Sunday, February 27, 2011

Tempat Pertama

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jika jatuh kedudukanmu di kalangan manusia, janganlah berputus asa. Masih ada tempat pertama yang Allah sediakan untukmu di alam yang luas ini. Bahkan tempat pertama inilah yang wajib engkau dambai semenjak dahulu lagi.

Majukanlah ruhanimu..

Bangunkanlah pencakar imanmu biar sampai langit ketujuh. Tinggalkanlah kesia-siaan. Usah dikejar manusia yang binasa. Kejarlah cinta Allah yang kekal buat selamanya. Usah diangankan rumahtangga yang penuh bahagia, angankanlah syurga Allah yang dipenuhi nikmat tidak terduga. Usah dirindui kasih sayang seorang suami, rinduilah Rahman dan Rahiim Allah yang tidak luak sampai bila-bila.

Melangkahlah di era kemajuan hidayah dan ruhani. Hilangkanlah sepi dan sunyimu – dengarkanlah ratib para malaikat di langit-Nya, rasailah denyut zikir urat nadi yang berselirat di seluruh tubuh badanmu, hidulah aroma sedap dari bayu yang tidak putus bertasbih kepada-Nya, syukurilah kehebatan segala gajet Allah pada fizik dan jasadmu.

Engkau tidak 'kan pernah rendah, malah engkau ‘kan tinggi di sisi Allah. Tempat pertama akan menjadi milikmu kerana Allah tidak pernah salah mengadili.

Tiada Yang Kekal - Melainkan Allah

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiada kerajaan yang kekal melainkan kerajaan Allah, tiada kekuasaan yang kekal melainkan kekuasaan Allah, tiada kehebatan yang kekal melainkan kehebatan Allah, tiada keindahan yang kekal melainkan keindahan Allah, tiada cinta yang kekal melainkan cinta Allah.

Tiada yang kekal melainkan Allah…

Oh Allah - i love U.. i need U. Only U. Nothing else.

Jangan Berkecil Hati

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Jangan berkecil hati jika engkau bukan pilihan utama manusia, asalkan engkau adalah pilihan utama Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dicintai manusia, asalkan engkau dicintai Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dipandang manusia, asalkan engkau dipandang Allah. Jangan berkecil hati jika engkau bukan kerinduan manusia, asalkan engkau dirindui Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dipinggirkan manusia, asalkan engkau tidak dipinggirkan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau dihina manusia, asalkan engkau tidak hina di sisi Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak dihargai manusia, asalkan engkau berharga pada pandangan Allah. Jangan berkecil hati jika engkau tidak mulia di mata manusia, asalkan engkau mulia di bawah duli keagungan Allah.

Jangan berkecil hati jika seribu kebaikanmu tertutup oleh gelaran janda beranak 4, asalkan Allah membaikkan hidupmu dengan gelaran janda suci yang berjihad membesarkan 4 Muhammad-Nya – yang bersih dan suci. Jangan berkecil hati.. jangan sekali-kali berkecil hati kerana engkau tidak dilahirkan untuk berkecil hati tetapi engkau telah dilahirkan dengan jiwa yang besar, tabah menghadapi segala keperitan hati dan perasaan.

Wednesday, February 16, 2011

Kesakitan Itu Manis, Kemanisan Itu Sakit

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Apabila Allah memberi sakit, di hati dan di jasad - maka ia menjadi kemanisan paling bererti bagi seorang hamba. Kemanisan menghadapi ujian yang bertimpa-timpa; kemanisan merasai adanya Allah bersama; kemanisan melihat kuat dan teguh jiwanya.

Apabila Allah memberi manis, pada segalanya yang penuh bahagia - maka ia menjadi kesakitan paling mudharat bagi seorang hamba. Kesakitan menghadapi kerakusan dunia yang menggoda; kesakitan akibat jauh dari-Nya; kesakitan lantaran jiwanya kian lemah tak berdaya.

Sungguh, kesakitan itu terlalu manis bagiku. Dalam teriak tangis suara di dadaku, bersama airmata yang tidak sudi berhenti; aku merasakan kepuasan tidak terhingga lantaran sungguh yakin aku dipandang Tuhan dengan penuh kasih sayang, penuh belas kasihan. Aku tidak perlukan apa-apa dan siapa-siapa pun dalam kondisiku yang begini. Walaupun aku terlalu sepi dan sunyi.


