Monday, June 16, 2008

Teknologi rahmat

Terima kasih Allah, segala puji bagi-Mu yang telah meminjamkan kami sebahagian teknologi dari sekian banyak teknologi yang Engkau miliki. Engkau telah memberi kami kemudahan di dalam urusan hidup kami. Engkau beri elektrik yang mengalir di wayar-wayar kuprum, supaya dengan elektrik itu, dapatlah sebahagian besar tugas kami diselesaikan oleh alat-alat yang manusia cipta. Bahkan ciptaan manusia itupun, tidaklah mampu mereka ciptakan jika tanpa ilham dan petunjuk dari-Mu.

Wahai Tuhanku, aku tidak tahu bagaimana manusia lain merasa betapa ringannya kemudahan yang Engkau berikan kini. Tetapi aku, sebagai seorang surirumah, benar-benar merasai nikmatnya. Urusan seharianku telah Kau mudahkan, mudah, semudah-mudahnya.

Aku tidak perlu mengutip kayu, menyala dan menjaga api untuk memasak. Ganti dari itu, telah ada dapur atau periuk elektrik yang hanya perlu ditekan suisnya. Selepas memasak pula, tidak perlu berteruk-teruk membersihkan dapur yang hitam akibat jelaga. Aku cuma perlu mengelap kesan-kesan percikan minyak atau air yang tumpah.


Aku juga tidak perlu memerah tenaga yang banyak untuk membasuh kain yang bertimbun setiap hari. Anak-anakku yang empat orang, baju yang mereka pakai setiap hari sudah mencecah 12 pasang. Dengan adanya mesin basuh, aku juga hanya menekan suis. Kemudian setelah dikeringkan, aku cuma menjemurnya di ampaian.

Engkau telah bekalkan air yang mengalir melalui pili-pili. Hendak memasak, membasuh pinggan mangkuk, membasuh pakaian bahkan mandi dan buang air sekalipun, sekarang mudah saja. Pulas saja kepala paip, tercurahlah air sekian banyak mengikut keperluan. Tidak perlulah aku berpenat lelah seperti orang dulu-dulu yang terpaksa mengangkut air berulang-alik dari sungai atau telaga.

Wahai Tuhanku ...

Banyak lagi kemudahan yang telah Kau sediakan untuk aku, hamba-Mu ini. Setiap peralatan elektrik adalah anugerah-Mu kepadaku, pertolongan-Mu dalam urusan hidupku.

Urusan rumahtangga dapat diatur sebaik mungkin. Walaupun rutinnya sama setiap hari, namun dek kerana kemudahan yang Kau berikan, ia bukan lagi masalah buat kami kaum isteri dan ibu. Masa dengan anak-anak menjadi banyak. Dapatlah aku menggunakan kesempatan itu untuk membelai mereka, mengajar asas-asas ilmu, akhlak dan adab. Masa yang ada adalah anugerah Engkau buatku mendampingi mereka. Segala puji bagi-Mu wahai Tuhan Yang Memiliki Arasy Yang Agung.

Tetapi Tuhanku, aku takut jika kemajuan dan kemudahan ini menjauhkan aku dari-Mu. Aku sungguh risau jika hatiku terhijab oleh kecanggihan alat. Aku takut mata hatiku menjadi buta, tidak nampak lagi kebesaran-Mu, tetapi hanya nampak setakat alat-alatan yang canggih itu. Tidak tembus pandangan hati kerana dilitupi kelambu dunia. Aku juga bimbang jika dengan kemudahan ini aku menjadi manja dan tidak tabah menanggung susah di barzakh atau di mahsyar nanti.

Ya Allah moga-moga janganlah kemudahan yang ada ini menjadikan aku mengambil mudah dengan urusan rumahtanggaku; yang akan Engkau tanyakan satu persatu di Hari Pengadilan kelak. Kerana aku adalah pengembala rumahtanggaku yang wajib bertanggungjawab terhadap semua gembalaanku.

