan hal lagi. Sesiapapun jua ingin menjadikan bunga harum sebagai perhiasan di jambangan indah yang telah tersedia di dalam kamar.

Keharuman sekuntum bunga itu ternyata lebih menarik dari keindahan bentuknya.

Pun demikian, bunga harum ‘kan tetap harum - sama ada dipetik orang mahu pun tidak, sama ada disunting kumbang mahu pun tidak. Sekuntum bunga harum akan terus menebarkan keharumannya sampailah ia gugur menyembah bumi.

*Wahai wanita-wanita seisi alam ini yang kusayangi, mari kita menjadi bunga harum yang mengharumkan agama-Nya dengan keharuman akhlaq yang solehah, dengan keharuman taqwa kepada Allah.

Sunday, February 27, 2011

Tempat Pertama

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika jatuh kedudukanmu di kalangan manusia, janganlah berputus asa. Masih ada tempat pertama yang Allah sediakan untukmu di alam yang luas ini. Bahkan tempat pertama inilah yang wajib engkau dambai semenjak dahulu lagi.

Majukanlah ruhanimu..

Bangunkanlah pencakar imanmu biar sampai langit ketujuh. Tinggalkanlah kesia-siaan. Usah dikejar manusia yang binasa. Kejarlah cinta Allah yang kekal buat selamanya. Usah diangankan rumahtangga yang penuh bahagia, angankanlah syurga Allah yang dipenuhi nikmat tidak terduga. Usah dirindui kasih sayang seorang suami, rinduilah Rahman dan Rahiim Allah yang tidak luak sampai bila-bila.

Melangkahlah di era kemajuan hidayah dan ruhani. Hilangkanlah sepi dan sunyimu – dengarkanlah ratib para malaikat di langit-Nya, rasailah denyut zikir urat nadi yang berselirat di seluruh tubuh badanmu, hidulah aroma sedap dari bayu yang tidak putus bertasbih kepada-Nya, syukurilah kehebatan segala gajet Allah pada fizik dan jasadmu.

Engkau tidak 'kan pernah rendah, malah engkau ‘kan tinggi di sisi Allah. Tempat pertama akan menjadi milikmu kerana Allah tidak pernah salah mengadili.

Tiada Yang Kekal - Melainkan Allah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiada kerajaan yang kekal melainkan kerajaan Allah, tiada kekuasaan yang kekal melainkan kekuasaan Allah, tiada kehebatan yang kekal melainkan kehebatan Allah, tiada keindahan yang kekal melainkan keindahan Allah, tiada cinta yang kekal melainkan cinta Allah.

Tiada yang kekal melainkan Allah…

Oh Allah - i love U.. i need U. Only U. Nothing else.

Jangan Berkecil Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan berkecil hati jika engkau bukan pilihan utama manusia, asalkan engkau adalah pilihan utama Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dicintai manusia, asalkan engkau dicintai Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dipandang manusia, asalkan engkau dipandang Allah. Jangan berkecil hati jika engkau bukan kerinduan manusia, asalkan engkau dirindui Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dipinggirkan manusia, asalkan engkau tidak dipinggirkan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dihina manusia, asalkan engkau tidak hina di sisi Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dihargai manusia, asalkan engkau berharga pada pandangan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak mulia di mata manusia, asalkan engkau mulia di bawah duli keagungan Allah.

Jangan berkecil hati jika seribu kebaikanmu tertutup oleh gelaran janda beranak 4, asalkan Allah membaikkan hidupmu dengan gelaran janda suci yang berjihad membesarkan 4 Muhammad-Nya – yang bersih dan suci. Jangan berkecil hati.. jangan sekali-kali berkecil hati kerana engkau tidak dilahirkan untuk berkecil hati tetapi engkau telah dilahirkan dengan jiwa yang besar, tabah menghadapi segala keperitan hati dan perasaan.

Wednesday, February 16, 2011

Kesakitan Itu Manis, Kemanisan Itu Sakit

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Apabila Allah memberi sakit, di hati dan di jasad - maka ia menjadi kemanisan paling bererti bagi seorang hamba. Kemanisan menghadapi ujian yang bertimpa-timpa; kemanisan merasai adanya Allah bersama; kemanisan melihat kuat dan teguh jiwanya.

Apabila Allah memberi manis, pada segalanya yang penuh bahagia - maka ia menjadi kesakitan paling mudharat bagi seorang hamba. Kesakitan menghadapi kerakusan dunia yang menggoda; kesakitan akibat jauh dari-Nya; kesakitan lantaran jiwanya kian lemah tak berdaya.

Sungguh, kesakitan itu terlalu manis bagiku. Dalam teriak tangis suara di dadaku, bersama airmata yang tidak sudi berhenti; aku merasakan kepuasan tidak terhingga lantaran sungguh yakin aku dipandang Tuhan dengan penuh kasih sayang, penuh belas kasihan. Aku tidak perlukan apa-apa dan siapa-siapa pun dalam kondisiku yang begini. Walaupun aku terlalu sepi dan sunyi.


Cukuplah Allah bagiku kerana Dia tidak pernah menyakiti, Dia tidak pernah menolakku biarpun aku hanyalah seorang janda. Cinta-Nya ternyata Maha Suci, Maha Tulus, Maha Agung. Aku tidak mahu mengharapkan sesiapapun lagi kerana aku adalah janda suci di sisi Ilahi.

Biarlah aku terus sendiri jika inilah taqdir yang telah ditetapkan Ilahi. Kerana Dia Maha Adil, Dia Maha Mengetahui apa dan siapakah yang terbaik buatku, buat anak-anakku. Semoga aku layak menjadi bidadari di taman syurga-Nya yang indah dan disunting oleh seorang wildan pilihan-Nya di sana. Amiiiin Ya Rabbal 'Aalamiin..

*eksperimen menggunakan ganti nama aku :) . Inspirasi dari bisik semangat Kanda Fauziah Salleh tercinta, yang tak putus-putus memberi semangat.

Monday, February 14, 2011

Salam Atasmu Ya RasulalLah..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam atasmu duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa. Lelaki budiman, yang terpuji sekalian alam. Cahaya untuk ummat yang berhati waja.


