Thursday, February 3, 2011

Lasykar Ombak

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hampir setiap hari, kami berlima akan bercinta dengan alam. Petang, sampai hampir Maghrib kami akan meneroka dan mengamati Keagungan Pencipta yang menjadikan alam ini sains yang penuh kesenian. Anak-anak, tidak pernah jemu bila sahaja saya mengungkapkan, ‘ Jom, Bukit Keluang..’ . Walaupun setiap hari, walaupun tiga kali sehari. Bukit Keluang, sepertimana yang diungkapkan oleh Big Boss MARA dalam ucapannya, adalah antara pantai tercantik di dunia. Alangkah bangganya saya menjadi salah seorang penghuni pinggiran pantai ini.



Selalunya, jam enam kami akan duduk-duduk di tepi pantai. Anak-anak seperti biasa, akan bermain pasir, membina istana pasir atau melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kadang-kadang bergaduh merebutkan pasir (yang sangat banyak itu :). Mereka juga gemar melontar batu, cengkerang atau kayu ke arah ombak yang mendebur pantai.

4 Muhammad selalunya mempunyai idea-idea canggih permainan yang menyeronokkan. Tanpa kereta remote, tanpa Lego dan segala permainan terkini, mereka dapat mencipta keriangan tanpa had dengan menggunakan pasir-pasir pantai, ranting-ranting kayu, kulit-kulit siput dan buah-buah rhu (yang mereka panggil baby durian :)



Saya, seperti semenjak kecil, biasanya terleka dengan hobi sendiri. Merenung langit biru yang menjadi kanvas kesenian Allah. Indah. Tenang. Apabila melihat awan bergerak ditiup bayu, hati saya disentuh suatu rasa ajaib yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sering mengajak 4 Muhammad merenungi langit biru dan menyuruh mereka melukiskan bentuk awan yang dilihat di atas pepasir pantai.


Cinta bersembunyi di sebalik hati..

Dan aktiviti kegemaran kami berlima adalah menjadi lasykar dalam peperangan dengan ombak. Kami akan menunggu ombak di gigi air sedekat mungkin. Apabila ombak datang menyerang, kami akan segera melarikan diri. Siapa yang terkena air, maka dia diisytiharkan kalah. Inilah saatnya saya benar-benar tertawa tanpa mengingati apa pun kedukaan.

Kamilah lasykar (tentera) ombak. Kami sedingin air tetapi kami mahu menjadi tsunami yang bakal mengubah dunia. Insya Allah!!

Thursday, January 6, 2011

Tahun-tahun Perjuangan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

3 Januari 2011

Hari ini, Fateh sudah darjah tiga, Auzaie mula masuk darjah satu, manakala Hadi dan Syazili, pra sekolah. Hari ini, paginya saya sambut penuh semangat. Terasa semboyan ilmu menggerakkan semangat kami berlima.

‘Anak-anakku, tidak akan ketinggalan lagi di bidang ilmu. Akan Ummi bela nasibmu yang telah terbengkalai lantaran demikian kerasnya Ummi berusaha mencarikan nafkah selama setahun yang penuh tragedi. Hari ini, Allah telah menggantikan sumber rezeki itu dengan yang lebih baik, maka wahai anak-anakku.. kalian berhak mendapat pencerahan dari nikmat ilmu yang mencurah-curah. Ini, di sini.. pada Ummi kalian.. Allah telah mengizinkan persinggahan ilmu (walaupun hanyalah secebis).. maka sepatutnya kalianlah yang terlebih dahulu mendapat bahagiannya.’

Fateh adalah yang paling awal bangun - seperti selalunya. Ketika saya telah bersiap-siap untuk ‘berperang di dapur’ pada lebih kurang jam 5, dia telahpun mencelikkan mata. Walaupun tahun 2010 mencalarkan sedikit rekod akademiknya, semangatnya untuk bersekolah tidak pernah luntur. Walaupun sering sahaja menjadi mangsa buli di sekolah, dia tidak pernah serik untuk hadir dan terus hadir. Saya nampak – di dalam jiwanya ada rasa cinta kepada ilmu dan cabaran tetapi pengalaman tahun 2010 telah sedikit sebanyak merencatkan kebangkitannya. Terhalang bersekolah selama 2 bulan lantaran disekat surat pertukaran sekolah (oleh entah siapa…) dan memasuki wad akibat pembedahan apendiks membuatkannya sedikit terganggu. Pun begitu, dia masih tetap melangkah di lorong ilmu, dengan teguh.

Teguhnya, meneguhkan saya.

Jam 7, kami pun bertolak dari rumah. Setelah menghantar Fateh ke kelasnya, saya menghantar pula Auzaie. Seperti Fateh 2 tahun yang lalu, Auzaie juga tidak menangis. Dengan selamba, selepas mencium tangan saya, dia duduk di kerusi lalu mengeluarkan alat tulisnya. Melihatkan ketenangannya itu, saya penuh percaya meninggalkannya di sekolah. Saya yakin, Auzaie tidak akan menangis kerana dia sangat tegas dan berani. Di kalangan 4 Muhammad, dialah yang paling berani walaupun bertubuh kecil sahaja. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli, bahkan dia tidak akan ragu-ragu membalas orang yang berbuat jahat kepadanya. Dan dia sekali-kali tidak akan membiarkan sesiapapun di kalangan adik-beradiknya dibuli orang.

Setelah demikian meyakini Auzaie, saya menghantar pula Hadi dan Syazili ke sekolah mereka. Alhamdulillah – mereka juga riang gembira berada di sekolah. Sampai sahaja terus berkawan-kawan. Hadi dengan lagak kelakarnya sering membuatkan guru-guru sayang. Dan Ali yang petah itu, mudah mendapat kawan.

Saya merasa sangat senang hati. Saya menerima 4 Muhammad sebagai pemberian Allah untuk menghiburkan hati. Mereka adalah hadiah. Mereka adalah anugerah. Mereka sungguh berharga dan bernilai di mata dan di hati saya. Semenjak lahir, seorang demi seorang, tahun demi tahun, merekalah yang menghiburkan dan membahagiakan saya. Karenah mereka tidak menyakitkan hati, mendengar kata dan sentiasa mengasihani saya. Segala puji bagi Allah.

Masih banyak masa yang ada – jika saya dipanjangkan umur – untuk mendidik mereka. Asas-asas ilmu wajib diperturunkan agar mereka lancar menyerap tingkatan ilmu yang lebih tinggi. Mengaji, membaca, mengira dan menulis adalah asas-asas utama yang mesti saya laksanakan untuk mempersiapkan mereka dengan cabaran ilmu yang kian sukar.

Mereka akan hidup di alaf yang tidak terjangkau aliran teknologinya. Mereka akan melalui perubahan zaman dan gajet yang mencabar. Tugas sayalah sebagai ibu untuk memantapkan mereka sebagai genius yang bertaqwa kepada Allah.

Saya mahu menjadi ibu yang berjuang, memerah seluruh keringat dan airmata, mengerah segala tenaga dan daya demi memberi kehidupan buat anak-anak. Saya mahu menjadi wanita yang kuat, tekad, gagah lagi berani walaupun hati saya telah dicincang selumat-lumatnya.