Cukuplah Allah bagiku kerana Dia tidak pernah menyakiti, Dia tidak pernah menolakku biarpun aku hanyalah seorang janda. Cinta-Nya ternyata Maha Suci, Maha Tulus, Maha Agung. Aku tidak mahu mengharapkan sesiapapun lagi kerana aku adalah janda suci di sisi Ilahi.

Biarlah aku terus sendiri jika inilah taqdir yang telah ditetapkan Ilahi. Kerana Dia Maha Adil, Dia Maha Mengetahui apa dan siapakah yang terbaik buatku, buat anak-anakku. Semoga aku layak menjadi bidadari di taman syurga-Nya yang indah dan disunting oleh seorang wildan pilihan-Nya di sana. Amiiiin Ya Rabbal 'Aalamiin..

*eksperimen menggunakan ganti nama aku :) . Inspirasi dari bisik semangat Kanda Fauziah Salleh tercinta, yang tak putus-putus memberi semangat.

Monday, February 14, 2011

Salam Atasmu Ya RasulalLah..

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Selawat dan salam atasmu duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa. Lelaki budiman, yang terpuji sekalian alam. Cahaya untuk ummat yang berhati waja.


Duhai yang dikasihi Allah, kisah hidupmu yang penuh duka menjadi hiburan buat yang menderita. Ketabahanmu mengalir ke telaga jiwa si melarat. Kesantunanmu menjadi contoh tauladan. Ketaqwaanmu menjadi ikutan.

Perkahwinanmu dengan Sayyidatina Khadijah - membuat si janda merasa mulia. Sedang dirimu masih teruna, engkau sudi menerimanya yang telah janda dari dua suami. Sedang engkau masih muda, engkau sudi menerimanya yang lima belas tahun lebih tua. Betapa engkau telah mengangkat kedudukan si janda yang memelihara kehormatan dirinya.

Semoga hamba dapat terus menyintai pahlawan agama yang telah menyelamatkan janda-janda. Dan semoga hamba ditemukan dengan seorang penyelamat pilihan Allah. Amiiiin..

Selawat dan salam atasmu sebanyak-banyaknya duhai kekasih Allah, Muhammad Al-Musthofa..

Thursday, February 10, 2011

Get Well Soon!

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hati ini – masih sakit. Di sini, masih ada darah yang mengalir, lukanya masih rabak. Goresan luka-luka lama masih kelihatan, parutnya nipis dan mudah koyak. Terasa-rasa denyutan di dalamnya terlalu lemah. Kemalangan bertimpa-timpa yang ditempuhi membuatkan hati ini cedera parah, hampir sahaja hancur dan musnah. Darah dan airmata, mengalir sama serupa.

Hati ini terlalu sakit. Tetapi ia masih sahaja terus berdenyut. Ia belum mahu mati-mati lagi. Ia sungguh nnele (gigih bertahan). Ayat-ayat cinta Allah memberi gagah untuk hati ini berdenyut perlahan-lahan; perlahan dan perlahan.. demi mengumpul kembali kekuatan.

Kesakitan masih terasa, di mana-mana. Dunia kelihatan gelap, hidup seperti keseorangan, segala pintu bagaikan tertutup kemas, ruang untuk melangkah ibaratnya tiada. Saya bersendirian menghadapi semua ini. Saya merasainya sedangkan dia tidak merasai sedikit pun. Saya menangis derita sewaktu dia gagah gembira.

Biarkanlah dia terus bahagia dengan haluan hidupnya. Dan biar pula saya bahagia dan berjaya di haluan hidup saya. Kenapakah saya perlu hairan dan peduli dengan seorang lelaki ego sepertinya? Yang tidak tahu menghargai cinta dan pengorbanan yang tulus. Kenapakah saya perlu kisah dengan seorang lelaki pengecut sepertinya? Yang tidak pernah membuktikan cinta yang wujud di hatinya. Saya masih hidup walaupun tanpa cintanya. Saya tetap hidup walaupun tanpa perhatiannya. Saya dapat terus melangkah gagah, walaupun hati saya telah luka parah dari segala tingkahnya.