Duhai yang dikasihi Allah, kisah hidupmu yang penuh duka menjadi hiburan buat yang menderita. Ketabahanmu mengalir ke telaga jiwa si melarat. Kesantunanmu menjadi contoh tauladan. Ketaqwaanmu menjadi ikutan.

Perkahwinanmu dengan Sayyidatina Khadijah - membuat si janda merasa mulia. Sedang dirimu masih teruna, engkau sudi menerimanya yang telah janda dari dua suami. Sedang engkau masih muda, engkau sudi menerimanya yang lima belas tahun lebih tua. Betapa engkau telah mengangkat kedudukan si janda yang memelihara kehormatan dirinya.

Semoga hamba dapat terus menyintai pahlawan agama yang telah menyelamatkan janda-janda. Dan semoga hamba ditemukan dengan seorang penyelamat pilihan Allah. Amiiiin..

Selawat dan salam atasmu sebanyak-banyaknya duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa..

Thursday, February 10, 2011

Get Well Soon!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hati ini – masih sakit. Di sini, masih ada darah yang mengalir, lukanya masih rabak. Goresan luka-luka lama masih kelihatan, parutnya nipis dan mudah koyak. Terasa-rasa denyutan di dalamnya terlalu lemah. Kemalangan bertimpa-timpa yang ditempuhi membuatkan hati ini cedera parah, hampir sahaja hancur dan musnah. Darah dan airmata, mengalir sama serupa.

Hati ini terlalu sakit. Tetapi ia masih sahaja terus berdenyut. Ia belum mahu mati-mati lagi. Ia sungguh nnele (gigih bertahan). Ayat-ayat cinta Allah memberi gagah untuk hati ini berdenyut perlahan-lahan; perlahan dan perlahan.. demi mengumpul kembali kekuatan.

Kesakitan masih terasa, di mana-mana. Dunia kelihatan gelap, hidup seperti keseorangan, segala pintu bagaikan tertutup kemas, ruang untuk melangkah ibaratnya tiada. Saya bersendirian menghadapi semua ini. Saya merasainya sedangkan dia tidak merasai sedikit pun. Saya menangis derita sewaktu dia gagah gembira.

Biarkanlah dia terus bahagia dengan haluan hidupnya. Dan biar pula saya bahagia dan berjaya di haluan hidup saya. Kenapakah saya perlu hairan dan peduli dengan seorang lelaki ego sepertinya? Yang tidak tahu menghargai cinta dan pengorbanan yang tulus. Kenapakah saya perlu kisah dengan seorang lelaki pengecut sepertinya? Yang tidak pernah membuktikan cinta yang wujud di hatinya. Saya masih hidup walaupun tanpa cintanya. Saya tetap hidup walaupun tanpa perhatiannya. Saya dapat terus melangkah gagah, walaupun hati saya telah luka parah dari segala tingkahnya.

Ada yang membuatkan hati saya ini terus hidup walaupun di dalam sakitnya yang amat itu.

Pertamanya - tentu sahaja kerana Kekasih Agung Yang Maha Menghidupkan masih memberi nyawa buat hati ini. Dia tidak pernah meninggalkan saya. Dia sentiasa merawat walau dalam kemalangan apa pun yang hati saya hadapi. Dia sentiasa memberi sepenuh cinta dan kasih sayang. Cinta-Nya mencukupkan apa yang tiada di dalam hidup saya - cinta seorang lelaki.

Keduanya, lapan biji mata yang sering berkelip-kelip memandang saya penuh harapan kasih. Lapan biji mata putih yang bersih dan suci - setiap hari menilik tingkah ibunda mereka. Setiap saat mendambakan tumpuan dan perhatian saya. Pandangan mata mereka perlu saya balas sepenuh cinta walaupun hati saya tersangat sakit oleh kekasaran seorang manusia.

Ketiganya, puluhan bahkan ratusan jiwa yang masih mahukan khidmat bakti saya dalam meneroka keindahan ilmu Matematik dengan penghayatan Islam. Saya mesti bangkit setiap pagi, dengan nafas yang ditarik sekuatnya demi menyampaikan ilmu, membantu puluhan dan ratusan jiwa itu menempuh jalan sebagai pembantu agama-Nya. Jiwa saya masih hidup walaupun hati saya masih lagi sakit.

Tiga sebab utama ini – membuatkan dunia saya menjadi cerah kembali, hidup saya meriah dan ramai, segala pintu terbuka luasnya, dan ruang untuk melangkah masih saujana mata memandang.

Dia bukan salah satu dari tiga sebab utama ini. Kehilangannya seorang diganti Tuhan dengan jutaan lagi yang lebih baik darinya. Saya dapat membuangnya dari hidup saya, sepertimana dia telah membuang saya dari hidupnya.

Telah pun lama hati ini terluka, masih lagi ia sakit menderita. Tetapi saya sentiasa percaya, saya sentiasa menunggu dengan sabar akan tiba saatnya hati saya sembuh kembali. Ia akan menjadi sebuah hati yang sihat, gembira dan bahagia. Ia akan berdenyut kuat, darah-darahnya mengalir panas, bukan pada luka-lukanya tetapi di luas rongga dada.

Pengganti yang sebaik-baiknya akan tiba. Dia sedang di dalam perjalanan yang diaturkan Allah untuk menemui saya. Dia masih di dalam simpanan Allah, untuk akhirnya menjadi pelengkap hidup saya di dunia dan di akhirat. Insya Allah..



Saya sedang menunggu dengan sabar, saya yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia..

Get well soon, Wahida! Get well soon...

Monday, February 7, 2011

Jauh

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang-kadang saya terasa ingin pergi jauh; jauh sejauh-jauhnya...

Sahara Penipu Vs Oasis Idaman

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dunia ini sahara. Kering, tandus lagi panas membahang. Sahara yang sepi, kosong dan tiada kehidupan. Manusianya adalah pengembara. Kelesuan, dahaga lagi putus asa. Mencari air untuk menyegarkan tubuh, menghilangkan dahaga dan membina semangat hidup. Seperti mengerti keinginan si pengembara, sahara ini seringkali menipu..dengan bayang-bayang *logamayanya.

Dari jauh, sungguh indah kelihatan sumur air yang luas, saujana mata memandang. Dahaga si pengembara melonjak. Nafsunya menggelagak. Deras-deras langkah diatur. Impian – meneguk air yang menyegarkan, mandi-manda dalam kedinginan dan beristirehat dari lelah yang panjang.