Inilah tahun-tahun untuk saya memperjuangkan 4 Muhammad di peta ilmu. Inilah tahun-tahun untuk saya menebalkan hati demi hari esok untuk Islam, kerana 4 Muhammad ini adalah amanah Allah untuk saya - agar mendidik mereka menjadi Pembantu Agama-Nya yang tegar. Insya Allah...

Wednesday, December 29, 2010

Caskanlah Tenaga Ruhanimu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dunia tanpa sempadan. Besi-besi berterbangan di udara, juga bertebaran di samudera. Manusia bergerak sambil duduk-duduk sahaja. Era perhubungan telah maju. Gelombang menggerakkan aksara melalui patah-patah sms, mms, e-mel, faksimili.

Dunia berada di hujung jari.

Megah dunia ini dengan kecanggihan teknologi – semakin hari semakin berkembang; pesat.. tidak dapat dihalang lagi. Pun demikian, di celah-celah kerajaan teknologi masih hidup hati-hati yang menyintai Allah.

Kerajaan teknologi terus mara. Menakluk dan menguasai segala. Berkembang dan meluas jajahannya. Inilah pembangunan, inilah kemajuan. Namun ia rupanya membawa bersama anasir api yang sedikit demi sedikit membakar dan menghanguskan kemanusiaan, ketaqwaan..

Mampukah hati-hati yang menyintai Allah terus hidup di dalam kepanasan api yang kian marak membakar? Perlukah mereka lari menghindari atau berani menghadapi?

Jangan lari. Beranilah, hadapilah..bantulah kebangkitan kerajaan teknologi tetapi padamkanlah anasir apinya dengan siraman ketaqwaanmu. Namun kuatkah engkau untuk melawan api?

Wahai hati-hati yang mengaku cinta kepada Allah.. caskanlah tenaga ruhanimu agar ia teguh bertahan menerima asakan duniawi. Caskanlah ia 5 waktu sehari semalam, tambahkan casnya di celah-celah yang 5 itu – di malam hari sebelum engkau pejamkan matamu dan di dingin dinihari setelah engkau mencelikkan matamu.

SUJUDLAH KEPADA YANG ENGKAU SERING MENGAKU CINTA..

Kerana di saat engkau sujud itu; bukan lagi ibu ayah, suami, isteri, saudara-mara, rakan taulan atau anak-anak yang paling hampir denganmu akan tetapi Allahlah yang paling hampir – melebihi urat lehermu sendiri. Dialah ALLAH – Wajah yang engkau idam-idamkan dalam tidur dan jaga. Dialah ALLAH - Wajah yang engkau rindu-rindukan tika hayat dan mayat.

Dunia tanpa sempadan. Besi-besi berterbangan di udara, juga bertebaran di samudera. Manusia bergerak sambil duduk-duduk sahaja. Era perhubungan telah maju. Gelombang menggerakkan aksara melalui patah-patah sms, mms, e-mel, faksimili….

Dan engkau telah mencapai nikmat perhubungan termaju di antara makhluk dan Khaliqnya – melalui sujud-sujud qudusmu!

Monday, December 27, 2010

Cerkas - 4 Muhammad

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ummi sedang menangis di dalam bilik. Empat Muhammad mengintai-intai di balik langsir. Mereka tidak pernah melihat Ummi menangis sedemikian rupa. Keceriaan di hati keempat-empatnya juga turut luntur melihatkan tangis esak Ummi yang sangat ganjil itu.

Muhammad pertama cuba menenangkan Ummi. Dihampiri Ummi lalu memeluk tubuh Ummi seeratnya.

‘Bakpo, Mi?’ Ummi membisu tidak menjawab. Esaknya malah bertambah-tambah pula. Yang lain mengerumuni Ummi. Muhammad kedua mengusap kepala Ummi. Kepala yang memikul beban berfikir yang sangat banyak.

Muhammad ketiga memicit-micit dahi Ummi. Manakala Muhammad keempat selaku putera bongsu memainkan peranannya bermanja-manja, diciumnya pipi Ummi. ‘Ali sayang Ummi’.

Belaian dan perhatian anak-anak, lebih-lebih lagi ayat terakhir si kecil, meruntun hati Ummi lebih kuat. Dada Ummi bagai disiat-siat, airmata mengalir tambah lebat. Esakannya mendahsyat.

Ummi peluk empat Muhammad erat-erat. Ummi menangis sepenuh hati. Empat Muhammad turut menangis. Menangislah lima beranak itu. Empat Muhammad menangis tanpa pengertian. Ummi menangis penuh penderitaan.

Di atas semua itu, ada renungan Allah yang penuh kasih sayang, ada pandangan Allah yang penuh belas kasihan..

__________________________________________________


Inilah cerita ringkas (cerkas) mengenai 4 Muhammad saya yang sentiasa cuba mengerti, sering cuba menjadi lelaki sejati. Muhammad pertama, Muhammad Al-Fateh namanya. Putera sulung yang telah diajar kesukaran hidup semenjak dalam rahim saya lagi. Abang yang bertanggungjawab - sering mahu memudahkan Umminya semenjak kecil.

Muhammad kedua pula bernama Muhammad Al-Auzaie. Putera yang tegas lagi berani di sebalik tubuh kecilnya. Anak yang sentiasa menyenangkan hati Ummi dengan perlakuan baik dan santun.

Muhammad ketiga diberi nama Muhammad Al-Hadi. Berwatak penghibur yang sangat pandai berlucu. Seringkali menghiburkan tatkala saya kegelisahan. Ayat-ayat yang digunakan biasanya mengejutkan.

Dan akhirnya, Muhammad Asy-Syazili selaku putera bongsu, adalah si manja yang petah bertanya dan selalu menjawab sendiri. Yang paling kecil tetapi paling berkuasa pula di kalangan abang-abangnya....

Jika diizinkan Allah, saya akan menyambung lagi. Kisah 4 Muhammad yang terpuji di hati walau pun selalu pula berperang-perang dengan saya. Ummi untuk 4 orang askar mestilah seorang Mejar, kan? :)

Monday, December 13, 2010

Yang Tercorot

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dari zaman Nabi Adam a.s hingga kini. Jutaan manusia telah hidup, telah mati. Infiniti makhluk-Nya telah bernafas, telah berkubur. Dan hanya Allah Yang Maha Mengetahui, berapa ramaikah kekasih-Nya. Bermula dengan Sayyidul Anbiya', Muhammad saw di ranking pertama, maka berjujut aturlah para kekasih Allah - yang memiliki kedudukan termulia di sisi Allah, yang akan menerima anugerah kehormat memandang Wajah-Nya. Hari akhirat akan menjadi grand ceremony bagi semua kekasih-Nya; melebihi konvokesyen, melebihi apa jua anugerah di dunia.

Saya sentiasa mengingini yang satu ini, meresap dalam dada, sebati dengan hati. Ingin, mahu, hendak memandang Wajah Agung-Nya, rahsia bagi seluruh makhluk dan alam. Kemudian sujud khusyuk beribu tahun lamanya lantaran telah mendapat nikmat bahagia teragung (memandang Wajah-Nya). Tetapi saya sentiasa sedar diri saya siapa..saya tidak layak untuk itu, saya tidak layak untuk beratur di dalam saff itu. Pun demikian, saya tidak mahu mengalah.

