Sunday, September 6, 2009

Mesej Dari Yang Dirindui

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan

Alangkah gembiranya menerima mesej dari orang yang dikasihi dan dicintai. Tidak kira melalui sms, emel atau surat biasa - ia adalah catatan yang menyampaikan mesej dari hatinya. Mesej yang diterima adalah tanda ingatannya kepada kita. Walaupun hanya sepatah perkataan yang tertera, hati yang menerima terasa sangat bahagia. Setiap masa dikenang-kenang dan dibaca pula berulang-ulang. Lantaran terlalu bahagia, fikiran hanya tertuju pada isi mesej dan orang yang menghantarnya. Wajah dihiasi senyuman ceria, dada diisi semangat menyala.

Di sebalik gembira dan bahagia menerima dan membaca mesej kekasih tadi, ada mesej yang sepatutnya lebih menggembirakan dan membahagiakan apabila membacanya. Ia adalah mesej dari Kekasih Agung, yang paling mahal nilainya, yang paling indah kalimahnya dan yang paling mengasyikkan…

Dia adalah Kekasih sebenar manusia. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sumber segala kasih sayang dan cinta di dunia ini sampai ke syurga kelak. Dialah yang wajib dicintai dan dikasihi sepenuh hati. Dialah yang sepatutnya berada di singgahsana cinta kita yang pertama dan utama. Kerana tanpa kasih sayang dan cintanya, maka tiadalah kita di sini, tiadalah rupa kita begini dan tiadalah iman di hati. Dari kasih sayang dan cinta-Nya, kita ada di dunia, sebagai manusia, yang bergelar mukmin. Bersyukurlah dan cintailah Dia. Jika belum, maka jatuh cintalah kepada-Nya.

Dia telah menghantar mesej agungnya semenjak lebih 1430 tahun yang lalu. Mesej agung yang tak pernah pudar ditelan zaman, tak pernah ketinggalan oleh kemajuan dan peradaban. Mesej agungnya yang punya pelbagai catatan rasa dan faham (hamba pinjam kalimah ni deh, Tuan Abuyon). Di dalamnya terkandung pesanan, nasihat, motivasi dan khabar gembira yang disampaikan dengan lenggok serta gaya bahasa yang romantis lagi melegakan. Dia juga sering mengingatkan kita dengan larangan, ancaman dan khabar duka dengan bahasa yang tegas lagi meruntun perasaan. Bahkan Dia juga bercerita tentang alam, sejarah dan fakta sains. Dia tidak pernah bakhil untuk mengkhabarkan. Malah mustahil bagi-Nya bersifat bakhil.



Keindahan dan keromantisan kalam-Nya, membuatkan hati sentiasa rindu untuk mengulang baca mesej agung-Nya. Terikat hati dan jiwa, rindu sentiasa. Orang-orang yang bercinta dengan-Nya tak akan rindu lagi pada lain kalam kerana semuanya sirna oleh kehebatan kalam agung-Nya.

Di saat duka, kalam-Nya bisa memujuk dan memotivasikan. Dia mengajar manusia supaya bersabar dan tidak mengalah. Dia mengajar manusia agar jangan takut dan jangan bersedih hati. Dia mengajar semua kekasih-Nya menjadi kuat dan berani. Motivasi dari-Nya adalah yang Teragung dan tidak terbanding oleh mana-mana motivator pun di dalam dunia ini. Dialah sumber semangat buat manusia-manusia yang melarat di bumi ini.

Di saat gembira, Dia berpesan buat orang-orang yang dikasihi-Nya agar sentiasa mengingati-Nya. Sesiapa yang yang mengingati-Nya akan diingati pula oleh-Nya. Dia memberi peringatan tentang dunia dan tipudayanya. Dia tidak mahu orang-orang yang dicintai-Nya terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu. Dia sesungguhnya Kekasih Yang Maha Belas Kasihan kepada semua kekasih-Nya dan tidak akan membiarkan mereka hanyut dalam pancaroba dunia. Oh alangkah romantiknya Dia, alangkah ambil beratnya Dia.

Al-Quran yang berada di kamar-kamar kita itulah mesej agung dari Allah; yang sepatutnya menjadi harta paling berharga di dalam jiwa setiap orang yang mengaku beriman. Segala mesejnya; khabar gembira dan duka, pujukan dan ancaman, tauladan dan sempadan umat terdahulu, fakta sains dan ghaib, segala ilmu alam dan insan; jadikanlah mesej paling dirindui, dikenang-kenang dan diulang-ulang baca di setiap kesempatan yang ada…

*Selamat bertadarrus dan mentadabbur mesej agung dari Al-Quran; di sepanjang Ramadhan ini sehingga ke akhir hayat nanti.

Friday, August 28, 2009

Sarjana Ibadah@Madrasah Agung

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Mari merebut gelar sarjana ibadah

Ramadhan, saya analogikan sebagai sebuah madrasah. Bukan madrasah biasa tetapi madrasah agung. Ia adalah madrasah pendidikan ruhani teragung di setiap zaman semenjak ia Allah gazetkan sebagai bulan puasa pada tahun ke-2 hijrah.

Dan tahun ini, madrasah agung telah seminggu membuka tirai indahnya. Berbondong-bondong ummah yang dahagakan didikan dan belaian Allah memasuki madrasah ini tanpa mengira ada sijil pra madrasah atau tidak. Semua diraikan dan disambut dengan pesta ibadah berskala besar-besaran, agung-agungan. Semua berpeluang merebut gelar sarjana ibadah. Yang penting mahu atau tidak. Selama seminggu – ummah Islam mengikuti minggu orientasi di madrasah agung. Membiasakan lapar dahaga, membetulkan jam tidur dan bangun.



Di madrasah agung ini, puasa adalah fakulti utamanya. Semua yang menginjakkan kaki ke madrasah agung, akan menyertai fakulti puasa. Ia adalah syarat utama pengijazahan di akhir Ramadhan nanti. Orang-orang yang menuntut di fakulti puasa itu pula, pelbagai peringkat pengajian yang mereka tempuhi. Peringkat paling asas di madrasah agung ini adalah sijil awam. Mereka berpuasa zahirnya semata-mata; berlapar dan dahaga cuma. Peringkat yang lebih tinggi adalah sarjana muda khusus, mereka adalah orang-orang yang menjaga anggota-anggota badan dari melakukan dosa. Manakala peringkat paling tinggi adalah sarjana ibadah; ia dimiliki oleh mukmin yang mencapai kualiti puasa yang sangat khusus.

Mereka adalah orang-orang yang berpuasa zahir dan batin. Fizik mereka berlapar dahaga dari keenakan makan dan minum manakala batin mereka berlapar dahaga dari kelazatan maksiat dan dosa. Lidah dan hati mereka basah – bukan dengan air minuman tapi dengan zikir mengingati Tuhan. Sarjana ibadah menghargai setiap detik di madrasah agung yang hanya terbuka setahun sekali, dengan tiga semester yang amat singkat - Rahmah, Maghfirah dan Kelepasan dari Azab Api Neraka. Mereka berusaha mencapai pangkat mumtaz di ketiga-ketiga semester ini. Setiap saat adalah peluang untuk beribadah kepada Allah. Siang dan malam, hidup mereka disinari cahaya puasa, solat, sedekah, zakat dan membaca Al-Quran. Mereka akan mendapat perisai terbaik – untuk menahan diri dalam peperangan hidup dan perjuangan nafsu sehabis sahaja bergraduasi nanti.