Apabila berdekatan, sedarlah si pengembara..sahara menipunya cuma. Tiada tasik tiada air. Yang ada hanyalah kepanasan yang sama, di mana-mana jua. Pengembara telah tertipu, sahara seperti mengetawakan. Kesegaran, kedinginan dan kerehatan yang dicari namun hanyalah kerimasan, kehangatan dan kepenatan yang didapati. Segalanya menjadi lebih teruk dari apa yang dibayangkan.

Dunia ibarat sahara yang menipu.


Telah Allah petakan jalan menuju oasis tetapi pengembara sering mungkir dari petunjuk-Nya. Bilakah pengembara akan menemui oasis sebenar? Oasis yang akan menghilangkan segala dahaga, tempat mandi-manda dan kerehatan damai dari segala kelelahan.



Pengembara yang teguh jiwanya tidak akan berputus asa mencari oasis idaman, langkah diteruskan dengan pergantungan harapan kepada Allah. Logamaya yang menipu ditinggalkan, langkah diatur berani dan tabah. Di hatinya sentiasa yakin, berkat kesabaran dan keteguhan hati kepada Yang Maha Belas Kasihan, dia akan menemui oasis idamannya suatu hari nanti. Dan dia yakin, Allah tidak pernah mensia-siakan perjalanan yang dilakukan dalam mencari oasis idaman itu. Lalu di akhirat nanti, dia akan mendapat oasis sebenar dari Allah, oasis syurga yang indah..

Alangkah rugi, jika dunia yang sahara ini dijadikan buruan, lalu oasis syurga yang indah dikesampingkan.

*logamaya = fatamorgana. Kecil-kecil dulu, saya suka membaca buku teks sekolah menengah Ma. Lalu terjumpa istilah logamaya. Bila dah belajar Sains di sekolah menengah, saya pun sedar fenomena fatamorgana yang sedang dipelajari adalah fenomena logamaya yang pernah saya baca sewaktu kecil... istilah sahaja yang berubah.

Saturday, February 5, 2011

Layakkah Disayangi?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiba-tiba hati saya cuba dipertalikan dengan seorang lelaki. Dari kisahnya, dia adalah seorang lelaki yang sangat jurus, sopan santun dan berhemah. Orangnya punya jiwa yang tegar, tetap berpaksikan pendirian walau badai apa pun melanda, tidak pernah ambil hati dengan cakap-cakap orang. Saya belum pernah mengenalinya. Dan saya tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan mengenainya.

Dari kejurusan semenjak kecilnya yang dikhabarkan, saya dapat mengagak, dia adalah seorang lelaki yang baik, mampu memimpin saya dan 4 Muhammad. Kerana kejurusan adalah keindahan akhlak – mencerminkan jiwa yang patuh kepada Allah.

Itu bukan soalnya.

Soalnya adalah, adakah saya layak untuk disayangi oleh seseorang yang sangat baik sepertinya? Adakah saya masih layak untuk sebuah cinta dan perhatian dari seorang suami? Kerana saya bukanlah seorang Noorwahida tetapi saya lima orang Noorwahida, Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili. Cukupkah ruang di hatinya untuk memuatkan kami berlima yang tersangat ramai ini?

Dan layakkah saya yang telah bergelar janda yang serba kekurangan ini untuk disayangi lagi?...

Friday, February 4, 2011

Anak Alam

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya menetap di tanjung berhampiran Bukit Keluang semenjak berusia 6 tahun. Ketika itu, perkampungan yang saya huni ini adalah hutan belukar yang dipenuhi pepohon kemunting dan gelam. Kebanyakan penduduknya adalah nelayan pesisir pantai.

Saya semenjak kecil, adalah anak alam yang sering menjelajah mengenali dunia melalui penerokaan-penerokaan yang tiada hentinya. Walaupun anak perempuan, pokok mana yang tidak pernah saya panjat. Pokok ketereh, pokok jembal bahkan kelapa pun pernah. Aktiviti saya bersama kawan-kawan, bukanlah di dalam pondok masak memasak atau bermain kahwin-kahwin. Kami menjelajah sampai ke Bukit Keluang, masuk ke dalam gua-guanya, tersesat di hutan, mencari buah kemunting, menangkap burung dan ayam, jatuh pokok, digigit kerengga dan tebuan..dan tidak lupa..tentulah mengotorkan baju sendiri lalu bikin susah untuk Ma membasuhnya setiap petang.

Dan.. ketika mencari buah kemunting lebih 20 tahun yang lalu, saya pernah tersesat di dalam hutan berhampiran tapak MRSM Kota Putra sekarang. Tidak pernah saya bayangkan, tempat saya mencari kemunting suatu masa dahulu, menjadi tempat saya mencari rezeki pada hari ini.

Keindahan alam, kelembutan hembusan bayu, kesenian bunyi-bunyian – deburan ombak, siulan unggas dan lakaran awan di langit biru adalah penghibur duka semenjak saya kecil lagi. Alam ini seperti memberi semangat luar biasa buat saya mengharungi segala macam cabaran di dalam hidup.

Apabila airmata mengalir di pipi, ombak yang mendebur pantai seperti menyatakan kepada saya ‘Jangan pernah mengalah’. Apabila telinga ini kepedihan mendengar maki hamun orang, bayu pula lembut membisikkan ‘Kesabaran adalah kekuatan teragung seorang manusia’. Jika hati saya gundah gulana, merenung langit adalah ubat mujarab yang sentiasa memujuk lalu membangunkan kembali semangat saya ‘Dunia ini sangat indah, nikmatilah hidupmu dengan hati yang bahagia – menyintai alam dan seluruhnya adalah kebahagiaan untuk sebuah hati yang masih hidup’.

Pantai yang setia menunggu ombak walau sering sahaja dihempasi menjadikan saya seorang yang sangat tegar ketika melewati saat-saat genting.
Alam adalah teman, guru, kadang-kadang pendita bisu yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Hidup bukan sekadar nyawa tetapi denyut nadi, aliran darah, gerak akal dan cinta hati.