Saya ingin menjadi kekasih-Nya.

Kekasih yang setia kepada-Nya. Yang sentiasa berusaha membuat-Nya redho. Yang merindui-Nya siang dan malam. Bukan hanya ketika sedih dan kesusahan. Sampai mati menjemput, saya mahu terus cinta kepada-Nya, sampai ke alam barzakh, sampai ke Hari Pengadilan..saya mahu cinta dan terus cinta; tidak berhenti lagi.

Konon-konon mahu menjadi kekasih Allah tetapi saya adalah yang tercorot berbanding yang lain. Amal sangat sedikit, ibadah masih caca-marba, dosa; menggunung tinggi, jiwa dan hati - belum mantap mengingati Allah. Ilmu - saya tidak faqeh. Saya tidak terpilih untuk ke Mesir, saya bukan keluaran aliran agama, saya bukan ustazah, saya jua tidaklah hafiz 30-juzu' Al-Quran. Pun begitu saya tetap mahu menjadi kekasih Allah.

Saya mahu dan tetap mahu.

Berbanding yang lain, yang sempurna purdah dan jubahnya, yang tinggi ilmunya, yang teguh perjuangannya, yang hebat zikir dan ibadahnya..saya adalah yang tercorot. Saya berada di sudut yang tak terpandang, tak kelihatan oleh golongan kekasih-Nya. Seringkali airmata ini menitis mengenangkan kekurangan diri berbanding makhluk-Nya yang lain dalam merebut cinta-Nya.

Pepohon dan rumput, langit dan awan gemawan, mentari dan bulan, ombak dan pantai, batu dan pasir, helang dan pepatung; dan ikan di lautan dan burung-burung di angkasa..dan semuanya sekali..semuanya sentiasa bertasbih mensucikan Allah. Semuanya menyintai Allah.

Saya terlalu jauh dari Allah berbanding mereka semua..sayalah yang tercorot.

Akan tetapi Allah Yang Maha Pengasih Maha Penyayang, tidak akan mensia-siakan cinta hamba-Nya walaupun si pencinta itu adalah yang tercorot. Dan di sudut mana pun saya berada, Dia Yang Maha Melihat, sentiasa merenung saya penuh cinta dan rahsia.. saya yakini itu. Atas saya pulalah bagaimana untuk terus berjuang meraih perhatian-Nya..

Friday, December 10, 2010

Sisa-sisa Hidup

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tidak lama lagi, usia saya akan mencecah takah baru - 30 tahun. Ia akan meningkat dan terus meningkat, tidak akan turun-turun lagi. Bukan bertambah muda, mustahil pula bertambah jelita. Anak-anak akan membesar, menjadi remaja, menjadi belia dan suatu hari nanti saya perlu bersedia menyambut kedatangan insan-insan baru ke dalam hidup kami sekeluarga; menantu-menantu tercinta. Saya juga akan menjadi nenek yang melayani karenah cucu-cucunya.
Insya Allah.

Di takah usia sebegini; tanpa cinta berani bertandang, tanpa teman penghapus duka dan kesunyian, saya memutuskan untuk menghabiskan saki-baki usia dengan penuh semangat. Saya tidak akan rebah lantaran ditolak dan disingkirkan orang. Saya tidak akan mati hanya disebabkan tiada yang sudi mendampingi. Saya tidak selemah itu. Setiap hari semangat dan jiwa saya bangkit demi hidup kerana Allah, demi amanah-Nya 4 Muhammad dan demi membantu ummah kembali ke pangkuan-Nya. Saya tidak akan memusnahkan hidup saya, juga tidak mahu mensia-siakan pinjaman umur kerana seorang lelaki. Saya tidak akan menoleh dan berpaling lagi.

Sekali-kali tidak.

Saya tidak mahu menunggu sesiapa pun lagi.

Saya tidak mahu menangis lagi.

Telah berulang kali hati saya dilukai, dicarik-carik, ditoreh bahkan ditusuk sembilu yang tajam tetapi ia masih sahaja berdenyut kuat. Degup jantung saya masih gagah. Darah saya masih merah dan hangat. Jiwa saya masih hidup dan ia mahu hidup seribu tahun lagi bersama ummah ini.

Saya pasti mati suatu hari nanti. Saya tidak mahu membuang peluang untuk berbakti yang Allah berikan. Biarpun saya tidak dapat lagi berbakti kepada seorang suami, saya tidak akan berputus asa dalam mengejar redho-Nya. Masih ada bakti buat 4 Muhammad yang wajib saya tangani, masih ada panggilan ummah yang menunggu saya setiap hari.

Pun demikian, saya sedar ada taqdir-Nya pada masa depan yang masih sahaja rahsia. Doakanlah kebahagiaan buat saya, biarpun tanpa seorang suami. Kerana saya yakin, setiap makhluk itu dicipta berpasang-pasangan. Jika tidak di dunia, di akhirat tentunya bertemu - dengan seindah-indah pertemuan di hadapan-Nya.

*Semoga sisa-sisa hidup dan saki-baki usia yang dianugerahkan-Nya dapat saya jalani penuh keberkatan. Amiiin..

Saturday, December 4, 2010

Masih Ada Allah..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Walaupun seluruh dunia ini menolak, membuang dan meminggirkan, masih ada Allah yang menerima, mengutip dan mendekati saya. Masih ada Allah untuk saya cintai, kasihi, sayangi dan rindui buat selamanya.

Dialah yang melegakan hati - saat saya gundah. Dialah yang menyembuhkan jiwa - saat saya terluka.

Dia masih dan tetap akan ada lama-selamanya..

Wahai Allah, uhibbuKa abadan abadaa..

Wednesday, November 17, 2010

Tempaan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang
Saya dapat membayangkan, jika saya menjadi besi..alangkah sakitnya melalui proses tempaan. Dibakar sampai merah menyala; lalu menjadi lembut dan lunak, kemudian diketuk sekuatnya hingga terhasillah bentuk idaman. Alangkah gerun jika saya menjadi besi, kemudian dipilih untuk ditempa menjadi hasil seni yang bermutu tinggi. Jika saya menjadi besi, ikutkan rasa gerun itu, agaknya saya pun tidak mahu ditempa; dibakar dan diketuk hingga sakit. Ya Allah alangkah sakitnya…

Tapi jika saya menjadi besi, saya mungkin juga sanggup melalui proses tempaan kerana hanya besi-besi terpilih sahaja yang akan ditempa - besi yang kuat ikatan atomnya, besi yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak. Setelah ditempa; dibakar-bakar dan diketuk-ketuk, saya akan menjadi besi yang indah, yang mahal harganya, menjadi kesayangan tuannya, menjadi rebutan orang..mungkin waktu itu saya adalah keris, mungkin pedang, mungkin besi tempawan untuk binaan hiasan.

