Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang
4 Muhammad, 4 yang terpuji. 4 manusia yang mewarisi saya di bumi Tuhan ini. Yang secara langsung mendapat sentuhan tarbiah dan mahabbah saya. Yang setiap satunya saya kandungi kira-kira 40 minggu di dalam rahim saya. Yang setiap satunya mencicipi susu ibundanya selama 2 tahun tak berhenti.
4 Muhammad – saya lahirkan tahun demi tahun di awal alaf ini. 4 Muhammad – telah berkongsi rahsia suka duka, semangat dan airmata saya semenjak di dalam ruang rahim yang gelap gelita.
Siapakah lagi tempat tumpahan kasih dan cinta saya selain 4 Muhammad? Siapakah lagi yang akan menikmati hidangan air tangan saya selain 4 Muhammad? Siapakah lagi yang akan memberi bahagia dan tawa buat saya selain 4 Muhammad?
Merekalah zuriat saya di bumi Tuhan ini. Merekalah pewaris legasi saya di kemudian hari.
_________________________________________________
Saya melahirkan Muhammad Al-Fateh ketika berusia 21 tahun. Waktu itu, saya masih berada di tahun akhir pengajian di Universiti Sains Malaysia. Betapa penatnya mengandung sulung di saat suami (bekas suami) berjauhan. Setiap hari, kuliah tetap saya hadiri tanpa culas. Mendaki bukit Minden dengan penuh sabar walau panas mentari terik di kepala. Menempuh pengalaman muntah di pagi hari yang sangat teruk. Melalui pengalaman tumpah air ketika 7 bulan mengandung. Jatuh dan rebah di dalam bas, terseliuh kaki di atas tangga. Menangis bersendirian kerana bekas suami terlalu jauh di selatan.
Saat itu, tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk menarik diri dari pengajian. Bahkan semangat saya semakin membara.
Kemudian, lahirlah Muhammad pertama, Al-Fateh gelarannya. Muhammad Al-Fateh, nama diambil sempena nama Sultan Muhammad Al-Fateh yang menakluki kota Constantinople. Betapa besar harapan ayahanda yang memberi nama, besar lagi harapan bonda yang mengandung, menyusu, mengasuh, mendidik dan menjaga.
Lantaran menyusu badan, saya membawa Al-Fateh bersama ke USM. Inilah pengalaman paling indah di dalam hidup saya. Kerana tidak semua ibu yang masih belajar bernasib baik seperti saya. Kebanyakannya terpaksa meninggalkan anak dengan ibu atau mertua. Saya pula, lantaran tekad.. tidak peduli apa pun halangan dan masalah yang bakal menimpa. Apa yang saya tahu, saya berlaku adil kepada anak kecil saya yang masih membutuhkan susu dan perhatian ibunya. Selagi dia bersama saya, maka saya akan tempuhi segalanya dengan sabar dan berani.
Setelah tamat pengajian, saya disahkan mengandung buat kali kedua. Ujian ketika mengandung kali ini lebih dahsyat lagi. Ketika ini, ekonomi rumahtangga benar-benar terhimpit. Saya masih ingat, hampir 3 minggu kami mengisi perut dengan jemput-jemput bawang + ikan bilis. Setiap hari saya muntah sampai hijau. Al-Fateh belum pun berusia setahun. Masih belajar berjalan dan gigi pun belum tumbuh.
Bekas suami menghantar saya dan Muhammad Al-Fateh pulang ke Besut sementara menunggu saat kelahiran.
Alhamdulillah.. lahirlah Muhammad kedua. Nama yang kami pilih kali ini datangnya dari seorang ulama’ muttaqin, Imam Abdul Rahman Al-Auzaie. Kelahiranmu anak, dalam kemiskinan. Tiada baju, tilam dan bantal peluk yang baru. Yang ada cuma kasih sayang..
Al-Auzaie baru sahaja pandai merangkak, saya mengandung lagi untuk kali ketiga. Di sinilah titik mula paling perit, hati saya benar-benar terguris, airmata saya sering menitis. Dua anak sedang membesar di depan mata, seorang lagi masih di dalam kandungan. Saya hanya tekad memikirkan anak-anak lalu bertahan. Walaupun kesabaran saya telah diinjak-injakkan. Tuhan memberi tarbiah langsung di dalam tekanan dan kesukaran. Saya belajar di universiti kehidupan. Muhammad Al-Hadi lahir pada musim panas, Jun 2005. Namanya diambil bersempena nama cicit Nabi s.a.w, Ali Al-Hadi.
Hidup saya belum lengkap. Usia Al-Hadi mencecah 4 bulan, saya mengandung lagi untuk keempat kalinya. Alangkah sukarnya saya bergerak ketika ini. Dengan berat badan yang semakin bertambah, perut berkembang dengan janin, 3 orang putera yang semakin lincah, urusan rumahtangga yang tidak kunjung surut... betapa payah saya mengharungi.
Di dalam hati sering berdoa agar dikurniakan seorang puteri, yang bakal menemani saya di dapur; yang akan membantu saya menguruskan rumah. Seorang puteri yang akan saya didik menjadi bunga alam yang harum semerbak mewangi.
Allah Maha Mengetahui segalanya. Saya akhirnya dikurniakan seorang lagi putera, Muhammad Asy-Syazili namanya. Abu Hassan Asy-Syazili, seorang tokoh sufi agung, itulah asal datangnya nama ini.
Ketika ini, usia saya baru mencecah 25 tahun. Di saat rakan-rakan mula menyandang jawatan tinggi, saya telah menjadi ibu muda berputera empat. Walaupun saya hanyalah seorang surirumah yang tidak bergaji, tidak berpangkat tinggi, saya merasa sungguh dihargai Allah kerana dilantik menjadi ibu secara rasmi; jawatan idaman seluruh wanita di dunia ini. Empat putera membuktikan saya mampu menjadi ibu, empat putera membuktikan kewanitaan saya. Hidup saya kini dihias sempurna dengan empat putera yang saya gelarkan 4 Muhammad.
Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili.. kalianlah zuriat Ummi di bumi Tuhan ini. Jika Ummi dipanggil Ilahi sekalipun, di dalam diri kalian telah pun ada Ummi yang masih tinggal untuk meneruskan kesinambungan perjuangan membantu agama Allah yang masih panjang ini.
~ Insya Allah...~