Saturday, June 14, 2008

Antara Graduan dan Ibu; ALLAH Sebaik-baik Penjamin

“Awak tak rasa sayang dan rugi ke, bergelar graduan tapi tidak bekerja?” Tanya seorang sahabat saya lewat sms pada suatu hari. Soalannya itu menyebabkan saya tersenyum tawar. Bukan dia seorang yang pernah bertanyakan soalan yang sama. Malah ramai lagi. Saya termenung panjang setelah membaca sms kiriman sahabat saya itu. Apa yang perlu saya jawab? Ayat apakah yang paling sesuai untuk saya terangkan kepadanya tekad saya untuk menjadi surirumah? Kadang-kadang saya terasa malas hendak membalas sms yang berbunyi seperti itu. Terasa juga seolah-olah orang yang menyoal itu merendah-rendahkan kerjaya surirumah. Tercabar juga saya tahu!

Setelah agak lama berfikir; saya pun membalas. “Saya memang seorang graduan, tapi saya juga seorang ibu. Gelar graduan itu saya dapat dari manusia tapi Allah telah melantik saya menjadi ibu. Saya tidak sayang sangat dengan gelaran graduan itu tapi saya terlalu menyintai tugasan keibuan yang Allah amanahkan. Alangkah sayangnya, jika seseorang wanita yang telah menjadi ibu, tidak dapat menunaikan tugasan ibu sepenuhnya.” Maafkan saya jika kandungan sms saya mengguris hati anda wahai rakan-rakan pembaca; jika anda adalah ibu berkerjaya. Saya amat faham dengan tuntutan kehidupan hari ini. Dan saya juga maklum dengan kesusahan yang dialami kaum wanita yang bekerja – kerana Ma saya juga bekerja. Saya tidak pernah menghina dan merendah-rendahkan wanita berkerjaya. Tetapi saya memang menyanjung kerjaya surirumah.


Rakan-rakan saya baik belaka. Mereka sering menasihati saya supaya melakukan sesuatu di dalam hidup. Jangan hanya bergantung pada suami dan mengharapkan duit orang. Bahkan ramai pula yang memberi semangat dan cadangan supaya saya cuba memohon KPLI, Diploma Pendidikan, atau mengajar di politeknik bersama-sama suami saya. Mereka memberitahu begitu begini prosedur yang perlu saya jalani untuk memohon pekerjaan. Mereka juga ada memberi pesanan ‘ikhlas’. Pesanan ini hanya dibisik-bisikkan sesama kaum hawa saja. Tapi saya kabo (ghoyat, beritahu) juga di sini untuk tatapan umum. “Kita orang perempuan kena bekerja. Wang simpanan kena ada sebagai jaminan masa depan. Kita tak tahu apa akan berlaku dan jangan percaya seratus peratus dengan orang lelaki. Masa sayang ni, ye la.. tapi bila habis manis sepah dibuang.”


Ya, orang perempuan memang kena bekerja. Dan saya juga bekerja; sebagai surirumahtangga sepenuh masa. Atau lebih kelas lagi kalau saya sebutkan, surirumah professional. Jaminan masa depan saya bukan wang simpanan tetapi Allah. Kita memang tidak akan tahu apa yang akan berlaku di masa depan, sebab itulah saya mengambil Allah sebagai Penjamin saya. Dia adalah sebaik-baik Penjamin. Yang bukan hanya menjamin kewangan bahkan yang lebih utama adalah aqidah dan keimanan. Kepercayaan saya seratus peratus memang bukan pada manusia; tetapi kepada Allah. Saya percaya kepada Allah. Saya yakin dengan-Nya.


Di sini, saya ingin mengingatkan wanita-wanita yang bekerja; jika anda bekerja untuk jaminan masa depan atau bimbangkan sesuatu berlaku dalam rumahtangga anda – maka buangkanlah niat-niat sebegitu dari dalam hati anda. Jadikanlah tugasan kerjaya anda sebagai ibadah dan betulkanlah kembali niat anda untuk membantu meningkatkan ekonomi rumahtangga. Ingatlah.. wang bukan segala-galanya. Dari zaman Nabi Adam; hinggalah ke hari kiamat; hanya Allah sahajalah Penjamin hidup manusia!