Wahai Allah Tuhanku, jika hamba ini bagaikan besi yang kuat ikatan atomnya, yang berkualiti tinggi lagi tahan lasak pada pandangan-Mu, maka redholah hamba jika Engkau mahu menempa hamba. Biarpun perit bagai dibakar-bakar sampai merah menyala dengan ujian hidup yang menduga, biarpun sakit bagai diketuk-ketuk sekuatnya dengan mehnah iman dan taqwa yang tersedia; hamba redho jika itulah caranya untuk hamba menjadi bagai besi tempawan yang indah di sisi-Mu.
Amiiin Ya Ilaahii Rabbii…

Tuesday, November 16, 2010

Antara Dua Darjat

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hamba mulakan kalam ini dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Hamba ingin melarikkan kata-kata dari dalam hati hamba yang telah lama mendesak-desak ingin keluar. Jika ia terus tersembunyi di situ, maka sakitlah hamba menanggung perasaan yang sungguh berat ini. Tak tertanggungkan oleh hamba yang lemah ini.

Tuan hamba nak tahu? Hamba kini berada di suatu daerah terindah di dalam hidup. Ia adalah suatu fasa yang diidam-idamkan oleh seluruh makhluk. Setiap inci alam seperti berkongsi keindahan itu dengan hamba. Udara bertiup terasa segar dan nyamannya. Ia seperti menari-nari kegembiraan, meniup-niup sang dedaun, rerumput dan lalang jua pepohon nan menghijau. Ombak mendebur pantai, hujan turun membasahi bumi, mentari terik memancarkan cahayanya, rembulan yang romantis menyinari kegelapan malam. Semuanya ternampak indah dan hebat di mata hamba. Batu-batu kecil yang sering dipijak-pijak jua kelihatan sangat cantiknya. Semut, kerengga, bahkan ikan kembung yang hamba siang untuk makan malam juga mampu membuatkan bibir ini tersenyum meleret, lantaran riang dan bahagianya hati hamba. Ah, daerah ini nyata menjadikan hamba aneh.

Tahukah tuan hamba, apakah yang hamba lalui kini? Malu hamba nak menyebutnya. Hamba..err.. hamba..err.. hmm..malulah (sambil menekup muka dengan telapak tangan). Hamba..hamba.. Ya Allah, kuatkanlah hati hamba untuk menyebutnya.

Jatuh cinta..

Itulah kalimah paling tepat untuk menerangkan keadaan hati hamba kini. Setiap nafas yang hamba hirup dan hembuskan, hamba dapat merasakan cinta sedang berdenyut-denyut, ia hidup, ia bernafas bersama hamba. Degupan jantung hamba, aliran darah hamba, keringat dan airmata hamba, semuanya melahirkan suatu perasaan yang sangat mendalam bernama cinta. Tidur hamba, jaga hamba, makan dan minum hamba dinaungi nikmat cinta, yang terlalu infiniti untuk hamba jelaskan.

Hamba telah jatuh cinta. Cinta yang tak pernah hamba rasai sepanjang hayat. Tentu kalian tersenyum-senyum membaca kisah hamba ini, kan? Maklumlah cinta.. bahan paling menarik untuk membuatkan novel dan filem laris dan laku di pasaran. Ia adalah keinginan setiap makhluk yang bernama manusia. Cinta, sejak zaman-berzaman telah menjadi penyeri dan tragedi alam ini. Bahkan Allah juga mencipta segalanya bersama cinta.

Tapi apabila merenungi diri, hamba jadi resah. Hamba serba kekurangan. Hamba tidak cantik seperti Siti Nurhaliza, tidak genius seperti Dato’ Dr. Mazlan Othman, tidak kaya seperti Oprah Winfrey, tidak berkebolehan lagi pemalu. Diulangi, pemalu tahu? Hamba sentiasa sedar diri hamba siapa. Dalam dunia yang memandang rupa dan material, hamba serba-serbi ketinggalan berbanding orang lain. Hamba tidak punya harta walau sedikit pun, walaupun tanah sejengkal, walaupun emas sehalus janggut udang; tidak hamba miliki itu semua. Hamba miskin hina lagi melarat. Makan minum pun ibaratnya..kais pagi makan tengahari, kais petang makan malam. Kasihan, kan?

Cuba kalian bayangkan, apakah perasaannya jika kalian jatuh cinta dengan orang yang darjatnya berlainan dengan kalian. Tentu perasaan itu sukar sekali untuk digambarkan. Apatah lagi hendak meluahkan. Jika kita tidak cukup solehah tapi jatuh hati dengan si soleh, jika kita tidak cantik tapi jatuh hati dengan si tampan, jika kita miskin tapi jatuh hati dengan si hartawan, jika kita tidak berpangkat tapi jatuh hati dengan si penguasa.. pastilah berat perasaan yang ditanggung. Hendak diucapkan, kita masih sedar diri kita siapa. Hendak dikongsi dengan sesiapa pun malu. Lebih-lebih lagi jika orang di sana tidak membalas bahkan memandang kita seperti tiada. Bertambah-tambahlah malu kita, kan? Kan?

Hamba hanyalah seorang hamba. Yang menyintai dari darjat yang berbeza. Antara dua darjat.. Macam filem P. Ramlee lah pula..

Dia terlalu sempurna di mata hamba. Dia memiliki segala-galanya yang melayakkan hamba meletakkan kecintaan hamba. Dia memenuhi seluruh hati dan jiwa hamba. Dia singgah di seluruh ingatan hamba dari saat bangun di dinihari sampailah hamba terkenang-kenang di malam hari. Hamba dirundung rindu yang mendalam. Hendak bertemu sentiasa. Ingin memandang, senyum dan berbicara bersama. Mahu bermanja-manja dan mengadu seluruh hal keadaan diri. Mahu bersunyi-sunyian tanpa yang lain. Airmata panas hamba menitik dan berlinangan apabila mengingati. Terasa alangkah jauhnya beza antara kami. Jauhnya kami. Dia terlalu sempurna untuk hamba sedangkan siapalah hamba ini. Malu, kan?

Cinta hamba kepada-Nya adalah cinta antara dua darjat. Cinta seorang hamba kepada Tuannya. Tuan yang memberikan makan minum, pakaian, nafas, detak jantung, denyut akal, tangan kaki, jasad, wajah bahkan segala-galanya. Dari kekosongan, Dia telah memenuhkan hamba dengan selengkapnya. Dia Maha Baik, Maha Indah, Maha Kaya Raya, Maha Berkuasa, Dia Maha Segala-galanya. Salahkah hamba jatuh cinta kepada-Nya?

Kalau manusia yang lebih baik dari kita, tentu saja cinta dari yang serba kekurangan seperti hamba ini akan ditolak mentah-mentah. Tapi Dia tidak begitu. Dia menerima cinta hamba dengan sepenuh penghargaan. Dia tidak memandang rupa, harta, pangkat dan keturunan hamba. Dia memandang hati dan amalan hamba. Dia tidak meletakkan apa-apa syarat kebendaan untuk menyintai-Nya. Dia tidak hairan bahkan tidak peduli, secantik manakah hamba yang menyintai-Nya, sebanyak manakah harta yang hamba miliki, setinggi manakah pangkat yang hamba duduki, Dia telah ada semua itu. Dia Yang Paling bahkan Maha Indah. Dia Memiliki seluruh alam ini, Dia juga Menguasai segalanya dari dunia ini sampai akhirat. Dia hanya memuliakan hamba-Nya yang bertaqwa. Tidak kira siapa dan bagaimanakah hamba-Nya itu. Oh sungguh Dia Maha Baik..