4 Muhammad kini sedang mewarisi alam..

Thursday, February 3, 2011

Lasykar Ombak

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hampir setiap hari, kami berlima akan bercinta dengan alam. Petang, sampai hampir Maghrib kami akan meneroka dan mengamati Keagungan Pencipta yang menjadikan alam ini sains yang penuh kesenian. Anak-anak, tidak pernah jemu bila sahaja saya mengungkapkan, ‘ Jom, Bukit Keluang..’ . Walaupun setiap hari, walaupun tiga kali sehari. Bukit Keluang, sepertimana yang diungkapkan oleh Big Boss MARA dalam ucapannya, adalah antara pantai tercantik di dunia. Alangkah bangganya saya menjadi salah seorang penghuni pinggiran pantai ini.



Selalunya, jam enam kami akan duduk-duduk di tepi pantai. Anak-anak seperti biasa, akan bermain pasir, membina istana pasir atau melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kadang-kadang bergaduh merebutkan pasir (yang sangat banyak itu :). Mereka juga gemar melontar batu, cengkerang atau kayu ke arah ombak yang mendebur pantai.

4 Muhammad selalunya mempunyai idea-idea canggih permainan yang menyeronokkan. Tanpa kereta remote, tanpa Lego dan segala permainan terkini, mereka dapat mencipta keriangan tanpa had dengan menggunakan pasir-pasir pantai, ranting-ranting kayu, kulit-kulit siput dan buah-buah rhu (yang mereka panggil baby durian :)



Saya, seperti semenjak kecil, biasanya terleka dengan hobi sendiri. Merenung langit biru yang menjadi kanvas kesenian Allah. Indah. Tenang. Apabila melihat awan bergerak ditiup bayu, hati saya disentuh suatu rasa ajaib yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sering mengajak 4 Muhammad merenungi langit biru dan menyuruh mereka melukiskan bentuk awan yang dilihat di atas pepasir pantai.


Cinta bersembunyi di sebalik hati..

Dan aktiviti kegemaran kami berlima adalah menjadi lasykar dalam peperangan dengan ombak. Kami akan menunggu ombak di gigi air sedekat mungkin. Apabila ombak datang menyerang, kami akan segera melarikan diri. Siapa yang terkena air, maka dia diisytiharkan kalah. Inilah saatnya saya benar-benar tertawa tanpa mengingati apa pun kedukaan.

Kamilah lasykar (tentera) ombak. Kami sedingin air tetapi kami mahu menjadi tsunami yang bakal mengubah dunia. Insya Allah!!

Thursday, January 6, 2011

Tahun-tahun Perjuangan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

3 Januari 2011

Hari ini, Fateh sudah darjah tiga, Auzaie mula masuk darjah satu, manakala Hadi dan Syazili, pra sekolah. Hari ini, paginya saya sambut penuh semangat. Terasa semboyan ilmu menggerakkan semangat kami berlima.

‘Anak-anakku, tidak akan ketinggalan lagi di bidang ilmu. Akan Ummi bela nasibmu yang telah terbengkalai lantaran demikian kerasnya Ummi berusaha mencarikan nafkah selama setahun yang penuh tragedi. Hari ini, Allah telah menggantikan sumber rezeki itu dengan yang lebih baik, maka wahai anak-anakku.. kalian berhak mendapat pencerahan dari nikmat ilmu yang mencurah-curah. Ini, di sini.. pada Ummi kalian.. Allah telah mengizinkan persinggahan ilmu (walaupun hanyalah secebis).. maka sepatutnya kalianlah yang terlebih dahulu mendapat bahagiannya.’

Fateh adalah yang paling awal bangun - seperti selalunya. Ketika saya telah bersiap-siap untuk ‘berperang di dapur’ pada lebih kurang jam 5, dia telahpun mencelikkan mata. Walaupun tahun 2010 mencalarkan sedikit rekod akademiknya, semangatnya untuk bersekolah tidak pernah luntur. Walaupun sering sahaja menjadi mangsa buli di sekolah, dia tidak pernah serik untuk hadir dan terus hadir. Saya nampak – di dalam jiwanya ada rasa cinta kepada ilmu dan cabaran tetapi pengalaman tahun 2010 telah sedikit sebanyak merencatkan kebangkitannya. Terhalang bersekolah selama 2 bulan lantaran disekat surat pertukaran sekolah (oleh entah siapa…) dan memasuki wad akibat pembedahan apendiks membuatkannya sedikit terganggu. Pun begitu, dia masih tetap melangkah di lorong ilmu, dengan teguh.

Teguhnya, meneguhkan saya.

Jam 7, kami pun bertolak dari rumah. Setelah menghantar Fateh ke kelasnya, saya menghantar pula Auzaie. Seperti Fateh 2 tahun yang lalu, Auzaie juga tidak menangis. Dengan selamba, selepas mencium tangan saya, dia duduk di kerusi lalu mengeluarkan alat tulisnya. Melihatkan ketenangannya itu, saya penuh percaya meninggalkannya di sekolah. Saya yakin, Auzaie tidak akan menangis kerana dia sangat tegas dan berani. Di kalangan 4 Muhammad, dialah yang paling berani walaupun bertubuh kecil sahaja. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli, bahkan dia tidak akan ragu-ragu membalas orang yang berbuat jahat kepadanya. Dan dia sekali-kali tidak akan membiarkan sesiapapun di kalangan adik-beradiknya dibuli orang.

Setelah demikian meyakini Auzaie, saya menghantar pula Hadi dan Syazili ke sekolah mereka. Alhamdulillah – mereka juga riang gembira berada di sekolah. Sampai sahaja terus berkawan-kawan. Hadi dengan lagak kelakarnya sering membuatkan guru-guru sayang. Dan Ali yang petah itu, mudah mendapat kawan.

Saya merasa sangat senang hati. Saya menerima 4 Muhammad sebagai pemberian Allah untuk menghiburkan hati. Mereka adalah hadiah. Mereka adalah anugerah. Mereka sungguh berharga dan bernilai di mata dan di hati saya. Semenjak lahir, seorang demi seorang, tahun demi tahun, merekalah yang menghiburkan dan membahagiakan saya. Karenah mereka tidak menyakitkan hati, mendengar kata dan sentiasa mengasihani saya. Segala puji bagi Allah.