Ada yang membuatkan hati saya ini terus hidup walaupun di dalam sakitnya yang amat itu.

Pertamanya - tentu sahaja kerana Kekasih Agung Yang Maha Menghidupkan masih memberi nyawa buat hati ini. Dia tidak pernah meninggalkan saya. Dia sentiasa merawat walau dalam kemalangan apa pun yang hati saya hadapi. Dia sentiasa memberi sepenuh cinta dan kasih sayang. Cinta-Nya mencukupkan apa yang tiada di dalam hidup saya - cinta seorang lelaki.

Keduanya, lapan biji mata yang sering berkelip-kelip memandang saya penuh harapan kasih. Lapan biji mata putih yang bersih dan suci - setiap hari menilik tingkah ibunda mereka. Setiap saat mendambakan tumpuan dan perhatian saya. Pandangan mata mereka perlu saya balas sepenuh cinta walaupun hati saya tersangat sakit oleh kekasaran seorang manusia.

Ketiganya, puluhan bahkan ratusan jiwa yang masih mahukan khidmat bakti saya dalam meneroka keindahan ilmu Matematik dengan penghayatan Islam. Saya mesti bangkit setiap pagi, dengan nafas yang ditarik sekuatnya demi menyampaikan ilmu, membantu puluhan dan ratusan jiwa itu menempuh jalan sebagai pembantu agama-Nya. Jiwa saya masih hidup walaupun hati saya masih lagi sakit.

Tiga sebab utama ini – membuatkan dunia saya menjadi cerah kembali, hidup saya meriah dan ramai, segala pintu terbuka luasnya, dan ruang untuk melangkah masih saujana mata memandang.

Dia bukan salah satu dari tiga sebab utama ini. Kehilangannya seorang diganti Tuhan dengan jutaan lagi yang lebih baik darinya. Saya dapat membuangnya dari hidup saya, sepertimana dia telah membuang saya dari hidupnya.

Telah pun lama hati ini terluka, masih lagi ia sakit menderita. Tetapi saya sentiasa percaya, saya sentiasa menunggu dengan sabar akan tiba saatnya hati saya sembuh kembali. Ia akan menjadi sebuah hati yang sihat, gembira dan bahagia. Ia akan berdenyut kuat, darah-darahnya mengalir panas, bukan pada luka-lukanya tetapi di luas rongga dada.

Pengganti yang sebaik-baiknya akan tiba. Dia sedang di dalam perjalanan yang diaturkan Allah untuk menemui saya. Dia masih di dalam simpanan Allah, untuk akhirnya menjadi pelengkap hidup saya di dunia dan di akhirat. Insya Allah..



Saya sedang menunggu dengan sabar, saya yakin dan percaya dengan sebenar-benarnya, sesungguhnya Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia..

Get well soon, Wahida! Get well soon...

Monday, February 7, 2011

Jauh

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Kadang-kadang saya terasa ingin pergi jauh; jauh sejauh-jauhnya...

Sahara Penipu Vs Oasis Idaman

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Dunia ini sahara. Kering, tandus lagi panas membahang. Sahara yang sepi, kosong dan tiada kehidupan. Manusianya adalah pengembara. Kelesuan, dahaga lagi putus asa. Mencari air untuk menyegarkan tubuh, menghilangkan dahaga dan membina semangat hidup. Seperti mengerti keinginan si pengembara, sahara ini seringkali menipu..dengan bayang-bayang *logamayanya.

Dari jauh, sungguh indah kelihatan sumur air yang luas, saujana mata memandang. Dahaga si pengembara melonjak. Nafsunya menggelagak. Deras-deras langkah diatur. Impian – meneguk air yang menyegarkan, mandi-manda dalam kedinginan dan beristirehat dari lelah yang panjang.

Apabila berdekatan, sedarlah si pengembara..sahara menipunya cuma. Tiada tasik tiada air. Yang ada hanyalah kepanasan yang sama, di mana-mana jua. Pengembara telah tertipu, sahara seperti mengetawakan. Kesegaran, kedinginan dan kerehatan yang dicari namun hanyalah kerimasan, kehangatan dan kepenatan yang didapati. Segalanya menjadi lebih teruk dari apa yang dibayangkan.