Dia sentiasa memandang hamba penuh cinta dan rahsia, tak pernah berhenti-henti dari saat hamba mencelikkan mata, di tempat kerja, di bilik air, di meja makan dan di atas pembaringan. Dia menilai dan memeriksa semua perkataan, pergerakan dan bisikan hati hamba. Dia menyemak dan menimbang seluruhnya keikhlasan dan ketulusan hamba.

Hamba tahu, Dia juga menyintai hamba. Kerana Dia sering sahaja menguji hamba. Diberikannya kepada hamba ujian-ujian yang sukar, yang sangat payah untuk hamba lalui. Tapi dalam ujian itu, diberikan pula oleh-Nya kekuatan untuk hamba meloloskan diri. Kalau di sekolah, pelajar pandailah yang disayangi guru dan diberikan soalan-soalan yang susah lagi mencabar.

Itulah yang hamba rasakan.. Dia pun cintakan hamba juga (syyy..jangan bagitahu orang lain, nanti hamba dikatakan perasan!). Bukan hamba perasan tahu..tapi sungguh. Bukti-buktinya memang ada. Tapi biarlah rahsia…kalau hamba sebut, macam menyohorlah pula.

Hai kawanku tuan hamba… hamba sungguh sedang bahagia dilamun cinta. Cinta yang tak melemahkan tapi menguatkan dan memotivasikan hamba. Kerana hamba tahu, Dia yang hamba cintai dan Menyintai hamba sentiasa ada bersama-sama, menemani sepanjang liku-liku hidup yang hamba lalui.

Hamba jatuh cinta. Hamba cinta kepada-Nya, Allah. Yang sentiasa menyambut cinta-cinta hamba-Nya bahkan tak pernah lelah membalas walau seluruh alam ini menghulurkan cinta kepada-Nya. Maha Hebatkan Kekasih hamba? Baru tuan hamba tahu, patutlah hamba jatuh cinta dan tak keruan dengan-Nya..

Tuan hamba, bagaimana? Jom sama-sama cintai Dia..
* Tulisan ini dihasilkan dengan izin Allah pada 30 Oktober 2010, sehari sebelum majlis graduasi MRSM Kota Putra. Keesokannya saya diuji dengan mimpi istikharah, yang hari ini saya sedari ia tidak lain tidak bukan adalah ujian ketaqwaan dari Allah semata-mata. Terima kasih wahai Allah kerana membalas cinta hamba..

Monday, November 15, 2010

Segala Puji Bagi Allah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puji bagi Allah yang tak pernah melupakan hamba-Nya ini. Segala puji bagi Allah yang sentiasa memanggil hamba berdekat-dekat dengan-Nya. Segala puji bagi Allah yang menarik nikmat-nikmat dunia dari hamba untuk mendapat nikmat-Nya. Segala puji bagi Allah atas segala urusan-Nya. Segala puji bagi Allah yang tak pernah tidur menjaga hamba. Segala puji bagi Allah Yang Maha Indah, Maha Segala-gala-Nya. Segala puji bagi Allah yang sentiasa menguji mengacah-acah keimanan hamba. Segala puji bagi Allah yang sentiasa terpuji dunia dan akhirat. Oh Allah, i love U..

Saturday, September 11, 2010

Cahayemata

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
Inilah wajah-wajah tercinta yang menguatkan ummi..


Thursday, September 9, 2010

Aidil Fitri

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Maha Suci Allah dan Segala Puji Bagi-Nya. Hari ini kita masih dihidupkan untuk menghambakan diri kepada-Nya. Untuk sujud, untuk rukuk, untuk taat hanya kepada-Nya semata-mata. Marilah kita bersujud syukur atas nikmat yang diberi..

Malam tadi, masih tetap sibuk di dapur memasak rendang dan lontong seperti tahun-tahun sebelumnya.. tetapi ia tak sama kerana tahun ini ia adalah masakan, air tangan seorang ibu tunggal. Bukan lagi surirumah profesional tapi kini janda profesional.. :) Profesional kerana hidup mengorbankan hati dan perasaan demi membesarkan 4Muhammad.

Allah Yang Satu

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Ramadhan telah berlalu. 30 harinya saya tempuhi dengan suka dan duka. Lapar dan dahaga bukan ujian lagi buat saya. Puasa telah lama menjadi perisai nafsu buat janda seperti saya. Tetapi ujian tawakkal yang Allah berikan pada Ramadhan kali ini benar-benar tarbiah yang taf. Di awal ramadhan - ketika itu saya di pertengahan kontrak sebagai guru MRSM buat kali kedua, datanglah khabar duka yang menegangkan urat kepala saya (tuntutan hutang belajar keliling pinggang, berserta peringatan saman mahkamah jika tidak melunaskan). Inilah hutang-hutang yang suatu masa dahulu menjadi sumber makan minum saya dan keluarga ketika kami belum punya sumber kewangan. Inilah hutang yang telah menyara kami yang kemiskinan untuk membayar bil api dan air di rumah sewaan. Inilah hutang yang pernah membelikan lampin pakai buang anak-anak. Setelah habis wang hutang ini, maka semua bank saya tiada urusniaga lagi (bermakna telah kering wangnya lalu mati akaunnya).

Hari itu, jiwa saya benar-benar terganggu. 4Muhammad bermain tiada hentinya. Mereka sesungguhnya belum mengerti. Lalu saya menopangkan kepala di bahu anak sulung sambil airmata tidak berhenti menitis. Apakah jalan untuk saya membayar hutang-hutang ini? Sedangkan saya telah diceraikan tanpa sedikit harta pun. Yang lekat di badan (emas permata - usah bermimpi), tanah berjenjang - jauh sekali, kereta dan rumah - pun tidak dimiliki. Tapi jauh di sudut hati saya, yang paling dalam, yang paling suci, yang paling halus, saya merasa Allah ada bersama saya, saya merasakan suatu kekayaan yang tak terhingga walau kini ditimpa kemiskinan yang menghimpit. Allah sedang menguji saya, tapi Dia sentiasa ada bersama saya, Dia dekat, Dia tidak meninggalkan saya. Sekelip matapun Dia tidak leka menjaga dan memelihara saya. Saya seperti mendengar-dengar bisikan 'Allah bersama orang-orang yang sabar' .. dan 'Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang sabar.'

Saya dapat merasakan pujukan, motivasi dan belaian Allah terhadap jiwa dan hati saya. Ia tiba-tiba merasa sangat kuat dan tekad. Saya tidak bersedih lagi. Airmata berhenti menitis dan fikiran saya kembali stabil. Jantung saya berdegup kencang mendetakkan 'Allah.. Allah.. Allah.. Allah.. Allah..' dan saya tidak merasa miskin lagi, saya merasa sangat kaya kerana sesungguhnya Allah yang bersama saya Maha Kaya Raya.