Merekalah mukmin yang paling cemerlang di madrasah agung. Merekalah orang-orang yang beruntung.

*Selamat meneruskan permukiman di madrasah agung. Ambillah segala tarbiyah Allah yang sarat di dalamnya. Dan marilah kita berjuang untuk memperolehi sarjana ibadah!

Monday, August 10, 2009

Rindu Serindu-rindunya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Penantian itu satu kerinduan

Sepuluh hari ini adalah hari-hari yang penuh kerinduan. Denyut-denyut cinta bergetar – kian gelisah untuk bertemu. Hati berdebar-debar ingin menerima tamu tercinta yang ditunggu-tunggu. Sudah hampir setahun lamanya berpisah.



Demikian perlahan masa berlalu. Terasa - seperti saat dan minit sedang mempermainkan waktu. Kesabaran benar-benar teruji. Sempatkah menunggu sepuluh hari lagi? Sedangkan nyawa sentiasa di dalam genggaman Yang Maha Mengetahui.

Alangkah indahnya dia dan seluruh suasananya.

Saat langit mula memancarkan sinar fajar dan saat langit mula masuk ke penjara kegelapan. Betapa meriahnya tarawih, indahnya taubat di detik sahur, bahagianya berzikir tika iftar. Lapar, dahaga dan penat bersamanya tak pernah membunuh nyawa bahkan semua itulah makanan yang menghidupkan jiwa. Alangkah indahnya dia.. Ramadhan – musim panas berdebu, bulan dugaan ruhani penuh liku.

Sepuluh hari lagi dia akan tiba, membawa sejuta rahmah dan selautan sakinah. Bumi akan dibanjiri kemeriahan langit. Cahaya ibadah bersinar siang dan malam. Denyut-denyut pengabdian hidup subur. Manusia berlumba-lumba, merebutkan cinta dari Kekasih Agung. Segala makhluk bertasbih dan berzikir. Tiga puluh hari cuma ia bertandang. Wahai Ramadhan, rindu tak tertahan. Melarat hamba Tuhan ini menunggukan ketibaan.

Wahai Allah, izinkan aku melangkah ke madrasah agung-Mu; dengan hati yang penuh cinta dan rindu. Amin


Sunday, August 2, 2009

Enaknya Maggi, Sedapnya Nescafe

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Mi maggi cepat dimasak,
sedap dimakan


Palestin, Iraq dan Afghanistan – bumi peperangan, bumi jihad dan medan gugurnya syuhada akhir zaman. Bumi-bumi itu, telah lama dikepung, dibantai dan diperangi pengganas-pengganas kuffar yang jahatnya macam syaitan! Di sana, saya dapat membayangkan betapa ngerinya hidup dan nikmatnya mati.

Lelaki-lelaki yang menjadi payung keluarga satu demi satu syahid. Anak-anak permata hati dan agama, terkorban di depan mata. Ibu-ibu dan wanita-wanita muslim, ada yang menjadi mangsa perkosa. Alangkah pedih hati ini mengenangkan nasib mereka; di kala kita sedang enak makan maggi, sedap minum nescafe.



Enaknya maggi, sedapnya nescafe.

Sehingga terlupa nasib yang menimpa mereka di sana. Keenakan maggi dan kesedapan nescafe telah menjadikan hati kita mati, jiwa kita lesu – mementingkan diri sendiri. Tak apalah muslim di Palestin mati bergelumang darah, asal kita dapat makan maggi, minum nescafe.



Pada saya, isu Palestin sentiasa relevan, tidak bermusim. Tak kira bilakah masa kita membicarakannya.

Sunday, July 26, 2009

Dua Kaki

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Dengan nama-Mu Tuhan,
aku melangkah


Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya nikmat dua kaki - yang sangat berguna dan berfaedah buat hidup saya dari kecil hingga kini. Dua kaki yang saya gunakan saat bangun pagi untuk ke bilik air, ke dapur dan seluruh ruang rumah saya untuk menyelesaikan tugas dan tanggungjawab yang tidak pernah surut. Perjuangan yang belum selesai dan tidak akan selesai sampailah dua mata ini terpejam rapat.

Dua kaki ini jugalah yang saya gunakan untuk keluar rumah, membeli barangan runcit, membakar sampah dan mengambil anak dari sekolah. Dua kaki yang pernah membantu saya mengikuti siri-siri tarbiyah di bumi waqafan. Dua kaki yang pernah menaikkan saya di atas pentas dakwah dan anugerah. Dua kaki yang pernah merasa sakit ketika jatuh. Pahit manis hidup, saya tempuhi dengan tabah bersama langkah dua kaki yang sering tidak mahu mengalah.



Di waktu orang lain telah mengecap nikmatnya memandu kereta, menekan pedal minyak dan brek dengan kaki mereka, saya masih lagi melangkah gagah menyelusuri tepi-tepi jalan dengan dua kaki kesayangan. Di saat orang lain dapat berteduh dari hujan dan panas dengan bumbung keretanya, saya masih lagi setia berhujan dan berpanas dengan ayunan kaki yang tidak mahu menyerah ini.

Dua kaki ini – lebih enam tahun yang lalu saya gunakan dengan sepenuhnya untuk menjelajah menara ilmu USM. Bahkan dua kaki inilah yang membawa saya dan anak kecil saya ke kuliah setiap pagi.

Dua kaki saya adalah kenderaan tercanggih yang saya miliki. Ia adalah teknologi Allah yang tiada tolok bandingnya. Dua kaki saya bukanlah lambang kemunduran tetapi ia adalah lambang kasih sayang-Nya kepada saya. Dua kaki ini sering membuatkan saya ingat kepada Allah yang tidak kunjung jemu memberi nikmat.

Dengan kaki ini saya sering menapak bersama hati yang merasa naungan dan bumbungan rahmat Allah. Dengannya, saya memijak bumi Allah yang luas ini. Dan yang paling utama, dua kaki inilah yang mendiri dan merebahkan saya di hadapan yang Maha Esa; lima waktu sehari semalam serta merintih di malam hari yang sepi.

Thursday, July 16, 2009

Imtihan@Madrasah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang.

Madrasah Hidup

Berdiam di madrasah, tentu saja syaratnya perlu melalui imtihan atau ujian. Imtihan akan datang bila-bila masa dan dalam pelbagai cara. Ada yang mudah, ada yang taf. Menghadapi imtihan di madrasah adalah penentu di standard manakah kita berada. Yang di tahap satu, pasti ujiannya sesuai untuk kemampuan tahap satu; yang di peringkat universiti, tentu saja persoalannya lebih teruji. Hidup di madrasah Ilahi ini, imtihan datang bagai tsunami yang tidak terjangkau oleh akal. Kadang-kadang cuma bagai riak-riak air di gigi pantai.



Menghadapi imtihan, walau kecil atau besar - perlulah mendapat sokongan padu dari Allah. Dekatkanlah diri dengan Allah, tautkanlah hati dengan-Nya. Mengadu dan merintihlah dalam kepayahan itu. Mohonlah perhatian dan petunjuk-Nya, apakah jalan keluar serta penyelesaian terbaik untuk kita. Selesai menghadapi imtihan, ikatan dan hubungan dengan Allah akan lebih teguh. Itulah skor tertinggi dalam apa jua bentuk imtihan.