Manfaat Menjadi Surirumah

Saya yakin, tugas saya sebagai seorang surirumah adalah tugas besar. Tugas penting dan melibatkan ummah. Saya bukan bergoyang kaki di rumah. Atau menunggu suami membawa pulang rezeki semata. Tugas saya sungguh mencabar. Saya bertanggungjawab memelihara sebuah komuniti kecil yang memerlukan segenap tumpuan. Seorang surirumah pada saya memegang portfolio yang penting dalam mengurusi sebahagian dari sekalian ummah. Dia adalah permaisuri yang berkuasa menentukan jatuh bangun kerajaan rumahtangganya. Walaupun bergelar permaisuri, tugasnya adalah pelbagai dan mencakupi hampir semua bidang. Seorang surirumah adalah chef, jururawat, guru, penghibur, pengurus, setiausaha, akauntan, tukang sapu, tukang cuci, kaunselor bahkan motivator.

Kadang-kadang, apabila bersendirian mengenangkan zaman belajar, saya juga tidak menyangka akhirnya saya terpilih untuk menjadi seorang surirumah. Kerjaya mulia zaman-berzaman. Dengan jalan hidup yang telah Allah aturkan selama ini, bersekolah di SMTM (Sekolah Menengah Tengku Mahmud, Besut, Terengganu-zaman remaja terindah), memasuki KISAS (dua tahun yang paling memberi impak dalam menentukan halatuju hidup saya) dan kemudian ke universiti.. saya sangkakan saya akan menjadi seperti kebanyakan wanita hari ini, yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum lelaki. Saya juga pernah berangan-angan untuk menjadi seorang professor, saintis atau ahli kaji bintang. Memang saya cenderung dalam bidang sains. Dan sampai hari ini saya masih berminat dengan bidang ini.

Kita merancang, Allah merancang dan ternyata, Allah adalah sebaik-baik Perancang.

Apabila menguruskan rumahtangga, saya tidak merasa pengajian saya selama 17 tahun itu sia-sia. Saya dapat mengajar sendiri anak saya. Asas membaca, mengira dan mengaji dapat saya tangani. Dan seawal-awal hidup mereka, dengan asas agama saya yang tidaklah sehebat mana, dapat pula saya ajari mereka akan adanya Allah. Dari sudut jasmaniah, saya dapat menyediakan sendiri pemakanan seimbang yang halalan toyyibaa (halal lagi baik) untuk mereka, memakaikan pakaian yang suci dan bersih, mengajar mereka adab-adab makan minum dan membuang air di tandas. Bahkan saya merasa hati saya sungguh puas dapat melihat kemajuan demi kemajuan yang dialami anak-anak saya.

Saya benar-benar beruntung. Saya melahirkan mereka tahun demi tahun. Dan kini mereka adalah kawan rapat; yang bermain bersama dan kadang-kadang bergaduh juga. Malahan selalu juga berperang dengan saya. Maklumlah saya ibu muda yang semangatnya masih membara. Young and dangerous kata suami saya. Tetapi hakikatnya saya dan anak-anak benar-benar rapat. Saya adalah tempat mereka bermanja, mengadu dan merajuk. Saya juga tempat mereka mengatur (meminta-minta). Jauh di sudut hati, saya merasa sungguh diperlukan oleh mereka. Saya sungguh penting untuk mereka.

Saya hari ini benar-benar berbangga dengan kerjaya saya sebagai surirumah. Dan saya ingin menyeru rakan-rakan surirumah di luar sana, janganlah anda merasa malu berjawatan surirumah. Lebih-lebih lagi di zaman ini. Kerana jawatan ini hanya Allah beri kepada wanita-wanita yang terpilih sahaja. Yang sanggup merasa kesusahan hidup di zaman material ini. Yang sanggup pula tidak merasa memegang wang gaji sendiri. Bahkan mengorbankan keinginan dan kehendak diri. Namun jika kita ikhlas, ganjaran dari Allah, sungguh tak terperi.