Dunia ibarat sahara yang menipu.


Telah Allah petakan jalan menuju oasis tetapi pengembara sering mungkir dari petunjuk-Nya. Bilakah pengembara akan menemui oasis sebenar? Oasis yang akan menghilangkan segala dahaga, tempat mandi-manda dan kerehatan damai dari segala kelelahan.



Pengembara yang teguh jiwanya tidak akan berputus asa mencari oasis idaman, langkah diteruskan dengan pergantungan harapan kepada Allah. Logamaya yang menipu ditinggalkan, langkah diatur berani dan tabah. Di hatinya sentiasa yakin, berkat kesabaran dan keteguhan hati kepada Yang Maha Belas Kasihan, dia akan menemui oasis idamannya suatu hari nanti. Dan dia yakin, Allah tidak pernah mensia-siakan perjalanan yang dilakukan dalam mencari oasis idaman itu. Lalu di akhirat nanti, dia akan mendapat oasis sebenar dari Allah, oasis syurga yang indah..

Alangkah rugi, jika dunia yang sahara ini dijadikan buruan, lalu oasis syurga yang indah dikesampingkan.

*logamaya = fatamorgana. Kecil-kecil dulu, saya suka membaca buku teks sekolah menengah Ma. Lalu terjumpa istilah logamaya. Bila dah belajar Sains di sekolah menengah, saya pun sedar fenomena fatamorgana yang sedang dipelajari adalah fenomena logamaya yang pernah saya baca sewaktu kecil... istilah sahaja yang berubah.

Saturday, February 5, 2011

Layakkah Disayangi?

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Tiba-tiba hati saya cuba dipertalikan dengan seorang lelaki. Dari kisahnya, dia adalah seorang lelaki yang sangat jurus, sopan santun dan berhemah. Orangnya punya jiwa yang tegar, tetap berpaksikan pendirian walau badai apa pun melanda, tidak pernah ambil hati dengan cakap-cakap orang. Saya belum pernah mengenalinya. Dan saya tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan mengenainya.

Dari kejurusan semenjak kecilnya yang dikhabarkan, saya dapat mengagak, dia adalah seorang lelaki yang baik, mampu memimpin saya dan 4 Muhammad. Kerana kejurusan adalah keindahan akhlak – mencerminkan jiwa yang patuh kepada Allah.

Itu bukan soalnya.

Soalnya adalah, adakah saya layak untuk disayangi oleh seseorang yang sangat baik sepertinya? Adakah saya masih layak untuk sebuah cinta dan perhatian dari seorang suami? Kerana saya bukanlah seorang Noorwahida tetapi saya lima orang Noorwahida, Muhammad Al-Fateh, Muhammad Al-Auzaie, Muhammad Al-Hadi dan Muhammad Asy-Syazili. Cukupkah ruang di hatinya untuk memuatkan kami berlima yang tersangat ramai ini?

Dan layakkah saya yang telah bergelar janda yang serba kekurangan ini untuk disayangi lagi?...

Friday, February 4, 2011

Anak Alam

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Saya menetap di tanjung berhampiran Bukit Keluang semenjak berusia 6 tahun. Ketika itu, perkampungan yang saya huni ini adalah hutan belukar yang dipenuhi pepohon kemunting dan gelam. Kebanyakan penduduknya adalah nelayan pesisir pantai.

Saya semenjak kecil, adalah anak alam yang sering menjelajah mengenali dunia melalui penerokaan-penerokaan yang tiada hentinya. Walaupun anak perempuan, pokok mana yang tidak pernah saya panjat. Pokok ketereh, pokok jembal bahkan kelapa pun pernah. Aktiviti saya bersama kawan-kawan, bukanlah di dalam pondok masak memasak atau bermain kahwin-kahwin. Kami menjelajah sampai ke Bukit Keluang, masuk ke dalam gua-guanya, tersesat di hutan, mencari buah kemunting, menangkap burung dan ayam, jatuh pokok, digigit kerengga dan tebuan..dan tidak lupa..tentulah mengotorkan baju sendiri lalu bikin susah untuk Ma membasuhnya setiap petang.