Monday, July 13, 2009

Jatuh Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang


>Bumi Mutiara Tanah Malaya



5 Ramadhan 1417H – setelah berbuka puasa, saya dan freshie yang lain dikumpulkan di dalam musolla Sayyidatina Khadijah. Musolla ini adalah musolla lama sebelum beralih ke bangunan berasingan. Ia terletak di sebelah dorm E-04. Selesai menunaikan maghrib berjemaah, lampu di padamkan.

Dengan lafaz bismillah, kedengaran suara yang sungguh mersik, merdu, lunak lagi lembut melantunkan sebuah nasyid. Walaupun tanpa iringan kompang atau suara harmoni,
zauqnya terasa sampai ke lubuk hati yang paling dalam. Tanpa sedar, menitis airmata tidak berhenti.

Nasyid ini telah benar-benar menyentuh jiwa saya, seorang gadis yang keras hatinya. Dan alunan nasyid inilah saat mula hati saya jatuh di bumi KISAS. Lantas cinta pun bersemi.




KEMBARA
Berjalan di bumi yg tandus ini penuh duri

Tanpa sedar dan penuh lalai
Usia beredar penuh kejahilan
dan kemusnahan

Mengembara mencari dunia hakiki
Tiada jumpa arah yang sejati
Tiada pembimbing penunjuk jalan yg suci
Hidup terumbang-ambing sendiri.. sendiri

Tuhanku dengarlah bicara hati ini
Dariku insan yg sering tersisih
Di lautan penuh dosa dan noda
Demi mencari secebis kasih-Mu

Tuhanku tangan ini menadah sayu
Keampunan di perjalanan jauh
Semoga diterima di sisi-Mu
Sebagai bekalan negeri abadi

Menempuh sayu perjalanan pahit
Dalam kembara mencari diri
Mengharap sinar terangi hati
Yang sekian lama menutup jiwa...
Yang sekian lama menutup jiwa...



Kredit buat pelantun nasyid di atas, Kak Nurul Subhiyyah Abdul Wahab – ratu nasyid KI, yang suaranya hanya satu dalam seribu. Siti Nurhaliza pun kalah.

Sunday, July 5, 2009

Sunyi Pusara Semeriah Dunia

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang



Sunyi Pusara

Desiran bayu berhembus
bergoyang pepohon kemboja
gugur daun-daunnya
jatuh menimpa pusara.

Sunyinya pusara ini
tidak semeriah dunia.

Yang ada hanya nisan-nisan kaku,
pohon-pohon kemboja nan bisu
jasad-jasad terbujur sepi.

Siang dan malam sama saja,
yang berbeza hanyalah warna alam;
Sunyinya tetap tidak berubah
setia menemani setiap saat.

Di sinilah rumah sebenar manusia;
banglonya yang mewah,
kondonya yang membelah awan
atau pondok buruknya yang bergoyang
akan ditinggalkan.

Mahu atau tidak, ke pusara inilah
dia akan dibawa akan ditinggalkan;
berbaring sendirian menatap kegelapan
mendengar kesunyian.

Alangkah sunyinya pusara;
ditemani nisan-nisan kaku,
pohon-pohon kemboja nan bisu
jasad-jasad terbujur sepi..

__________

*Sama-samalah kita merenungi nasib kita di barzakh sana. Lupakan saja pada nilai artistik yang kosong markahnya kerana pembikinnya masih belajar-belajar lagi.

Wednesday, June 24, 2009

Empat Muhammad

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Anak-anak adalah cahayamata, penghibur hati, penyejuk mata

Malam Rejab 1430H. Malam ini adalah malam akujanji seorang ummi yang sering lalai dalam melaksanakan tugas pendidikan anak-anaknya. Padahal itulah sebab utama seorang ummi ini memilih profesyen surirumah sepenuh masa. Seorang ummi ini adalah manusia biasa yang tidak dapat lari dari sifat nasiya – lupa dan sering lupa. Juga tidak dapat lari dari sifat iman manusia yang sering yazid dan yankuz.

Wahai Tuhanku.. ampunkan dosaku jika ada selang-selang masa yang kulalaikan dari tugas pendidikan anak-anakku yang setiap saat makin membesar, makin membutuhkan kasih sayang, perhatian dan ilmu.



Ya Allah, amanah yang telah Engkau berikan kepadaku terasa semakin berat dalam perjalanan ini; kerana mereka membesar dalam lingkungan dunia tanpa sempadan. Persaingan ilmu dan hidup sungguh sengit. Di tanganku telah Engkau berikan magis ilmu tetapi sayang aku sering alpa menggunakannya untuk mereka. Oh Tuhan, janganlah Engkau lalaikan aku dari tanggungjawab ini kerana tugas keibuan adalah sebahagian tugas nubuwwah.

Dari ayunan tanganku, mereka akan menjadi para duat yang bertebaran di muka bumi ini. Dari cubitan tanganku, mereka akan menjadi para pengawal Deen ini. Dari belaian tanganku mereka akan menjadi para kekasih-Mu. Dari pukulan tanganku mereka akan bangkit menjadi mujahid di jalan-Mu. Wahai Tuhan, jika aku alpa sesaat tak mungkin mereka akan menjadi seseorang buat Islam.

Mereka adalah anugerah. Yang Engkau berikan buat penghibur taman hatiku yang sunyi. Mereka adalah hadiah. Yang Engkau kurniakan buat menghargaiku sebagai wanita bergelar ummi. Mereka adalah amanah terbesar dalam hidupku. Merekalah sasaran didikan dan bimbingan utamaku kini.

Ya Allah, janganlah aku menjadi penggadai masa depan anak-anakku sendiri. Ampunkanlah aku jika pernah terkhilaf. Wahai empat Muhammad, maafkan ummi jika sering tersilap.



Empat Muhammad

Wahai Allah – empat Muhammad
Telah hadir dalam hidupku
Menjadi penghibur lara hati
Penghapus sunyi, penguat rohani.

Di kala senyuman menguasai bibirku,
Mereka akan bergembira bersamaku.
Di kala airmata berderai di mataku,
Merekalah yang menghiburkanku.

Empat Muhammad telah menjadi kekasihku.
Semenjak 3, 4, 5 dan 7 tahun yang lalu.
Aku bersama mereka tanpa pernah berpisah lama.
Hatiku telah Engkau cantumkan dengan hati mereka.

Insya Allah nanti..
Di bahu empat Muhammad,
Akan terpikul amanah Deen ini.
Di bahu empat Muhammad,
Akan terbeban taklif ummah ini.

Dan..

Di bahu empat Muhammadlah,
Akan terpangku usungan keranda ummi ini.

Tuesday, June 23, 2009

Madrasah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang



Zaman pra sekolah teramat indah. Keceriaan dan kemeriahan ada di mana-mana. Hari-harinya berlalu dalam didikan yang tak pernah surut. Ilmu dan pengalaman menambah keterujaan diri.

Hari ini hari permulaan pra sekolah atau saya namakan saja pra madrasah Rejab. Walaupun hanya pra tetapi ia tetaplah sebuah madrasah yang penuh didikan, asuhan, bimbingan dan tarbiah Allah. Pra madrasah Rejab dan Sya’ban adalah proses persediaan dan pengenalan sebelum melangkah ke madrasah agung Ramadhan.