Masih banyak masa yang ada – jika saya dipanjangkan umur – untuk mendidik mereka. Asas-asas ilmu wajib diperturunkan agar mereka lancar menyerap tingkatan ilmu yang lebih tinggi. Mengaji, membaca, mengira dan menulis adalah asas-asas utama yang mesti saya laksanakan untuk mempersiapkan mereka dengan cabaran ilmu yang kian sukar.

Mereka akan hidup di alaf yang tidak terjangkau aliran teknologinya. Mereka akan melalui perubahan zaman dan gajet yang mencabar. Tugas sayalah sebagai ibu untuk memantapkan mereka sebagai genius yang bertaqwa kepada Allah.

Saya mahu menjadi ibu yang berjuang, memerah seluruh keringat dan airmata, mengerah segala tenaga dan daya demi memberi kehidupan buat anak-anak. Saya mahu menjadi wanita yang kuat, tekad, gagah lagi berani walaupun hati saya telah dicincang selumat-lumatnya.

Inilah tahun-tahun untuk saya memperjuangkan 4 Muhammad di peta ilmu. Inilah tahun-tahun untuk saya menebalkan hati demi hari esok untuk Islam, kerana 4 Muhammad ini adalah amanah Allah untuk saya - agar mendidik mereka menjadi Pembantu Agama-Nya yang tegar. Insya Allah...

Wednesday, December 29, 2010

Caskanlah Tenaga Ruhanimu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dunia tanpa sempadan. Besi-besi berterbangan di udara, juga bertebaran di samudera. Manusia bergerak sambil duduk-duduk sahaja. Era perhubungan telah maju. Gelombang menggerakkan aksara melalui patah-patah sms, mms, e-mel, faksimili.

Dunia berada di hujung jari.

Megah dunia ini dengan kecanggihan teknologi – semakin hari semakin berkembang; pesat.. tidak dapat dihalang lagi. Pun demikian, di celah-celah kerajaan teknologi masih hidup hati-hati yang menyintai Allah.

Kerajaan teknologi terus mara. Menakluk dan menguasai segala. Berkembang dan meluas jajahannya. Inilah pembangunan, inilah kemajuan. Namun ia rupanya membawa bersama anasir api yang sedikit demi sedikit membakar dan menghanguskan kemanusiaan, ketaqwaan..

Mampukah hati-hati yang menyintai Allah terus hidup di dalam kepanasan api yang kian marak membakar? Perlukah mereka lari menghindari atau berani menghadapi?

Jangan lari. Beranilah, hadapilah..bantulah kebangkitan kerajaan teknologi tetapi padamkanlah anasir apinya dengan siraman ketaqwaanmu. Namun kuatkah engkau untuk melawan api?

Wahai hati-hati yang mengaku cinta kepada Allah.. caskanlah tenaga ruhanimu agar ia teguh bertahan menerima asakan duniawi. Caskanlah ia 5 waktu sehari semalam, tambahkan casnya di celah-celah yang 5 itu – di malam hari sebelum engkau pejamkan matamu dan di dingin dinihari setelah engkau mencelikkan matamu.

SUJUDLAH KEPADA YANG ENGKAU SERING MENGAKU CINTA..

Kerana di saat engkau sujud itu; bukan lagi ibu ayah, suami, isteri, saudara-mara, rakan taulan atau anak-anak yang paling hampir denganmu akan tetapi Allahlah yang paling hampir – melebihi urat lehermu sendiri. Dialah ALLAH – Wajah yang engkau idam-idamkan dalam tidur dan jaga. Dialah ALLAH - Wajah yang engkau rindu-rindukan tika hayat dan mayat.

Dunia tanpa sempadan. Besi-besi berterbangan di udara, juga bertebaran di samudera. Manusia bergerak sambil duduk-duduk sahaja. Era perhubungan telah maju. Gelombang menggerakkan aksara melalui patah-patah sms, mms, e-mel, faksimili….

Dan engkau telah mencapai nikmat perhubungan termaju di antara makhluk dan Khaliqnya – melalui sujud-sujud qudusmu!

Monday, December 27, 2010

Cerkas - 4 Muhammad

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ummi sedang menangis di dalam bilik. Empat Muhammad mengintai-intai di balik langsir. Mereka tidak pernah melihat Ummi menangis sedemikian rupa. Keceriaan di hati keempat-empatnya juga turut luntur melihatkan tangis esak Ummi yang sangat ganjil itu.

Muhammad pertama cuba menenangkan Ummi. Dihampiri Ummi lalu memeluk tubuh Ummi seeratnya.

‘Bakpo, Mi?’ Ummi membisu tidak menjawab. Esaknya malah bertambah-tambah pula. Yang lain mengerumuni Ummi. Muhammad kedua mengusap kepala Ummi. Kepala yang memikul beban berfikir yang sangat banyak.

Muhammad ketiga memicit-micit dahi Ummi. Manakala Muhammad keempat selaku putera bongsu memainkan peranannya bermanja-manja, diciumnya pipi Ummi. ‘Ali sayang Ummi’.

Belaian dan perhatian anak-anak, lebih-lebih lagi ayat terakhir si kecil, meruntun hati Ummi lebih kuat. Dada Ummi bagai disiat-siat, airmata mengalir tambah lebat. Esakannya mendahsyat.

Ummi peluk empat Muhammad erat-erat. Ummi menangis sepenuh hati. Empat Muhammad turut menangis. Menangislah lima beranak itu. Empat Muhammad menangis tanpa pengertian. Ummi menangis penuh penderitaan.

Di atas semua itu, ada renungan Allah yang penuh kasih sayang, ada pandangan Allah yang penuh belas kasihan..

__________________________________________________


Inilah cerita ringkas (cerkas) mengenai 4 Muhammad saya yang sentiasa cuba mengerti, sering cuba menjadi lelaki sejati. Muhammad pertama, Muhammad Al-Fateh namanya. Putera sulung yang telah diajar kesukaran hidup semenjak dalam rahim saya lagi. Abang yang bertanggungjawab - sering mahu memudahkan Umminya semenjak kecil.

Muhammad kedua pula bernama Muhammad Al-Auzaie. Putera yang tegas lagi berani di sebalik tubuh kecilnya. Anak yang sentiasa menyenangkan hati Ummi dengan perlakuan baik dan santun.