Lalu saya teringat, saya mempunyai sejumlah wang yang saya perolehi setelah mengajar kontrak di MRSM selama dua bulan sebelum ini. Yang tujuan asalnya, wang itu saya mahu gunakan untuk membeli sebuah kereta 'buruk' untuk kegunaan ke tempat mengajar dan membawa 4Muhammad bersiar-siar. Setelah memohon petunjuk Allah, saya mendahulukan wang itu untuk membayar hutang. Saya sanggup mengorbankan 'kereta impian' demi mendapat keredhaan-Nya dan saya yakin, Dia akan menggantikan dengan yang lebih baik.

Saya membayar dengan hati yang lapang walaupun saya kini tiada simpanan lagi. Ternyata, wang itu tidaklah cukup untuk membayarkan hutang saya, masih berbaki ia dan banyak lagi. Tapi saya tidak merasa gelisah lagi. Inilah hutang yang pernah memberi makan minum kami sekeluarga, membayarkan bil-bil, tiket-tiket bas, sewa lodging dan hotel serta mengadakan sebuah peti sejuk kegunaan sekeluarga. Biarlah saya membayarnya hari ini kerana saya yakin, Allah akan membayar saya di akhirat kelak. Biarlah saya tak memperolehi apa-apa harta sepencarian dari penceraian ini kerana saya yakin, Allah menyimpannya di bank akhirat saya kelak.

Malam itu, malam Ramadhan yang entah ke berapa, saya menangis di mihrab cinta. Saya memohon pembelaan dan pengadilan Allah di atas segala penganiayaan yang ditimpakan oleh manusia-manusia ke atas saya. Saya memohon pengampunan Allah di atas segala dosa-dosa saya yang sangat banyak. Saya memohon belas kasihan Allah kepada saya dan 4Muhammad serta hamba-hamba-Nya yang melarat di muka bumi-Nya ini.

Demikianlah hati saya menjadi lega dan hari-hari seterusnya saya lalui seperti biasa - senyum ceria dan gurau senda yang tak lekang. Walau seribu masalah menyempitkan dada, di muka pantang terpamerkan!

Dan segala puji bagi-Nya 'Inna ma'al 'usri yusro'..seminggu sebelum menamatkan kontrak, saya diinterview secara dalaman untuk menjadi guru Matematik sementara/tetap DC41. Jika lulus ujian ini, maka saya akan bertugas sehingga memperolehi Diploma Pendidikan dan menjawat jawatan tetap. Semoga ada rezeki buat saya dan 4Muhammad. Rezeki itu, insya Allah akan saya gunakan untuk menyara 4Muhammad, membayarkan hutang-hutang yang berbaki, mnghulurkan ingatan buat ma dan ayah serta meneruskan hidup dengan lega. Amiin..

Jika Allah memberi saya rezeki ini, saya mengharapkan Allah akan lebih mendekatkan lagi saya dengan-Nya. Jika saya memperolehi jawatan ini, saya mengharapkan Allah memberi kekuatan untuk saya terus menggalas tanggungjawab ibu dengan sebaiknya. Sesungguhnya Ramadhan kali ini mengajarkan saya erti tawakkal yang sebenar dan menunjukkan bagaimanakah yang dikatakan rezeki datang dari arah yang tidak disangka-sangka. Wahai para sahabat, doakanlah saya sentiasa..

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR BATIN DARI HUJUNG TUDUNG SAMPAI HUJUNG STOKIN :) - IKHLAS DARI SURIUMMAH YANG GAGAH DAN 4MUHAMMAD YANG KUAT.


Tuesday, August 10, 2010

Ramadan dan Kami.

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Ramadhan bertamu lagi setelah setahun pergi meninggalkan. Saya menyambutnya dengan hati yang sangat teruja bersama 4 Muhammad kerana inilah tahun pertama saya berpuasa sebagai seorang ibu tunggal. Dalam kemiskinan dan serba kekurangan, saya merenung wajah 4 Muhammad yang sedang nyenyak tidur. 3 dari mereka akan berpuasa bersama saya, manakala si kecil yang berusia 4 tahun, akan memberi semangat buat kami (sambil makan :)).

Mereka masih kecil. Masih terlalu mentah untuk mengerti keperitan yang saya tanggung kini. Apa yang mereka mahukan adalah kasih sayang, masa bersama dan perhatian dari saya. Setiap kali akan meninggalkan mereka untuk keluar mengajar, hati saya merasa sangat pedih. Selama ini saya tak pernah berpisah lama dengan mereka. Setiap saat yang saya lalui, mereka ada di sisi. Ke mana sahaja saya pergi, 4 Muhammad tak pernah berenggang. Tapi kini, barulah saya merasai kesakitan dan kesedihan setiap kali berpisah dengan mereka.

Tapi kemandirian dan sikap lelaki yang ‘gentleman’ pada diri 4 Muhammad menyebabkan airmata saya berhenti mengalir. Hati saya yang sebak, menjadi kuat dan tekad. Saya mesti gagah. Sayalah nakhoda bahtera kami lima beranak kini. Di atas bahu sayalah seluruh pertanggungjawaban memberi pendidikan dan nafkah yang secukupnya buat 4 Muhammad.

Kemiskinan yang kami harungi kini lebih membahagiakan. Saya mencuba sedaya upaya menghiburkan sambil mendidik mereka. Berjalan-jalan makan angin sambil mengenalkan mereka dengan Allah Pencipta. Melihat luasnya lapangan alam dan besarnya tugas yang harus mereka pikul di masa depan (saya anggap mereka sudah faham setiap curahan perasaan saya, walaupun mereka masih ralit bermain-main). Melukis, mewarna, solat dan mengaji bersama-sama menambaheratkan hubungan kami. Walaupun kadang-kadang ibu tunggal muda ini, bergaduh juga dengan mereka.

Dan Ramadhan yang tiba kali ini akan menjadi teman saya untuk memantapkan pertarbiahan ruhani mereka. Akan saya ajarkan mereka inilah hakikat kesusahan yang ditanggung oleh manusia yang lebih menderita dari kami. Agar mereka tahu bersyukur dengan segala nikmat Allah walaupun kami juga kemiskinan. Agar mereka dapat menghibai kesusahan orang lain walaupun kami sendiri kesusahan. Agar mereka sanggup berkorban untuk orang lain walaupun kami sendiri tidak kecukupan.

Saya merenung wajah mulus mereka satu demi satu. Dan kantuk pun singgah di mata..

Semoga Ramadhan yang bertamu kali ini akan memberi kebahagiaan yang berganda-ganda buat kami bersama Allah Yang Maha Cinta. Amiin..

Wednesday, August 4, 2010

Kehangatan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
Kehangatan kasih sayang Allah, memberi segala-galanya yang saya perlukan untuk sebuah kehidupan. Saya masih punya Allah, yang cukuplah hanya Allah bagi saya. Saya masih punya ibu dan ayah yang tak pernah jemu merawat sewaktu senang dan susah. Saya masih punya 4 Muhammad yang sentiasa menghiburkan ketika saya resah. Saya masih ada Kak Fauziah yang mengasihi walau tanpa sebarang ikatan persaudaraan mahupun pertalian darah. Saya ada K. Ira, Ime, Imi, K.Ana, Dr. N, Aien, K.Nik, cikgu Aminah dan ramai lagi..