Alangkah indahnya hari pertama ini. Suasana dan cuaca yang nyaman seolah-olah merestui permukiman di Taman Ibadah selama tiga bulan atau lebih ini. Betapa kemeriahan langit terasa melimpah-limpah hingga ke bumi.

Rejab, Sya’ban, Ramadhan dan Syawal adalah bulan-bulan hadiah dari Allah buat para muttaqin. Bulan untuk berlumba-lumba memperbaiki diri. Bulan untuk bersaing membersihkan hati. Sehabis pra madrasah Rejab dan Sya’ban, kita akan memasuki madrasah Ramadhan. Kemudian memperolehi ijazah Syawal; ijazah untuk terus bekerja buat Islam tercinta di bulan-bulan lainnya .. dengan izin-Nya.

Tuesday, June 16, 2009

Alhamdulillah, Wa Jazakumullahu Khairan Jaza’

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang



Alhamdulillah, segala puji bagi-Mu Allah yang masih menghidupkan hamba-Mu ini sampai saat ini. Walaupun telah banyak dosa dan penderhakaan yang hamba lakukan, masih saja Engkau memberi hamba nikmat hidup; dan yang lebih utama nikmat iman dan Islam. Padahal jika Engkau mahu matikan hamba pun, Engkau boleh bila-bila masa saja.

Jika Engkau mahu hancurkan hamba pun, tak kira di mana tentu saja boleh. Tapi kasih sayang dan rahmat-Mu melebihi segala-galanya. Engkau masih memberi izin dan peluang buat hamba meneruskan hidup dan memperbaiki segala kelemahan. Engkau masih buka ruang untuk hamba mendekati-Mu. Wahai Tuhan, tiada yang selayaknya kupuji kupuja melainkan Engkau; satu-satunya.

Terima kasih – semoga Allah memberimu ganjaran yang sebaik-baiknya wahai bonda Nafisah. Ma, engkau adalah wanita yang paling baik, paling indah kedudukannya di dalam hati ini. Jika hati ini punya singgahsana, tentu saja engkaulah ratu yang menempatinya. Kerana engkaulah sosok peribadi luhur yang solehah, lemah lembut dan santun. Penyabarnya engkau bagai kaktus di tengah sahara, yang masih tegak berdiri walau panas mentari membahang dan pijar bumi memeritkan.

Hari ini adalah hari ulangtahun besar buatmu. Hari untukku mengenang kambali segala pengorbananmu. Bukan hari untukku merayakan diri. Betapa sukarnya, engkau mengandungkanku, di saat kakak masih kecil dan sering sakit-sakit pula. Siangnya engkau dengan basikal tua, terkejar berkayuh ke sana ke mari melawati rumah-rumah orang bersalin. Dan malam hari, jarang-jarang tidurmu lena, terbangun oleh tangisan kakak yang punya kuasa ‘super tangis’. Dan mujur, ayah seorang bapa yang prihatin, berganti-gantilah kalian mengorbankan waktu tidur kalian.

Terima kasih – semoga Allah sentiasa merahmatimu wahai ayahanda Arifin, pahlawan keluarga yang terbilang garang, gedebe tetapi pengasih pada anak-anak kecil. Jasamu juga tidak mungkin aku lupakan sepanjang hayatku. Engkau adalah ayah yang pengasih dalam seriusmu. Engkau adalah ayah yang mengerti walau dalam kekerasan hukumanmu. Engkaulah penjaga dan pengawal yang paling ampuh. Tanpa ketegasanmu, tentu aku bukan seperti aku hari ini.

______________

*28 tahun yang lalu, saya lahir, di saat azan Zohor berkumandang, hanya setelah sejam ma merasa sakit. Saya lahir dari seorang wanita yang lemah lembut dan seorang lelaki yang gedebe perkasa. Dari asuhan ma dan didikan ayahlah saya menjadi saya pada hari ini. Sesungguhnya hanya Allah yang mampu membalas segala jasa dan bakti yang kalian curahkan selama ini. Selamat hari ulangtahun kasih sayang buat ma dan ayah. Semoga kalian dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, dikekalkan jodoh, diberikan kesihatan yang baik dan ditambahkan amal dan ibadah kepada Tuhan yang Maha Menyayangi.

Jazakumullahu khairan jaza’.


Saturday, June 13, 2009

Salam Activate

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Alhamdulillah, syukur pada-Mu

Kurnia Allah yang tidak terduga, teknologi rahmat jalur lebar telah dapat menembusi benteng kukuh kediaman saya.



Teknologi pinjaman-Nya ini, suatu kemajuan bagi orang yang bukan wali dan sufi seperti saya. Banyak hijab yang tidak terbuka melainkan dengan alat bagi insan yang rendah darjatnya di sisi Allah seperti saya. Pun demikian, teknologi beralat ini tetaplah tanda kasih sayang Allah yang tidak terhingga.

Semoga Teknologi pinjaman-Nya ini memberi kekuatan untuk saya aktif berblog; tulis dan terus tulis.

Salam activate buat diri sendiri.

Bumi Waqafan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Hari ini tiada senda, dalam bicara

Kolej Islam Sultan Alam Shah adalah bumi terbaik yang pernah saya tempati seumur hidup saya ini. Saya tidak pernah berpeluang menjejakkan kaki ke Bumi Anbiya yang sering saya idam dan dambakan selama hayat saya. Allah belum memilih saya untuk merasai nikmat tarbiyah di bumi para Nabi. Tetapi tarbiyah dari bumi mutiara Tanah Malaya itu benar-benar membekas ke dalam jiwa saya sehingga kini.



Kira-kira dua belas tahun yang lalu, pada tarikh 15 Januari 1997, hari Rabu, di bulan Ramadhan yang indah, saya telah menjejakkan kaki di bumi waqafan yang serba dhaif dan sederhana itu. Dihantar oleh ma ayah dan adik beradik kecintaan saya; dengan linangan airmata saya tabahkan hati untuk tinggal menimba ilmu di bumi itu. Ia sebuah dunia baru bagi saya yang berasal dari sebuah sekolah harian biasa, yang cuma memperolehi A dalam Bahasa Arab Komunikasi PMR.

Ternyata dunia baru di KISAS adalah dunia yang paling cocok dengan jiwa saya. Pergaulan yang amat terjaga di mana-mana. Puteri-puterinya bagaikan bidadari yang menjaga aurat dan malunya. Putera-puteranya bagaikan wildan yang menjaga keamanan dan maruah. Alangkah bahagia jiwa saya di bumi itu. Setiap detik adalah tarbiyah dan hidayah dari Allah. Saya merasa sungguh kaya dan mewah dengan tarbiyah dan hidayah Allah. Dari saat bangun pagi, sehingga kembali memejamkan mata di malam hari, tarbiyah Allah ternampak di mata saya – berkilau-kilauan di seluruh bumi waqafan. Saya merasa hidup di dalam cahaya kasih sayang Allah yang tidak padam-padam.

