Thursday, January 6, 2011

Tahun-tahun Perjuangan

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

3 Januari 2011

Hari ini, Fateh sudah darjah tiga, Auzaie mula masuk darjah satu, manakala Hadi dan Syazili, pra sekolah. Hari ini, paginya saya sambut penuh semangat. Terasa semboyan ilmu menggerakkan semangat kami berlima.

‘Anak-anakku, tidak akan ketinggalan lagi di bidang ilmu. Akan Ummi bela nasibmu yang telah terbengkalai lantaran demikian kerasnya Ummi berusaha mencarikan nafkah selama setahun yang penuh tragedi. Hari ini, Allah telah menggantikan sumber rezeki itu dengan yang lebih baik, maka wahai anak-anakku.. kalian berhak mendapat pencerahan dari nikmat ilmu yang mencurah-curah. Ini, di sini.. pada Ummi kalian.. Allah telah mengizinkan persinggahan ilmu (walaupun hanyalah secebis).. maka sepatutnya kalianlah yang terlebih dahulu mendapat bahagiannya.’

Fateh adalah yang paling awal bangun - seperti selalunya. Ketika saya telah bersiap-siap untuk ‘berperang di dapur’ pada lebih kurang jam 5, dia telahpun mencelikkan mata. Walaupun tahun 2010 mencalarkan sedikit rekod akademiknya, semangatnya untuk bersekolah tidak pernah luntur. Walaupun sering sahaja menjadi mangsa buli di sekolah, dia tidak pernah serik untuk hadir dan terus hadir. Saya nampak – di dalam jiwanya ada rasa cinta kepada ilmu dan cabaran tetapi pengalaman tahun 2010 telah sedikit sebanyak merencatkan kebangkitannya. Terhalang bersekolah selama 2 bulan lantaran disekat surat pertukaran sekolah (oleh entah siapa…) dan memasuki wad akibat pembedahan apendiks membuatkannya sedikit terganggu. Pun begitu, dia masih tetap melangkah di lorong ilmu, dengan teguh.

Teguhnya, meneguhkan saya.

Jam 7, kami pun bertolak dari rumah. Setelah menghantar Fateh ke kelasnya, saya menghantar pula Auzaie. Seperti Fateh 2 tahun yang lalu, Auzaie juga tidak menangis. Dengan selamba, selepas mencium tangan saya, dia duduk di kerusi lalu mengeluarkan alat tulisnya. Melihatkan ketenangannya itu, saya penuh percaya meninggalkannya di sekolah. Saya yakin, Auzaie tidak akan menangis kerana dia sangat tegas dan berani. Di kalangan 4 Muhammad, dialah yang paling berani walaupun bertubuh kecil sahaja. Dia tidak akan membiarkan dirinya dibuli, bahkan dia tidak akan ragu-ragu membalas orang yang berbuat jahat kepadanya. Dan dia sekali-kali tidak akan membiarkan sesiapapun di kalangan adik-beradiknya dibuli orang.

Setelah demikian meyakini Auzaie, saya menghantar pula Hadi dan Syazili ke sekolah mereka. Alhamdulillah – mereka juga riang gembira berada di sekolah. Sampai sahaja terus berkawan-kawan. Hadi dengan lagak kelakarnya sering membuatkan guru-guru sayang. Dan Ali yang petah itu, mudah mendapat kawan.

Saya merasa sangat senang hati. Saya menerima 4 Muhammad sebagai pemberian Allah untuk menghiburkan hati. Mereka adalah hadiah. Mereka adalah anugerah. Mereka sungguh berharga dan bernilai di mata dan di hati saya. Semenjak lahir, seorang demi seorang, tahun demi tahun, merekalah yang menghiburkan dan membahagiakan saya. Karenah mereka tidak menyakitkan hati, mendengar kata dan sentiasa mengasihani saya. Segala puji bagi Allah.

Masih banyak masa yang ada – jika saya dipanjangkan umur – untuk mendidik mereka. Asas-asas ilmu wajib diperturunkan agar mereka lancar menyerap tingkatan ilmu yang lebih tinggi. Mengaji, membaca, mengira dan menulis adalah asas-asas utama yang mesti saya laksanakan untuk mempersiapkan mereka dengan cabaran ilmu yang kian sukar.

Mereka akan hidup di alaf yang tidak terjangkau aliran teknologinya. Mereka akan melalui perubahan zaman dan gajet yang mencabar. Tugas sayalah sebagai ibu untuk memantapkan mereka sebagai genius yang bertaqwa kepada Allah.

Saya mahu menjadi ibu yang berjuang, memerah seluruh keringat dan airmata, mengerah segala tenaga dan daya demi memberi kehidupan buat anak-anak. Saya mahu menjadi wanita yang kuat, tekad, gagah lagi berani walaupun hati saya telah dicincang selumat-lumatnya.

Inilah tahun-tahun untuk saya memperjuangkan 4 Muhammad di peta ilmu. Inilah tahun-tahun untuk saya menebalkan hati demi hari esok untuk Islam, kerana 4 Muhammad ini adalah amanah Allah untuk saya - agar mendidik mereka menjadi Pembantu Agama-Nya yang tegar. Insya Allah...
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...