Muhammad ketiga diberi nama Muhammad Al-Hadi. Berwatak penghibur yang sangat pandai berlucu. Seringkali menghiburkan tatkala saya kegelisahan. Ayat-ayat yang digunakan biasanya mengejutkan.

Dan akhirnya, Muhammad Asy-Syazili selaku putera bongsu, adalah si manja yang petah bertanya dan selalu menjawab sendiri. Yang paling kecil tetapi paling berkuasa pula di kalangan abang-abangnya....

Jika diizinkan Allah, saya akan menyambung lagi. Kisah 4 Muhammad yang terpuji di hati walau pun selalu pula berperang-perang dengan saya. Ummi untuk 4 orang askar mestilah seorang Mejar, kan? :)

Monday, December 13, 2010

Yang Tercorot

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dari zaman Nabi Adam a.s hingga kini. Jutaan manusia telah hidup, telah mati. Infiniti makhluk-Nya telah bernafas, telah berkubur. Dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui, berapa ramaikah kekasih-Nya. Bermula dengan Sayyidul Anbiya', Muhammad saw di ranking pertama, maka berjujut aturlah para kekasih Allah - yang memiliki kedudukan termulia di sisi Allah, yang akan menerima anugerah kehormat memandang Wajah-Nya. Hari akhirat akan menjadi grand ceremony bagi semua kekasih-Nya; melebihi konvokesyen, melebihi apa jua anugerah di dunia.

Saya sentiasa mengingini yang satu ini, meresap dalam dada, sebati dengan hati. Ingin, mahu, hendak memandang Wajah Agung-Nya, rahsia bagi seluruh makhluk dan alam. Kemudian sujud khusyuk beribu tahun lamanya lantaran telah mendapat nikmat bahagia teragung (memandang Wajah-Nya). Tetapi saya sentiasa sedar diri saya siapa..saya tidak layak untuk itu, saya tidak layak untuk beratur di dalam saff itu. Pun demikian, saya tidak mahu mengalah.

Saya ingin menjadi kekasih-Nya.

Kekasih yang setia kepada-Nya. Yang sentiasa berusaha membuat-Nya redho. Yang merindui-Nya siang dan malam. Bukan hanya ketika sedih dan kesusahan. Sampai mati menjemput, saya mahu terus cinta kepada-Nya, sampai ke alam barzakh, sampai ke Hari Pengadilan..saya mahu cinta dan terus cinta; tidak berhenti lagi.

Konon-konon mahu menjadi kekasih Allah tetapi saya adalah yang tercorot berbanding yang lain. Amal sangat sedikit, ibadah masih caca-marba, dosa; menggunung tinggi, jiwa dan hati - belum mantap mengingati Allah. Ilmu - saya tidak faqeh. Saya tidak terpilih untuk ke Mesir, saya bukan keluaran aliran agama, saya bukan ustazah, saya jua tidaklah hafiz 30-juzu' Al-Quran. Pun begitu saya tetap mahu menjadi kekasih Allah.

Saya mahu dan tetap mahu.

Berbanding yang lain, yang sempurna purdah dan jubahnya, yang tinggi ilmunya, yang teguh perjuangannya, yang hebat zikir dan ibadahnya..saya adalah yang tercorot. Saya berada di sudut yang tak terpandang, tak kelihatan oleh golongan kekasih-Nya. Seringkali airmata ini menitis mengenangkan kekurangan diri berbanding makhluk-Nya yang lain dalam merebut cinta-Nya.

Pepohon dan rumput, langit dan awan gemawan, mentari dan bulan, ombak dan pantai, batu dan pasir, helang dan pepatung; dan ikan di lautan dan burung-burung di angkasa..dan semuanya sekali..semuanya sentiasa bertasbih mensucikan Allah. Semuanya menyintai Allah.

Saya terlalu jauh dari Allah berbanding mereka semua..sayalah yang tercorot.

Akan tetapi Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, tidak akan mensia-siakan cinta hamba-Nya walaupun si pencinta itu adalah yang tercorot. Dan di sudut mana pun saya berada, Dia Yang Maha Melihat, sentiasa merenung saya penuh cinta dan rahsia.. saya yakini itu. Atas saya pulalah bagaimana untuk terus berjuang meraih perhatian-Nya..

Friday, December 10, 2010

Sisa-sisa Hidup

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tidak lama lagi, usia saya akan mencecah takah baru - 30 tahun. Ia akan meningkat dan terus meningkat, tidak akan turun-turun lagi. Bukan bertambah muda, mustahil pula bertambah jelita. Anak-anak akan membesar, menjadi remaja, menjadi belia dan suatu hari nanti saya perlu bersedia menyambut kedatangan insan-insan baru ke dalam hidup kami sekeluarga; menantu-menantu tercinta. Saya juga akan menjadi nenek yang melayani karenah cucu-cucunya.
Insya Allah.

Di takah usia sebegini; tanpa cinta berani bertandang, tanpa teman penghapus duka dan kesunyian, saya memutuskan untuk menghabiskan saki-baki usia dengan penuh semangat. Saya tidak akan rebah lantaran ditolak dan disingkirkan orang. Saya tidak akan mati hanya disebabkan tiada yang sudi mendampingi. Saya tidak selemah itu. Setiap hari semangat dan jiwa saya bangkit demi hidup kerana Allah, demi amanah-Nya 4 Muhammad dan demi membantu ummah kembali ke pangkuan-Nya. Saya tidak akan memusnahkan hidup saya, juga tidak mahu mensia-siakan pinjaman umur kerana seorang lelaki. Saya tidak akan menoleh dan berpaling lagi.

Sekali-kali tidak.

Saya tidak mahu menunggu sesiapa pun lagi.

Saya tidak mahu menangis lagi.

Telah berulang kali hati saya dilukai, dicarik-carik, ditoreh bahkan ditusuk sembilu yang tajam tetapi ia masih sahaja berdenyut kuat. Degup jantung saya masih gagah. Darah saya masih merah dan hangat. Jiwa saya masih hidup dan ia mahu hidup seribu tahun lagi bersama ummah ini.