Saya adalah pelajar aliran sains. Namun ilmu agama yang lebih banyak saya tuntut di bumi itu. Ilmu agamalah yang lebih mempunyai aura bagi saya berbanding ilmu jurusan sains. Hati saya lebih tertarik dan cinta untuk duduk dalam majlis usrah dan tazkirah dari membuat ulangkaji pelajaran. Cinta sesungguh-sungguh cinta saya kepada Al-Quran dan Hadith. Kasih sesungguh-sesungguhnya saya pada bidang ilmu itu. Lalu hiduplah sebuah unggun api yang bernyala maraknya, cita-cita saya untuk menjadi seorang hafizah, yang hafaz 30 juzu’ kalam Allah dan menyebarkannya di seluruh pelusuk bumi ini.

Dua tahun saya di bumi itu.

Dua tahun cuma kerana cita-cita saya untuk meneruskan permukiman dengan mengambil jurusan agama terhalang oleh sebab-sebab yang tidak bisa untuk saya sebagai seorang anak menolak. Bahkan sebenarnya, Allahlah yang telah menggerakkan saya keluar dari bumi tercinta itu, untuk mula bermujahadah di dunia luar. Sama ada saya mampu meneruskan perjuangan atau kehilangan segala tarbiyah yang Allah anugerahkan selama ini.



Dan kini, telah sebelas tahun saya menjejakkan kaki keluar dari KISAS. Ketika saat akan keluar, hati saya merasakan beban yang sungguh berat. Rasanya seolah-olah saya mahu hidup di sana sampai hujung nyawa saya. Ingin sahaja mendirikan rumah atau tinggal secara curi-curi di sana.

Oh Tuhan, mengapa aku tidak terpilih untuk terus tinggal di tempat sebaik itu? Kenapa aku tidak terpilih mengecap nikmat manisnya hidup dalam gerakan sufi tanzim haraki? Dan apakah kekuranganku sehingga tidak layak aku merentas benua ini, lalu menikmati tarbiyah dan melihat keagungan bumi Anbiya yang sering kucita-citakan? Yang cita-cita itu sampai kini tidak pernah padam, membara ia di dalam jiwaku malah setiap kali mendengar ada sesiapa menjejakkan kaki ke sana, bara itu akan menyala-nyala kembali. Hanya malap ia oleh basah airmataku.

Wahai Tuhanku, insaf dan redholah aku. Bumi ini seluruhnya adalah milik-Mu yang Maha Agung. Engkau tiada bertempat, bukan hanya di bumi Anbiya, bukan hanya di bumi waqafan. Bahkan Engkau bukan di mana-mana. Tarbiyah-Mu tidak mengira siapa dan di mana. Pilihlah aku Wahai Tuhan Yang Maha Agung, pilihlah aku untuk Kau tarbiyahkan setiap detik di dalam hidupku. Biar di bumi mana pun yang aku tempati. Amiin.

Friday, May 1, 2009

Ahlan Wa Sahlan..Salam Ukhuwwah

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Ahlan wa sahlan.. selamat datang. Buat sahabiah dan akhawat. Maaf kerana tuan rumah selalu tiada. Masuklah dan bacalah isi hati ini dengan hatimu yang tulus pula. Semoga kunjungan maya ini menjadi titik perkenalan muka. Semoga ukhuwwah tanpa mengenal rupa dan siapa ini akan menghubungkan hati-hati kita.



Salam ukhuwwah buat semua. Semoga Allah memberi peluang dan jalan buat kita bertaarruf. Merasa nikmat ukhuwwah dari dunia sampai akhirat.

Salam dari Suri Ummah buat semua.

Moga tinta-tinta kita melarik kalam dari hati yang dalam dan dalam.

Monday, February 23, 2009

Doa Buat Sahabat.

Bagai orang yang sedang mendaki gunung, ketika hampir sampai di kemuncaknya.. tiba-tiba sahaja terasa amat sukarnya. Langkah pertama dan panjatan demi panjatan, tak semena-mena sahaja berputar di kotak minda. Alangkah susah hendak sampai ke takah ini. Payah sungguh ujian sepanjang pendakian tadi. Tanah yang curam, selut dan duri, batu tajam, tunggul mati.. hampir-hampir jatuh dua tiga kali. Sesaknya terasa nafas, kencangnya denyutan jantung. Wahai, beginikah kesukaran untuk menawan sebuah gunung? Alangkah payahnya. Tak tertahan keletihan yang dirasai.



Tiba-tiba, semangat merudum. Badan belum jatuh tapi semangat sudah mencecah tanah kembali. Rasanya setakat ini sajalah. Tak mampu sudah hendak didaki lagi. Tak tercapailah impian untuk kali ini. Biarlah.. turun sajalah.

‘Hoi!’ Sergah satu suara.
‘Siapa pula kurang ajar meng’hoi-hoi’.’
‘Hoi!! Aku tak kurang ajar, aku ini hatimu sendiri. Kenapa kau mahu turun sedangkan sedikit saja lagi kau perlu berusaha’.
‘Payah benar terasa olehku. Susah. Sukar. Aku tak mampu lagi. Aku sudah hilang segala daya. Tenagaku pun sudah habis. Aku tak boleh..’

‘Sudah bertahun-tahun kau berlatih, kau habiskan masamu untuk mendaki gunung ini. Sudah banyak yang kau korbankan selama ini. Setahuku, jiwamu kuat, mentalmu tekad. Tapi mengapa di saat kau sepatutnya boleh menikmati hasil latihan, usaha dan pengorbananmu.. kau tiba-tiba saja mahu berundur? Bukankah lebih baik jika kau berbuat benda lain sejak dari dulu lagi? Yang tidak memerlukan latihan, usaha dan pengorbanan?

‘Entahlah.. apa yang akan aku dapat nanti kalaupun aku berjaya mencecah puncak ini?’

‘Kau akan mendapat sesuatu yang hanya boleh diketahui bila kau telah sampai nanti. Ia tak ternilai dengan apa saja kemewahan dunia. Hanya kau sahaja yang mampu menikmatinya. Kau teruskanlah.. sedikit saja lagi. Kalau kau turun, kau sama seperti orang-orang yang tidak pernah mendaki gunung. Bahkan yang lebih malang, jiwamu hancur, semangatmu akan mengalah sampai bila-bila pun. Kau turun kerana digagalkan oleh semangatmu sendiri – bukan kerana kecederaan atau kebodohanmu!’

Minda berputar ligat. Semangat membara kembali. Urat dan nadi mengalirkan darah sampai ke ubun-ubun. Dada dikembangkan. Nafas dihirup. Mata dipejamkan. Bismillahir Rahmanir Rahim!! Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang! Syaitan yang menghasut lari bertempiaran. Jiwa pun menjadi damai. Tekad bulat kembali lalu tangan menghayun, berpaut pada tebing puncak.

‘Allah, sedikit lagi, sedikit lagi. Sedikit lagi.’

Badan digagahkan. Dari mana datangnya tenaga? Masih banyak rupanya aura? Tanpa sedar.. badan telah pun berada di puncak idaman! Allahu akbar!! Allahu akbar!!

Saya masih ingat, di suatu pagi sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke SMTM, saya telah dipertemukan Allah dengan seorang sahabat yang bernama Nuriah. Orangnya kecil sahaja, berkulit hitam manis. Dia kelihatan sederhana tetapi apabila saya mula bercakap dengannya, barulah saya tahu, pemikiran dan jiwanya sungguh hebat. Butir percakapannya, penuh ilmu hasil didikan dari keluarga yang berpendidikan. Pandangannya jauh hasil pembacaan yang luas.