Dan.. ketika mencari buah kemunting lebih 20 tahun yang lalu, saya pernah tersesat di dalam hutan berhampiran tapak MRSM Kota Putra sekarang. Tidak pernah saya bayangkan, tempat saya mencari kemunting suatu masa dahulu, menjadi tempat saya mencari rezeki pada hari ini.

Keindahan alam, kelembutan hembusan bayu, kesenian bunyi-bunyian – deburan ombak, siulan unggas dan lakaran awan di langit biru adalah penghibur duka semenjak saya kecil lagi. Alam ini seperti memberi semangat luar biasa buat saya mengharungi segala macam cabaran di dalam hidup.

Apabila airmata mengalir di pipi, ombak yang mendebur pantai seperti menyatakan kepada saya ‘Jangan pernah mengalah’. Apabila telinga ini kepedihan mendengar maki hamun orang, bayu pula lembut membisikkan ‘Kesabaran adalah kekuatan teragung seorang manusia’. Jika hati saya gundah gulana, merenung langit adalah ubat mujarab yang sentiasa memujuk lalu membangunkan kembali semangat saya ‘Dunia ini sangat indah, nikmatilah hidupmu dengan hati yang bahagia – menyintai alam dan seluruhnya adalah kebahagiaan untuk sebuah hati yang masih hidup’.

Pantai yang setia menunggu ombak walau sering sahaja dihempasi menjadikan saya seorang yang sangat tegar ketika melewati saat-saat genting.
Alam adalah teman, guru, kadang-kadang pendita bisu yang banyak mengajar saya erti sebuah kehidupan. Hidup bukan sekadar nyawa tetapi denyut nadi, aliran darah, gerak akal dan cinta hati.


4 Muhammad kini sedang mewarisi alam..

Thursday, February 3, 2011

Lasykar Ombak

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Hampir setiap hari, kami berlima akan bercinta dengan alam. Petang, sampai hampir Maghrib kami akan meneroka dan mengamati Keagungan Pencipta yang menjadikan alam ini sains yang penuh kesenian. Anak-anak, tidak pernah jemu bila sahaja saya mengungkapkan, ‘ Jom, Bukit Keluang..’ . Walaupun setiap hari, walaupun tiga kali sehari. Bukit Keluang, sepertimana yang diungkapkan oleh Big Boss MARA dalam ucapannya, adalah antara pantai tercantik di dunia. Alangkah bangganya saya menjadi salah seorang penghuni pinggiran pantai ini.



Selalunya, jam enam kami akan duduk-duduk di tepi pantai. Anak-anak seperti biasa, akan bermain pasir, membina istana pasir atau melukis apa sahaja yang terlintas di fikiran. Kadang-kadang bergaduh merebutkan pasir (yang sangat banyak itu :). Mereka juga gemar melontar batu, cengkerang atau kayu ke arah ombak yang mendebur pantai.

4 Muhammad selalunya mempunyai idea-idea canggih permainan yang menyeronokkan. Tanpa kereta remote, tanpa Lego dan segala permainan terkini, mereka dapat mencipta keriangan tanpa had dengan menggunakan pasir-pasir pantai, ranting-ranting kayu, kulit-kulit siput dan buah-buah rhu (yang mereka panggil baby durian :)



Saya, seperti semenjak kecil, biasanya terleka dengan hobi sendiri. Merenung langit biru yang menjadi kanvas kesenian Allah. Indah. Tenang. Apabila melihat awan bergerak ditiup bayu, hati saya disentuh suatu rasa ajaib yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Saya sering mengajak 4 Muhammad merenungi langit biru dan menyuruh mereka melukiskan bentuk awan yang dilihat di atas pepasir pantai.


Cinta bersembunyi di sebalik hati..

Dan aktiviti kegemaran kami berlima adalah menjadi lasykar dalam peperangan dengan ombak. Kami akan menunggu ombak di gigi air sedekat mungkin. Apabila ombak datang menyerang, kami akan segera melarikan diri. Siapa yang terkena air, maka dia diisytiharkan kalah. Inilah saatnya saya benar-benar tertawa tanpa mengingati apa pun kedukaan.

Kamilah lasykar (tentera) ombak. Kami sedingin air tetapi kami mahu menjadi tsunami yang bakal mengubah dunia. Insya Allah!!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...