Cita-citaku

Sekarang cita-cita saya telah tercapai. Saya kini bergelar surirumah. Kenapalah saya hendak sangat menjadi surirumah? Kerana saya adalah seorang anak. Saya masih ingat perasaan-perasaan indah di zaman kanak-kanak dahulu. Ibu saya yang saya panggil Ma adalah seorang wanita yang baik. Pengasihnya kepada anak-anak (malah kepada cucunya sekarang) tak terbanding. Ma adalah ibu paling baik buat kami anak-anaknya. Kelembutannya terserlah, ketegasannya nyata. Tapi, saya sering merasa haus. Dahaga. Haus dan dahagakan belaian, perhatian dan bimbingan Ma. Kenapa? Kerana Ma bekerja dari pagi sampai petang. Jam lima baru pulang ke rumah. Selesai solat Asar, terus menyediakan makan malam. Kemudian membasuh kain; kemudian melipat yang sudah kering. Kemudian dalam keletihan, Ma tertidur. Saya benar-benar kasihan dengan Ma. Pengorbanannya tidak terbalas. Jasanya hanya Allah yang mampu memberi ganjaran.



Sepanjang Ma keluar bekerja, ada pengasuh yang menjaga kami di rumah. Layanan pengasuh manakan sama dengan layanan Ma sendiri. Walaupun pengasuh itu baik, tidaklah dia punya misi dalam pendidikan kami anak-anak Ma. Malah, ada di kalangan pengasuh (pengasuh sering bertukar ganti; ada yang nak kahwin, ada yang tangan panjang, ada yang dapat kerja lain, malah ada yang suka pukul adik saya) yang tidak tahu membaca pun.

Walaupun bekerja, Ma melaksanakan tugas-tugas rumahtangga dengan baik. Memasak, membasuh dan sebagainya. Tetapi jauh di sudut hati kami anak-anak, harapan untuk bersama Ma setiap hari tak pernah padam. Kami kepingin menjadi seperti anak-anak jiran yang ibunya sering di rumah. Nampak bahagia sungguh. Pulang saja dari sekolah, ada ibu yang menyambut. Mahu makan, ada ibu yang sediakan. Buat kerja rumah, ada ibu yang temankan. Dapat berbual, bermanja, bergurau mesra. Kadang-kadang bergaduh juga dengan ibu mereka. Demikianlah kebahagiaan kawan-kawan yang membuat hati kami cemburu.

Petang-petang, kami tidak sabar menunggu Ma pulang dari kerja. Ma bawa pulang kuih-muih untuk kami. Setiap petang pasti ada. Ingatan Ma pada kami anak-anaknya tak pernah luput. Tapi masa Ma untuk kami terhad di waktu petang, malamnya sedikit dan hujung minggu (waktu itu hujung minggu hanyalah pada hari Jumaat – saya orang Terengganu). Dan Sabtunya, Ma akan kembali bekerja.

Wahai Ma, sampai saat ini.. walaupun saya telah berumahtangga dan punya anak sendiri, saya merasa masih mahu bermanja dengan Ma. Alangkah indahnya kenang-kenangan bersama Ma. Dan alangkah lebih indahnya jika Ma sentiasa bersama saya sewaktu saya kecil dahulu. Pun demikian jasa Ma pasti tidak terbalas walau dengan wang ringgit mahupun budi baik.

Ma, restuilah saya menjadi ibu sepenuh masa kepada anak-anak saya. Agar saya dapat memberi sepenuh perhatian kepada mereka. Tugas-tugas mengurusi rumahtangga dan mendidik mereka memerlukan tumpuan yang khusus. Saya tak sanggup membahagikannya dengan kerjaya yang menuntut pengorbanan waktu untuk rumahtangga dan anak-anak. Saya mahu mengurusi sendiri rumahtangga saya tanpa campur tangan orang lain, saya mahu mendidik sendiri anak-anak saya dengan layanan kelas pertama sebagai ibu. Bukan sekadar memberi manja, bahkan mencubit atau merotan bila masanya perlu. Dan yang utama, saya mahu menjadi amatulLah yang muti'ah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...