Dialah satu-satunya sahabat dari kelas saya yang kini masih meneruskan usaha menuntut ilmu sampai ke peringkat PhD. Di saat rakan-rakan yang lain telah punya kerjaya yang mantap, di saat orang lain telah menuai hasil dari lelahnya menanam; dia masih lagi mengharungi kesukaran untuk memperoleh segulung ijazah yang paling mahal nilainya.

Sesungguhnya, dia telah memilih suatu jalan yang penuh duri, tetapi saya yakin, hasil yang akan diperolehi, bukan sahaja bermanfaat untuk dirinya dan keluarganya.. bahkan lebih dari itu, saya yakin hasilnya akan memberi manfaat buat anak bangsa yang dahagakan ilmu sains yang diberi pendekatan ketuhanan.

Wahai sahabatku Nuriah, teruskanlah pendakianmu untuk menawan gunung ilmu. Kesukaran yang kau tanggung, adalah penguat hati dan tekadmu untuk membawa nafas baru ke dalam bidang kimia. Langkahmu, kuiringi doa agar ia tetap tegak melangkah; kalau jatuh terus bangkit kembali

Saturday, February 14, 2009

Surirumah adalah Suri Ummah

Waktu pagi adalah waktu perdana bagi seorang ibu seperti saya. Ketika itu, pelbagai tugas datang serentak. Bagai tidak cukup tangan saya rasakan. Memasak, menyediakan bekal suami dan anak-anak, mengejutkan mereka, membantu mempersiapkan mereka dan melayan pula karenah anak-anak kecil yang masih belum bersekolah. Setelah suami dan anak-anak yang telah bersekolah (seorang darjah 1 dan seorang lagi Pasti – 5 tahun) menaiki kereta, barulah saya dapat bernafas lega.














Tapi selesai saja saya menghembuskan nafas kelegaan itu, mata saya terpandang pula keadaan rumah yang kelam kabut. Tuala anak-anak dan suami tadi, walaupun mereka telah sangkut di ampaian tapi dalam keadaan seperti dilepok-lepok (main letak) sahaja. Katil dan tempat tidur hanyar banyar (berselerak). Pakaian tidur mereka terlepek di atas lantai. Saya pejam mata dan tarik nafas; saya kumpulkan kembali aura dan tenaga yang ada lalu saya betulkan tuala, kemaskan katil dan kutip pakaian hapak mereka.

Habis satu hal. Tapi baru saja saya hendak merasa sedikit nikmat lega, terpandang pula pakaian kotor di dalam bakul. Kalau saya miss basuh pakaian satu hari, esok pasti akan menjadi gunung kinabalu. Lalu saya membasuh pula – Alhamdulillah bukan pakai tangan tapi pakai mesin. Walaupun cuma manual, bagi saya ia sudah cukup-cukup automatik berbanding dengan basuh tangan. Alhamdulillah – terima kasih Allah!

Rehat? Belum lagi. Anak-anak kecil saya perlu dimandikan, disabun dan dibedakkan kemudian dipakaikan baju yang bersih. Barulah comel anak-anak seorang surirumah. Barulah layak dipanggil anak seorang surirumah profesional. Biarpun bajunya lusuh dan kusam, tetapi ia bersih dan wangi. Selesai menjangokkan (mencantikkan) mereka, tentulah agendanya menyuapkan mereka makan. Menyuap makanan kepada anak-anak adalah hobi saya. Kerana ia mempunyai manfaat yang besar dalam mengeratkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak-anak selepas mereka bercerai susu.

Nak berehat? Belum boleh – pinggan mangkuk gelas cawan sudah penuh dalam sinki. Kena basuh dulu. Selesai saja tugasan itu, macam diprogram-program; tangan menyambar penyapu yang tersangkut di dinding, tugas mengemas rumah dilaksanakan pula. Sapu habuk dan debu. Susun majalah dan buku. Ikat sampah, mop lantai. Waktu ini, peluh sudah memercik di seluruh badan saya sebasah lantai yang dimop.

Pakaian telah siap dibasuh. Alhamdulillah. Terima kasih mesin basuh. Lalu saya keluar rumah, menjemur kain di ampaian. Selesai jemur kain, intai-intai halaman. Daun-daun pohon mangga depan rumah banyak yang gugur. Perlahan-lahan saya menyapu pula laman rumah.

Matahari mula memancarkan cahaya paginya yang agak terik. Bayu bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kepanasan mentari pagi tidak terasa lantaran lembutnya bayu yang menyapa. Saya mengambil peluang ini untuk menghirup sedikit kedamaian dari indahnya ciptaan Tuhan. Kedamaian inilah yang menjadi tenaga mental untuk saya menghadapi tugasan rumahtangga yang tidak pernah surut dari cabaran; dari saat mencelikkan mata sehinggalah saya pejam kembali. Pejam untuk – mungkin celik lagi atau terus pejam untuk selamanya.

Maha Suci Allah yang menciptakan kedamaian di pagi hari. Dan betapa nikmatnya menjadi surirumah. Waktu inilah saya menarik dan menghembus nafas dengan selega-leganya!

Selesai bertenang-tenang di halaman rumah, saya masuk kembali. Lantai yang dimop hampir kering diangini kipas. Lalu saya mengambil peluang merebahkan badan sebentar di peraduan sebelum ke kamar mandi.

Anak-anak kecil yang telah mandi dan kenyang, bermain-main sesama sendiri. Menconteng kertas, berebut pensil warna, kemudian bermain sembunyi-sembunyi; kadang-kadang di balik katil, kadang-kadang di balik badan umminya. Kekek tawa dan esak tangis mereka adalah lagu kehidupan saya. Betapa meriahnya hayat saya dengan kehadiran mereka.

Setelah membersihkan badan, barulah saya memulakan sesi persekolahan. Untuk pengetahuan, saya adalah seorang guru. Pelajar-pelajarnya adalah anak-anak kecil saya itulah. Di waktu tengahari, bertambah dua orang lagi - anak-anak yang telah bersekolah. Setiap hari ada sahaja silibus baru yang saya ajarkan kepada mereka. Tidaklah terlalu akademik; tetapi sekadar kemampuan mereka. Saya lebih mengutamakan pendidikan adab dan akhlak. Setiap hari, sedikit demi sedikit; tentu menjadi bukit.

Anda ingat saya sudah boleh berehat? Tidak boleh lagi. Apabila jam telah melangkah ke angka sebelas, saya bersiap-siap pula untuk menjemput anak kedua saya di Pasti. Dua orang anak kecil saya ikut sekali. Tapi bukan menaiki motor; bukan juga kereta, cuma berjalan kaki.

Anak-anak kecil saya akan berpimpin tangan. Bergandingan bersama, sesekali berlumba sesama mereka, terlanggar batu, jatuh terguling, tertiarap dan menangis. Tapi sekejap sahaja. Hero mesti gagah! Jatuh sikit-sikit tak boleh menangis. Mendengarkan motivasi itu, tangis mereka reda. Automatically. Sebelum sampai di Pasti, saya singgah ke kedai, membeli keperluan dapur. Tapi anak-anak kecil saya tidak pernah meminta-minta dibelikan itu ini. Mereka tunjuk-tunjuk saja, bila saya geleng mereka pun angguk. Tanda faham.