Saya pasti mati suatu hari nanti. Saya tidak mahu membuang peluang untuk berbakti yang Allah berikan. Biarpun saya tidak dapat lagi berbakti kepada seorang suami, saya tidak akan berputus asa dalam mengejar redho-Nya. Masih ada bakti buat 4 Muhammad yang wajib saya tangani, masih ada panggilan ummah yang menunggu saya setiap hari.

Pun demikian, saya sedar ada taqdir-Nya pada masa depan yang masih sahaja rahsia. Doakanlah kebahagiaan buat saya, biarpun tanpa seorang suami. Kerana saya yakin, setiap makhluk itu dicipta berpasang-pasangan. Jika tidak di dunia, di akhirat tentunya bertemu - dengan seindah-indah pertemuan di hadapan-Nya.

*Semoga sisa-sisa hidup dan saki-baki usia yang dianugerahkan-Nya dapat saya jalani penuh keberkatan. Amiiin..

Saturday, December 4, 2010

Masih Ada Allah..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Walaupun seluruh dunia ini menolak, membuang dan meminggirkan, masih ada Allah yang menerima, mengutip dan mendekati saya. Masih ada Allah untuk saya cintai, kasihi, sayangi dan rindui buat selamanya.

Dialah yang melegakan hati - saat saya gundah. Dialah yang menyembuhkan jiwa - saat saya terluka.

Dia masih dan tetap akan ada lama-selamanya..

Wahai Allah, uhibbuKa abadan abadaa..

Wednesday, November 17, 2010

Tempaan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Saya dapat membayangkan, jika saya menjadi besi..alangkah sakitnya melalui proses tempaan. Dibakar sampai merah menyala; lalu menjadi lembut dan lunak, kemudian diketuk sekuatnya hingga terhasillah bentuk idaman. Alangkah gerun jika saya menjadi besi, kemudian dipilih untuk ditempa menjadi hasil seni yang bermutu tinggi. Jika saya menjadi besi, ikutkan rasa gerun itu, agaknya saya pun tidak mahu ditempa; dibakar dan diketuk hingga sakit. Ya Allah alangkah sakitnya…

Tapi jika saya menjadi besi, saya mungkin juga sanggup melalui proses tempaan kerana hanya besi-besi terpilih sahaja yang akan ditempa - besi yang kuat ikatan atomnya, besi yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak. Setelah ditempa; dibakar-bakar dan diketuk-ketuk, saya akan menjadi besi yang indah, yang mahal harganya, menjadi kesayangan tuannya, menjadi rebutan orang..mungkin waktu itu saya adalah keris, mungkin pedang, mungkin besi tempawan untuk binaan hiasan.

Wahai Allah Tuhanku, jika hamba ini bagaikan besi yang kuat ikatan atomnya, yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak pada pandangan-Mu, maka redholah hamba jika Engkau mahu menempa hamba. Biarpun perit bagai dibakar-bakar sampai merah menyala dengan ujian hidup yang menduga, biarpun sakit bagai diketuk-ketuk sekuatnya dengan mehnah iman dan taqwa yang tersedia; hamba redho jika itulah caranya untuk hamba menjadi bagai besi tempawan yang indah di sisi-Mu.
Amiiin Ya Ilaahii Rabbii…

Tuesday, November 16, 2010

Antara Dua Darjat

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hamba mulakan kalam ini dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hamba ingin melarikkan kata-kata dari dalam hati hamba yang telah lama mendesak-desak ingin keluar. Jika ia terus tersembunyi di situ, maka sakitlah hamba menanggung perasaan yang sungguh berat ini. Tak tertanggungkan oleh hamba yang lemah ini.

Tuan hamba nak tahu? Hamba kini berada di suatu daerah terindah di dalam hidup. Ia adalah suatu fasa yang diidam-idamkan oleh seluruh makhluk. Setiap inci alam seperti berkongsi keindahan itu dengan hamba. Udara bertiup terasa segar dan nyamannya. Ia seperti menari-nari kegembiraan, meniup-niup sang dedaun, rerumput dan lalang jua pepohon nan menghijau. Ombak mendebur pantai, hujan turun membasahi bumi, mentari terik memancarkan cahayanya, rembulan yang romantis menyinari kegelapan malam. Semuanya ternampak indah dan hebat di mata hamba. Batu-batu kecil yang sering dipijak-pijak jua kelihatan sangat cantiknya. Semut, kerengga, bahkan ikan kembung yang hamba siang untuk makan malam juga mampu membuatkan bibir ini tersenyum meleret, lantaran riang dan bahagianya hati hamba. Ah, daerah ini nyata menjadikan hamba aneh.

Tahukah tuan hamba, apakah yang hamba lalui kini? Malu hamba nak menyebutnya. Hamba..err.. hamba..err.. hmm..malulah (sambil menekup muka dengan telapak tangan). Hamba..hamba.. Ya Allah, kuatkanlah hati hamba untuk menyebutnya.

Jatuh cinta..

Itulah kalimah paling tepat untuk menerangkan keadaan hati hamba kini. Setiap nafas yang hamba hirup dan hembuskan, hamba dapat merasakan cinta sedang berdenyut-denyut, ia hidup, ia bernafas bersama hamba. Degupan jantung hamba, aliran darah hamba, keringat dan airmata hamba, semuanya melahirkan suatu perasaan yang sangat mendalam bernama cinta. Tidur hamba, jaga hamba, makan dan minum hamba dinaungi nikmat cinta, yang terlalu infiniti untuk hamba jelaskan.

Hamba telah jatuh cinta. Cinta yang tak pernah hamba rasai sepanjang hayat. Tentu kalian tersenyum-senyum membaca kisah hamba ini, kan? Maklumlah cinta.. bahan paling menarik untuk membuatkan novel dan filem laris dan laku di pasaran. Ia adalah keinginan setiap makhluk yang bernama manusia. Cinta, sejak zaman-berzaman telah menjadi penyeri dan tragedi alam ini. Bahkan Allah juga mencipta segalanya bersama cinta.