Kehangatan semangat dari mereka memberi kekuatan untuk saya bangkit dari rebah.

Dan hari ini, membaca komentar-komentar terbaru para akhawat dengan semangat alu-aluan telah menghangatkan lagi jiwa saya. Saya merasa sangat diraikan, dihargai dan disayangi. Saya amat terharu dengan penerimaan kalian. Hati saya yang berduka dan menderita kini tersenyum, seceria wajah saya. Semoga Allah menambahkan lagi kehangatan jiwa buat saya dan 4 Muhammad.

*Syukran buat Kak Masayu, Ashaku dan Izzah..saya sangat menghargainya.

4 Ogos

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Segala puja dan puji hanya bagi Allah. 4 Ogos untuk kesekian tahun sering menjadi tarikh bermakna dan indah buat saya. Dan hari ini, 4 Ogos sekali lagi menjelma sebagai tarikh yang membawa kenangan manis dalam hidup saya, seorang yang harus dan mesti menulis di dalam hidupnya. Hari ini, hasil rezeki yang saya kumpulkan berdikit-dikit, dengan titik peluh sebagai ibu yang mencari rezeki buat anak-anak, akhirnya saya mampu memiliki sebuah komputer riba dan kemudahan teknologi jalur lebar.
Sahabat-sahabat..
Telah hampir setahun saya menghilangkan diri. Saya masih hidup. Saya masih bernafas. Bahkan saya kini hidup dan bernafas dengan sepenuh kudrat demi anak-anak. Banyak yang saya lalui dalam setahun ini. Jika diizinkan Allah, tanpa mahu mengaibkan sesiapa, saya akan cuba berkongsi serba sedikit pengalaman bercampur-baur (ngeri, duka, luka, airmata, derita dan sengsara) yang telah saya tempuhi dengan pinjaman kekuatan dari Allah bersama 4 Muhammad.

Dengan Kasih Sayang-Nya yang melimpah ruah, saya masih hidup biarpun ada yang lebih suka saya mati dan masuk ke neraka. Saya masih bernafas biarpun ada yang lebih suka saya lemas dan menderita selamanya. Segala puji bagi Allah.. saya kini lebih kuat dari semalam. Saya kini lebih tabah mengharungi pancaroba hidup. Allah Penjamin hidup saya sentiasa menjamin segala-galanya buat saya dan 4 Muhammad.

Doakanlah, agar saya dapat terus menulis untuk ummah dan generasi. Doakanlah semoga ilham dari langit akan sentiasa turun mencurah buat diri saya bagaikan hujan lebat yang membawa rahmat untuk alam. Amiin ya Rabbal 'Aalamiin..
*Ahlan wa sahlan marrotan ukhroo buat diri sendiri.. suriummah yang mesti gagah dan berani!!

Sunday, September 6, 2009

Mesej Dari Yang Dirindui

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Bacalah dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan

Alangkah gembiranya menerima mesej dari orang yang dikasihi dan dicintai. Tidak kira melalui sms, emel atau surat biasa - ia adalah catatan yang menyampaikan mesej dari hatinya. Mesej yang diterima adalah tanda ingatannya kepada kita. Walaupun hanya sepatah perkataan yang tertera, hati yang menerima terasa sangat bahagia. Setiap masa dikenang-kenang dan dibaca pula berulang-ulang. Lantaran terlalu bahagia, fikiran hanya tertuju pada isi mesej dan orang yang menghantarnya. Wajah dihiasi senyuman ceria, dada diisi semangat menyala.

Di sebalik gembira dan bahagia menerima dan membaca mesej kekasih tadi, ada mesej yang sepatutnya lebih menggembirakan dan membahagiakan apabila membacanya. Ia adalah mesej dari Kekasih Agung, yang paling mahal nilainya, yang paling indah kalimahnya dan yang paling mengasyikkan…

Dia adalah Kekasih sebenar manusia. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sumber segala kasih sayang dan cinta di dunia ini sampai ke syurga kelak. Dialah yang wajib dicintai dan dikasihi sepenuh hati. Dialah yang sepatutnya berada di singgahsana cinta kita yang pertama dan utama. Kerana tanpa kasih sayang dan cintanya, maka tiadalah kita di sini, tiadalah rupa kita begini dan tiadalah iman di hati. Dari kasih sayang dan cinta-Nya, kita ada di dunia, sebagai manusia, yang bergelar mukmin. Bersyukurlah dan cintailah Dia. Jika belum, maka jatuh cintalah kepada-Nya.

Dia telah menghantar mesej agungnya semenjak lebih 1430 tahun yang lalu. Mesej agung yang tak pernah pudar ditelan zaman, tak pernah ketinggalan oleh kemajuan dan peradaban. Mesej agungnya yang punya pelbagai catatan rasa dan faham (hamba pinjam kalimah ni deh, Tuan Abuyon). Di dalamnya terkandung pesanan, nasihat, motivasi dan khabar gembira yang disampaikan dengan lenggok serta gaya bahasa yang romantis lagi melegakan. Dia juga sering mengingatkan kita dengan larangan, ancaman dan khabar duka dengan bahasa yang tegas lagi meruntun perasaan. Bahkan Dia juga bercerita tentang alam, sejarah dan fakta sains. Dia tidak pernah bakhil untuk mengkhabarkan. Malah mustahil bagi-Nya bersifat bakhil.



Keindahan dan keromantisan kalam-Nya, membuatkan hati sentiasa rindu untuk mengulang baca mesej agung-Nya. Terikat hati dan jiwa, rindu sentiasa. Orang-orang yang bercinta dengan-Nya tak akan rindu lagi pada lain kalam kerana semuanya sirna oleh kehebatan kalam agung-Nya.

Di saat duka, kalam-Nya bisa memujuk dan memotivasikan. Dia mengajar manusia supaya bersabar dan tidak mengalah. Dia mengajar manusia agar jangan takut dan jangan bersedih hati. Dia mengajar semua kekasih-Nya menjadi kuat dan berani. Motivasi dari-Nya adalah yang Teragung dan tidak terbanding oleh mana-mana motivator pun di dalam dunia ini. Dialah sumber semangat buat manusia-manusia yang melarat di bumi ini.

Di saat gembira, Dia berpesan buat orang-orang yang dikasihi-Nya agar sentiasa mengingati-Nya. Sesiapa yang yang mengingati-Nya akan diingati pula oleh-Nya. Dia memberi peringatan tentang dunia dan tipudayanya. Dia tidak mahu orang-orang yang dicintai-Nya terjerumus ke dalam perangkap hawa nafsu. Dia sesungguhnya Kekasih Yang Maha Belas Kasihan kepada semua kekasih-Nya dan tidak akan membiarkan mereka hanyut dalam pancaroba dunia. Oh alangkah romantiknya Dia, alangkah ambil beratnya Dia.