Di depan Pasti, selalu ada orang menjual sate ikan. Jika kanak-kanak lain, mereka akan menarik baju ibu bapa mereka dan merengek-rengek minta dibelikan sate ikan. Biasanya ibu bapa akan kalah dengan raungan anak. Dapatlah penjual sate ikan sedikit rezeki. Tetapi anak-anak saya, hanya berlalu begitu saja di depan gerai bergerak itu. Mereka pandang sate ikan itu dengan pandangan ‘tak heran pun’. Alhamdulillah. Jika boleh saya tidak mahu anak-anak makan sesuatu dari sumber yang tidak pasti. Sate ikan dibuat dari ikan tapi sosnya dibubuh apa? Pewarnanya dari mana?

Pulang dari Pasti, saya melangkah ke dapur pula. Menyiang, membasuh ikan, mengopek dan menumbuk bawang lada sudah jadi tradisi. Air tangan saya sudah sebati mengalir dalam setiap kunyahan dan tegukan kami sekeluarga. Keseronokan berada di dapur sering membuat hati saya bernasyid riang. Biasanya, waktu inilah saya akan bernasyid sepenuh perasaan. Tak peduli key atau pitching cuma menghiburkan hati sendiri. Tapi komen suami saya, ‘boleh menang Akademi Nasyid!’

Setelah memasak itulah baru saya dapat berehat sebentar. Apabila anak sulung saya pulang, mereka akan makan bertalam beramai-ramai. Waktu itu, sungguh sejuk hati saya – melihatkan jemaah kecil yang ada di dalam rumah saya. Selesai makan, si abang sulung akan membantu saya membasuh pinggan dan menjadi mandur memberi arahan tugas untuk adik-adik yang lain. Pandai makan, pandai pula mereka kemas sendiri! Alhamdulillah.

Waktu petang, saya akan melihat-lihat pelajaran anak-anak saya hari itu. Membantu mereka menyiapkan kerja rumah dan mendengar celoteh mereka – ‘Pengalaman Saya Hari Ini’.

Kemudian, mengajar mengaji Al-Quran. Abang sulung sudah surah Al-Baqarah. Adik-adik masih Iqra’. ‘Sedikit demi sedikit, akan menjadi bukit!’. Setelah itu saya akan memberi penekanan dalam bidang-bidang yang mereka masih lemah. Macam si abang sulung, dia sedang mengikuti kursus ‘Read Easy’ dan belajar membaca Jawi dengan saya. Suasana rumah saya selalu riuh dengan jerit pekik anak-anak. Mereka suka melukis, mewarna dan mencipta sesuatu dari kertas. Jangan tak tahu, setiap hari beberapa kali saya akan menyapu dan mengemas rumah. Barang-barang di rumah saya, boleh dikategorikan, mempunyai kaki. Baru saja disimpan, tiba-tiba ada balik di tempat itu.

Ba’da Asar, jika punya kelapangan, saya akan membawa mereka bermain-main di kawasan kejiranan ini. Waktu itulah saya berpeluang berbual-bual dengan ibu-ibu lain. Bercerita tentang anak-anak dan rumahtangga.

Malamnya, selesai memandikan anak-anak dan menidurkan mereka; barulah saya mengambil kesempatan mengurut-urut kaki suami saya. Saya picit-picit sambil mulut saya tak berhenti bercerita. Untungnya suami saya adalah pendengar yang setia.

Tugas terakhir saya adalah menggosok pakaian suami dan anak-anak. Ketika itu, lima wira saya telah tidur. Selesai menggosok baju, saya akan memerhatikan mereka seorang demi seorang, mendoakan dan mencium mereka. Hati saya merasa sungguh puas dapat menabur jasa dan bakti saya buat lima wira Islam ini (Insya-Allah!). Nyenyak dan dengkur mereka adalah upah kepenatan saya sehari suntuk.

“Rumah adalah tapak ummah. Surirumah adalah suri ummah!”

Wednesday, January 21, 2009

Cerpen I - IBUK

Minah tekun memerhatikan monitor. Tangannya memegang tetikus sambil menggerak-gerakkannya. Dia membuat lukisan kerja dengan berhati-hati. Dia memang cermat. Kerjanya teliti dan sering mendapat perhatian bos. Malah sudah beberapa kali dia dinaikkan pangkat dan gaji. Baru-baru ini, dapat pula anugerah pekerja cemerlang. Bos memang memberi harapan yang tinggi untuknya. Dia sedar hakikat itu. Sebab itu dia melipatgandakan usaha agar tidak mensia-siakan harapan yang diberikan oleh syarikat kepadanya.

Sudah 10 tahun dia bersama syarikat ini. Dari bertatih-tatih dengan program autocad, sehinggalah kini dia antara pekerja termahir di dalam bidang ini. Ada juga rasa bangga menyelinap di hatinya. Maklumlah, kehebatannya membuktikan wanita juga mampu bersaing dengan lelaki.

Gajinya kini sudah mencecah RM 4000 sebulan. Suaminya juga bergaji besar. Dengan seorang anak tunggal, kehidupannya tak pernah terhimpit. Apa sahaja yang terlintas di fikirannya, akan diperolehi dengan mudah. Pakaian pelbagai fesyen penuh dua almari. Tudung, tak payah cakaplah.. tak terkira dek jari. Barang kemas pelbagai bentuk dan berkilauan. Apartmentnya besar; 4 bilik dengan hiasan dalaman yang sempurna. Kereta, dua buah. Satu untuknya, satu lagi untuk suaminya. Maklumlah pejabat masing-masing berlainan arah. Kenalah ada sebuah seorang. Baginya, kehidupannya sudah cukup sempurna.

Tiba-tiba Minah teringatkan sepupunya, Milah. Wajah mulus dan naïf sepupunya itu terbayang-bayang di ingatan. Dia menggeleng-geleng dan menarik nafas panjang apabila teringatkan sepupunya yang seorang ini. Sayang betul. Rugi; rugi serugi-ruginya. Atau lebih tepat lagi, bodoh! Itulah istilah paling sesuai untuk graduan universiti yang mahu menjadi surirumah tangga. Dengan kelulusannya, Milah tentu saja boleh memohon jawatan dalam sektor awam. Kalau tak mahu kerja kerajaan, Milah boleh kerja swasta. Gaji pun lebih mahal. Kalau tidakpun, dia boleh jadi cikgu dengan mengikuti KPLI.

Memang Milah bodoh.

Dia langsung tidak memikirkan masa depannya. Jaminan hidupnya langsung tak ada. Dia terlalu berharap pada suaminya. Ah, orang lelaki.. waktu tengah sayang bolehlah jadi tempat bergantung. Kalau kasihnya berubah, apakah nasib Milah nanti? Memang Minah akui, suami Milah, Seman baik orangnya, berpegang teguh pada agama. Sembahyang di masjid dah jadi rutinnya. Kerjanya juga bagus; pegawai di sebuah pusat pengajian tinggi awam. Memang dia mampu menanggung Milah dan anak-anaknya. Dan Minah yakin, lelaki warak begitu memang tak akan benarkan isterinya bekerja.



Selalunya macam itulah.