Tapi apabila merenungi diri, hamba jadi resah. Hamba serba kekurangan. Hamba tidak cantik seperti Siti Nurhaliza, tidak genius seperti Dato’ Dr. Mazlan Othman, tidak kaya seperti Oprah Winfrey, tidak berkebolehan lagi pemalu. Diulangi, pemalu tahu? Hamba sentiasa sedar diri hamba siapa. Dalam dunia yang memandang rupa dan material, hamba serba-serbi ketinggalan berbanding orang lain. Hamba tidak punya harta walau sedikit pun, walaupun tanah sejengkal, walaupun emas sehalus janggut udang; tidak hamba miliki itu semua. Hamba miskin hina lagi melarat. Makan minum pun ibaratnya..kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam. Kasihan, kan?

Cuba kalian bayangkan, apakah perasaannya jika kalian jatuh cinta dengan orang yang darjatnya berlainan dengan kalian. Tentu perasaan itu sukar sekali untuk digambarkan. Apatah lagi hendak meluahkan. Jika kita tidak cukup solehah tapi jatuh hati dengan si soleh, jika kita tidak cantik tapi jatuh hati dengan si tampan, jika kita miskin tapi jatuh hati dengan si hartawan, jika kita tidak berpangkat tapi jatuh hati dengan si penguasa.. pastilah berat perasaan yang ditanggung. Hendak diucapkan, kita masih sedar diri kita siapa. Hendak dikongsi dengan sesiapa pun malu. Lebih-lebih lagi jika orang di sana tidak membalas bahkan memandang kita seperti tiada. Bertambah-tambahlah malu kita, kan? Kan?

Hamba hanyalah seorang hamba. Yang menyintai dari darjat yang berbeza. Antara dua darjat.. Macam filem P. Ramlee lah pula..

Dia terlalu sempurna di mata hamba. Dia memiliki segala-galanya yang melayakkan hamba meletakkan kecintaan hamba. Dia memenuhi seluruh hati dan jiwa hamba. Dia singgah di seluruh ingatan hamba dari saat bangun di dinihari sampailah hamba terkenang-kenang di malam hari. Hamba dirundung rindu yang mendalam. Hendak bertemu sentiasa. Ingin memandang, senyum dan berbicara bersama. Mahu bermanja-manja dan mengadu seluruh hal keadaan diri. Mahu bersunyi-sunyian tanpa yang lain. Airmata panas hamba menitik dan berlinangan apabila mengingati. Terasa alangkah jauhnya beza antara kami. Jauhnya kami. Dia terlalu sempurna untuk hamba sedangkan siapalah hamba ini. Malu, kan?

Cinta hamba kepada-Nya adalah cinta antara dua darjat. Cinta seorang hamba kepada Tuannya. Tuan yang memberikan makan minum, pakaian, nafas, detak jantung, denyut akal, tangan kaki, jasad, wajah bahkan segala-galanya. Dari kekosongan, Dia telah memenuhkan hamba dengan selengkapnya. Dia Maha Baik, Maha Indah, Maha Kaya Raya, Maha Berkuasa, Dia Maha Segala-galanya. Salahkah hamba jatuh cinta kepada-Nya?

Kalau manusia yang lebih baik dari kita, tentu saja cinta dari yang serba kekurangan seperti hamba ini akan ditolak mentah-mentah. Tapi Dia tidak begitu. Dia menerima cinta hamba dengan sepenuh penghargaan. Dia tidak memandang rupa, harta, pangkat dan keturunan hamba. Dia memandang hati dan amalan hamba. Dia tidak meletakkan apa-apa syarat kebendaan untuk menyintai-Nya. Dia tidak hairan bahkan tidak peduli, secantik manakah hamba yang menyintai-Nya, sebanyak manakah harta yang hamba miliki, setinggi manakah pangkat yang hamba duduki, Dia telah ada semua itu. Dia Yang Paling bahkan Maha Indah. Dia Memiliki seluruh alam ini, Dia juga Menguasai segalanya dari dunia ini sampai akhirat. Dia hanya memuliakan hamba-Nya yang bertaqwa. Tidak kira siapa dan bagaimanakah hamba-Nya itu. Oh sungguh Dia Maha Baik..

Dia sentiasa memandang hamba penuh cinta dan rahsia, tak pernah berhenti-henti dari saat hamba mencelikkan mata, di tempat kerja, di bilik air, di meja makan dan di atas pembaringan. Dia menilai dan memeriksa semua perkataan, pergerakan dan bisikan hati hamba. Dia menyemak dan menimbang seluruhnya keikhlasan dan ketulusan hamba.

Hamba tahu, Dia juga menyintai hamba. Kerana Dia sering sahaja menguji hamba. Diberikannya kepada hamba ujian-ujian yang sukar, yang sangat payah untuk hamba lalui. Tapi dalam ujian itu, diberikan pula oleh-Nya kekuatan untuk hamba meloloskan diri. Kalau di sekolah, pelajar pandailah yang disayangi guru dan diberikan soalan-soalan yang susah lagi mencabar.

Itulah yang hamba rasakan.. Dia pun cintakan hamba juga (syyy..jangan bagitahu orang lain, nanti hamba dikatakan perasan!). Bukan hamba perasan tahu..tapi sungguh. Bukti-buktinya memang ada. Tapi biarlah rahsia…kalau hamba sebut, macam menyohorlah pula.

Hai kawanku tuan hamba… hamba sungguh sedang bahagia dilamun cinta. Cinta yang tak melemahkan tapi menguatkan dan memotivasikan hamba. Kerana hamba tahu, Dia yang hamba cintai dan Menyintai hamba sentiasa ada bersama-sama, menemani sepanjang liku-liku hidup yang hamba lalui.

Hamba jatuh cinta. Hamba cinta kepada-Nya, Allah. Yang sentiasa menyambut cinta-cinta hamba-Nya bahkan tak pernah lelah membalas walau seluruh alam ini menghulurkan cinta kepada-Nya. Maha Hebatkan Kekasih hamba? Baru tuan hamba tahu, patutlah hamba jatuh cinta dan tak keruan dengan-Nya..

Tuan hamba, bagaimana? Jom sama-sama cintai Dia..
* Tulisan ini dihasilkan dengan izin Allah pada 30 Oktober 2010, sehari sebelum majlis graduasi MRSM Kota Putra. Keesokannya saya diuji dengan mimpi istikharah, yang hari ini saya sedari ia tidak lain tidak bukan adalah ujian ketaqwaan dari Allah semata-mata. Terima kasih wahai Allah kerana membalas cinta hamba..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...