Al-Quran yang berada di kamar-kamar kita itulah mesej agung dari Allah; yang sepatutnya menjadi harta paling berharga di dalam jiwa setiap orang yang mengaku beriman. Segala mesejnya; khabar gembira dan duka, pujukan dan ancaman, tauladan dan sempadan umat terdahulu, fakta sains dan ghaib, segala ilmu alam dan insan; jadikanlah mesej paling dirindui, dikenang-kenang dan diulang-ulang baca di setiap kesempatan yang ada…

*Selamat bertadarrus dan mentadabbur mesej agung dari Al-Quran; di sepanjang Ramadhan ini sehingga ke akhir hayat nanti.

Friday, August 28, 2009

Sarjana Ibadah@Madrasah Agung

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Mari merebut gelar sarjana ibadah

Ramadhan, saya analogikan sebagai sebuah madrasah. Bukan madrasah biasa tetapi madrasah agung. Ia adalah madrasah pendidikan ruhani teragung di setiap zaman semenjak ia Allah gazetkan sebagai bulan puasa pada tahun ke-2 hijrah.

Dan tahun ini, madrasah agung telah seminggu membuka tirai indahnya. Berbondong-bondong ummah yang dahagakan didikan dan belaian Allah memasuki madrasah ini tanpa mengira ada sijil pra madrasah atau tidak. Semua diraikan dan disambut dengan pesta ibadah berskala besar-besaran, agung-agungan. Semua berpeluang merebut gelar sarjana ibadah. Yang penting mahu atau tidak. Selama seminggu – ummah Islam mengikuti minggu orientasi di madrasah agung. Membiasakan lapar dahaga, membetulkan jam tidur dan bangun.



Di madrasah agung ini, puasa adalah fakulti utamanya. Semua yang menginjakkan kaki ke madrasah agung, akan menyertai fakulti puasa. Ia adalah syarat utama pengijazahan di akhir Ramadhan nanti. Orang-orang yang menuntut di fakulti puasa itu pula, pelbagai peringkat pengajian yang mereka tempuhi. Peringkat paling asas di madrasah agung ini adalah sijil awam. Mereka berpuasa zahirnya semata-mata; berlapar dan dahaga cuma. Peringkat yang lebih tinggi adalah sarjana muda khusus, mereka adalah orang-orang yang menjaga anggota-anggota badan dari melakukan dosa. Manakala peringkat paling tinggi adalah sarjana ibadah; ia dimiliki oleh mukmin yang mencapai kualiti puasa yang sangat khusus.

Mereka adalah orang-orang yang berpuasa zahir dan batin. Fizik mereka berlapar dahaga dari keenakan makan dan minum manakala batin mereka berlapar dahaga dari kelazatan maksiat dan dosa. Lidah dan hati mereka basah – bukan dengan air minuman tapi dengan zikir mengingati Tuhan. Sarjana ibadah menghargai setiap detik di madrasah agung yang hanya terbuka setahun sekali, dengan tiga semester yang amat singkat - Rahmah, Maghfirah dan Kelepasan dari Azab Api Neraka. Mereka berusaha mencapai pangkat mumtaz di ketiga-ketiga semester ini. Setiap saat adalah peluang untuk beribadah kepada Allah. Siang dan malam, hidup mereka disinari cahaya puasa, solat, sedekah, zakat dan membaca Al-Quran. Mereka akan mendapat perisai terbaik – untuk menahan diri dalam peperangan hidup dan perjuangan nafsu sehabis sahaja bergraduasi nanti.

Merekalah mukmin yang paling cemerlang di madrasah agung. Merekalah orang-orang yang beruntung.

*Selamat meneruskan permukiman di madrasah agung. Ambillah segala tarbiyah Allah yang sarat di dalamnya. Dan marilah kita berjuang untuk memperolehi sarjana ibadah!

Monday, August 10, 2009

Rindu Serindu-rindunya

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih
lagi Maha Penyayang

Penantian itu satu kerinduan

Sepuluh hari ini adalah hari-hari yang penuh kerinduan. Denyut-denyut cinta bergetar – kian gelisah untuk bertemu. Hati berdebar-debar ingin menerima tamu tercinta yang ditunggu-tunggu. Sudah hampir setahun lamanya berpisah.



Demikian perlahan masa berlalu. Terasa - seperti saat dan minit sedang mempermainkan waktu. Kesabaran benar-benar teruji. Sempatkah menunggu sepuluh hari lagi? Sedangkan nyawa sentiasa di dalam genggaman Yang Maha Mengetahui.

Alangkah indahnya dia dan seluruh suasananya.

Saat langit mula memancarkan sinar fajar dan saat langit mula masuk ke penjara kegelapan. Betapa meriahnya tarawih, indahnya taubat di detik sahur, bahagianya berzikir tika iftar. Lapar, dahaga dan penat bersamanya tak pernah membunuh nyawa bahkan semua itulah makanan yang menghidupkan jiwa. Alangkah indahnya dia.. Ramadhan – musim panas berdebu, bulan dugaan ruhani penuh liku.

Sepuluh hari lagi dia akan tiba, membawa sejuta rahmah dan selautan sakinah. Bumi akan dibanjiri kemeriahan langit. Cahaya ibadah bersinar siang dan malam. Denyut-denyut pengabdian hidup subur. Manusia berlumba-lumba, merebutkan cinta dari Kekasih Agung. Segala makhluk bertasbih dan berzikir. Tiga puluh hari cuma ia bertandang. Wahai Ramadhan, rindu tak tertahan. Melarat hamba Tuhan ini menunggukan ketibaan.

Wahai Allah, izinkan aku melangkah ke madrasah agung-Mu; dengan hati yang penuh cinta dan rindu. Amin


Sunday, August 2, 2009

Enaknya Maggi, Sedapnya Nescafe

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih
Maha Penyayang

Mi maggi cepat dimasak,
sedap dimakan


Palestin, Iraq dan Afghanistan – bumi peperangan, bumi jihad dan medan gugurnya syuhada akhir zaman. Bumi-bumi itu, telah lama dikepung, dibantai dan diperangi pengganas-pengganas kuffar yang jahatnya macam syaitan! Di sana, saya dapat membayangkan betapa ngerinya hidup dan nikmatnya mati.

Lelaki-lelaki yang menjadi payung keluarga satu demi satu syahid. Anak-anak permata hati dan agama, terkorban di depan mata. Ibu-ibu dan wanita-wanita muslim, ada yang menjadi mangsa perkosa. Alangkah pedih hati ini mengenangkan nasib mereka; di kala kita sedang enak makan maggi, sedap minum nescafe.



Enaknya maggi, sedapnya nescafe.

Sehingga terlupa nasib yang menimpa mereka di sana. Keenakan maggi dan kesedapan nescafe telah menjadikan hati kita mati, jiwa kita lesu – mementingkan diri sendiri. Tak apalah muslim di Palestin mati bergelumang darah, asal kita dapat makan maggi, minum nescafe.



Pada saya, isu Palestin sentiasa relevan, tidak bermusim. Tak kira bilakah masa kita membicarakannya.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...