Arahan mereka wajib dipatuhi, isteri tak boleh melawan atau memberi hujah. Isteri mesti ikut cakap suami. Membantah ertinya nusyuz. Dan sudah tentu apabila mereka mensyaratkan isteri tidak boleh bekerja, si isteri kena patuh. Rela atau terpaksa. Malang betul nasib Milah. Sia-sia berpelajaran tinggi, layak jadi bos orang tapi cuma menjadi hamba di dalam rumah sendiri.

Lebih malang lagi, Milah asyik beranak tiap-tiap tahun. Hujung tahun ini, bakal dapat anak lagi; bayi keempat mereka. Milah langsung tak pandai merancang. Yalah, agaknya dia tak dibenarkan merancang. Maklumlah, suaminya warak. Milah pula lurus bendul, asyik diperbodohkan orang sajalah. Kalau dia cerdik sikit, tentu dia boleh berbincang dengan suaminya untuk menjarakkan kelahiran anak-anaknya. Bukan apa, berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Sebagai perempuan yang pernah melalui saat-saat mengandung dan peritnya sakit bersalin, Minah merasa sungguh simpati pada penderitaan Milah. Dan bukan setakat itu sahaja; Milah kena susukan anak yang lahir dengan susu badan; juga membesar dan mengasuh anak-anak yang lain. Malang sungguh nasib Milah. Usia masih muda, baru 26 tahun. Kalau terjadi apa-apa pada Seman; sakit atau mati.. apa akan jadi pada Milah dan anak-anaknya yang masih kecil itu? Benda-benda macam ini tak siapa yang tahu. Kata orang, malang tak berbau.

Minah pun dah beberapa kali nasihatkan Milah. Jawapan Milah kadang-kadang menyakitkan hati dia juga; “Saya nak laksanakan tanggungjawab saya sebagai ibu, kak.” Minah merasa tersinggung dengan jawapan Milah itu. Seolah-olah Milah menyindirnya kerana tidak dapat membesarkan sendiri anaknya. Padahal dia merasakan dialah ibu yang paling sempurna untuk anaknya. Apa saja keinginan si anak dapat ditunaikan. Pakaian yang cantik dan berjenama, anak-anak patung perbagai rupa dan makanan yang lazat belaka. Anaknya membesar dalam limpahan kemewahan. Bukankah itu yang terbaik untuk seorang anak?

Jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Minah menggeliat sedikit lalu memadamkan suis komputer. Dia sudah penat. Kerjanya sudah selesai dan dia mahu pulang. Waktu malam adalah waktu untuknya beristirehat. Apa agaknya Auni, anak perempuannya sedang buat? Sudah tidurkah atau masih menunggu kepulangannya? Bibik tentu telah memandikan Auni dan menyuapnya makan. Waktu malam beginilah, dia dapat bermesra dengan Auni. Itu pun kalau gadis kecil itu belum tidur lagi. Auni sekarang berusia 4 tahun. Baru bersekolah. Sejak bersekolah, keletahnya menjadi-jadi. Pandai berjenaka dan suka bercerita. Tapi satu saja yang Minah tak suka, Auni bercakap slang Indonesia. Terpengaruh dengan bibik. Maklumlah, sejak kecil dia dijaga bibik. Minah pun tak tahu apa nak buat. Dia sibuk dengan kerjayanya. Begitu juga suaminya. Moga-moga bila dah besar, Auni akan pandai sendiri berbahasa Melayu slang Malaysia. Dia yakin, anaknya yang bijak itu akan mudah belajar dari persekitaran. Dan dia juga yakin, anaknya bakal mempunyai masa depan yang cerah. Dia akan pastikan anaknya menjadi wanita berjaya sepertinya, malah lebih berjaya lagi. Pelajaran anaknya biarlah sampai ke peringkat tertinggi, dan kahwin pula dengan suami berpangkat besar. Sebab itulah dia telah mula menabung untuk pengajian anaknya semenjak bayi lagi.

Jalanraya tidak sesak. Minah memandu tenang. Dia tak sabar-sabar hendak pulang ke rumah. Di matanya hanya terbayang wajah Auni yang comel. Kalau diikutkan rasa hati, mahu saja dia berhenti kerja. Menjadi surirumah, membesarkan Auni dan menjaga rumahtangga. Ah, fikiran itu dilemparkan jauh-jauh. Jangan emosional sangat, jangan jadi bodoh ... kalau tak kerja, siapa nak belikan pakaian cantik-cantik? Siapa nak tanggung belanja salon dan spa? Dari mana dia boleh dapat wang untuk simpanannya, sebagai jaminan kalau terjadi apa-apa dalam rumahtangganya? Dia tak mahu fikir lagi tentang berhenti kerja. Dan dia takkan benarkan fikiran semacam itu terlintas lagi dalam hatinya.

Bila Minah sampai, Auni sedang menunggunya. Dia mencium Auni.
“Ibuk, mau coklat!” rengek Auni.
“Apa ibuk-ibuk ni, mamalah.”
“Habis, bibik panggil ibuk?”
“Jangan ikut bibik. Auni kena panggil mama.”
“Kok gitu. Mana coklatnya mama?”
“Mama tak sempat beli sayang!”
“Loh, mama setan, mama bodoh! Ngapain nngak beli?,” terlopong Minah mendengar kata-kata anaknya. Dia terduduk…

Arkitek Insan

Seorang wanita telah Allah ciptakan untuk menjadi arkitek insan. Tugasnya bukan hanya mengandung dan melahirkan, tetapi hendaklah dilengkapkan dengan tugas mengasuh anak yang telah memasuki alam dunia ini. Itulah hikmahnya Allah mengurniakan susu kepada seorang ibu; untuk menyusukan anak yang baru lahir. Kerana proses penyusuan ibu itulah asuhan pertama dan utama.

Anak yang baru lahir akan menangis. Tetapi tangisan itu akan berhenti apabila diberikan susu ibunya. Susu ibu, bukan sekadar makanan jasad yang mengenyangkan dan menambah berat badan si anak, bahkan ia juga merupakan makanan jiwa yang memberi rasa selamat dan rasa dikasihi, dengan pelukan erat yang menghangatkan badannya; dengan belaian kasih yang mendinginkan jiwanya. Malah proses penyusuan juga membawa ibu-ibu baru mengenali dunia keibuan. Dia akan mula mengerti perasaan ingin menenangkan anak, memberi rasa selamat dan melindungi. Dalam proses penyusuan, si anak akan mengenali ibunya dan si ibu juga akan mengenali perwatakan anaknya. Inilah yang akan memudahkan proses pendidikan anak yang seterusnya. Sebab itulah saya menyebut surirumah atau lebih tepat lagi, ibu sepenuh masa adalah seorang arkitek insan.



Hanya seorang ibu yang mampu membangunkan kemanusiaan. Dari didikan dan asuhannya, dia merancang pembinaan kemanusiaan di dalam diri anaknya. Peranan susu ibu sendiri, yang diberikan secara segar ke mulut anaknya bersama pelukan dan dakapan mesra darinya adalah ciri-ciri kemanusiaan. Bukan botol susu yang menggantikan tempat ibu. Bukan juga susu lembu atau kacang soya yang menggantikan khasiat susu ibu. Semua itu tidak dapat menandingi kehadiran ibu bersama susunya. Itulah rahmat dari Allah buat sekalian ibu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...